Siapa wanita? Kita
seperti tahu tetapi mungkin tidak mendalam untuk memahami seorang yang bernama
wanita.
Semasa menjadi janin
dia dalam rahim seorang ibu, ia seseorang yang sangat sangat lemah. Tali pusatnya
bersambung dengan ibunya. Saluran ia bernyawa, bernafas dan makan serta minum. Namun
rahim ibu itu lembut, nyaman dan membolehkannya hidup selama sembilan bulan
tanpa gangguan. Ia bahagia di dalamnya. Di alam rahim ibu itulah Allah membentuknya
dari setetes air mani, menjadi segumpal darah, lalu menjadi segumpal daging,
Allah membentuk tulang belulang, urat dan otot, kulit , deria, akal dan
perasaan. Dari cecair janin itu membentuk seorang manusia yang bakal Allah
sempurnakan bentuk dan sifatnya. Jadilah seorang wanita sempurna.
Selepas sembilan
bulan ia dilahirkan oleh seorang ibu dengan susah payah. Dengan sakit pedih. Dengan
separuh nyawa. Dengan rasa sakit yang tidak terhingga. Lahirnya dengan tangis
yang memecah kesunyian. Tangis yang tersangat kuat. Tetapi tangis itu sangat
membahagiakan. Tangis yang ditunggau saatnya oleh seorang ibu. Tangis itu halwa
telinga yang tiada tolok bandingnya. Tangis itu isyarat bahawa anak itu hidup
dan bernyawa. Anak yang sangat wajar disambut ke dunia yang penuh pancaroba. Alam
dunia yang fana tetapi perlu dihuni sebelum sampai ke syurga. Kampung halaman
yang diidam-idamkan. Dunia yang penuh cabaran ini adalah dunia yang penuh ujian. Ujian untuk
diri anak-anak dan ujian untuk ibu yang setengah mati tadinya.
Jadilah anak yang
ditatang. Dirawat sebaik-baiknya. Dijaga dengan selamatnya. Dibesarkan dengan
kasih sayang. Dibesarkan dengan penuh harap akan menjadi anak yang menghargai. Yang
memancarkan kasih sayang kepada ibu yang setengah mati melahirkan. Yang sembilan
bulan dikandung di rahim ibu itu. Anak itu menjadi cahaya mata. Menjadi cahaya
hidup seorang ibu. Setiap masa di dalam pengawasan. Makan dan minumnya, sakit
dan peningnya, sandang pakainya, baca dan tulisnya, belajar dan pandainya. Anak
itu diasuh dengan penuh kesejahteraan. Dengan penuh erti kehidupan yang bakal
ditempuh pada masa hadapan.
Membesarlah anak
itu sebagai anak. Berkerjaya, berumahtangga dan beranak pinak. Malangnya pengalaman
di dalam rahim ibu tidak ada yang diingat. Tiada siapa yang mengingatkan anak
itu. Pengalamannya berumahtangga, mengandung dan bersalin dengan susah payah
juga tidak mengajarnya untuk menginsafi siapa ibunya. Siapa wanita yang
mengandungkannya. Siapa wanita yang melahirkannya. Siapa yang mengasuhnya. Siapa
yang merawatnya. Begitulah lumrahnya anak akan lupa siapa ibunya. Siapa asal
usul ibunya. Siapa ibunya sewaktu kecilnya. Sewaktu kanak-kanaknya. Sewaktu remajanya.
Sewaktu mula keluar mengejar kerjayanya. Sewaktu memulakan penghidupan bersama
pasangan masing-masing.
Menjadi dewasa
tentunya mengajar banyak perkara. Tetapi apabila perasaan dan fikiran telah
apla maka fokus hanya untuk diri sendiri. Asal usul sudah dilupakan. Dari mana
datangnya anak itu tiada dipeduli lagi. Refleksi diri hanya melihat yang
negatif. Yang tidak indah. Yang mendendam dalam perasaan. Lupa dan lupa siapa
ibunya. Siapa dia asal usulnya. Jika itu persepsi diri yang dibina maka musnah
segala harapan masa lalu yang indah-indah. Harapan untuk melihat anak-anak merasa
kasih sayang terhadap ibunya. Ibu yang mengandungkannya. Ibunya yang
melahirkannya. Ibu yang merawatnya. Ibu yang menunjuk ajar untuk menjadi
manusia berkeluarga dan bermasyarakat. Runtuhlah segala istana harapan yang
dulunya indah. Runtuhlah rasa rindu ibu melihat anak-anaknya menjadi ahli
keluarga terindah.
Segala-galanya memusnahkan
harapan indah yang sudah dibina. Amat mengguris hati dan perasaan. Pedih dan
pedih menusuk jiwa. Hati mana yang mampu dimamah kekecewaan. Senerio itulah
yang lumrah di akhir zaman. Anak-anak hilang peranannya. Semakin ramai ibu dan
bapa di rumah orang-orang tua. Kasih sayang sudah hilang. Yang dilahirkan ialah
rasa tidak suka. Rasa tidak kasih. Rasa tidak sayang. Rasa tidak selesa. Rasa tidak
puas hati. Anak yang dikasihi menjadi musuh yang menyakitkan. Menjadi lawan
yang tiada faedahnya dilawan dan ditentang. Hilang selera untuk membina semula
kasih sayang yang tidak hargai.
Di manakah seroang
bapa apabila seorang ibu rasa menderita sebegitu. Dalam membina keluarga bapa
seolah-olah seorang yang pasif. Tetapi percayalah kesemua yang berlalu dalam
genggaman fikirnya. Kesemuanya dalam garapan pandangannya. Bapa itu merasa hiba
kerana anak-anak itu adalah benihnya. Darah dagingnya. DNAnya ada pada
anak-anak itu. Ibu yang terluka itu adalah isterinya. Wanita itu adalah ibu kepada
anak-anaknya. Wanita yang telah bersusah payah bersamanya. Yang mengandungkan
anak-anaknya. Yang melahirkan anak-anaknya. Yang beberapa kali seperti terputus
nyawanya. Wanita yang memberi mawaddah. Yang memberikannya kebahagiaan
berumahtangga. Wanita yang terluka itu membebani perasaannya.
Apakah episod
akhir zaman ini berulang-ulang sejarahnya. Sejarah kemanusiaan yang telah Allah
tentukan. Ibu dan bapa itu redha dengan ketentuan. Bukan rezekinya lagi
berharap kepada keturunan yang mungkin tidak lagi memberi harapan. Cuma hatinya
bertanya. Derhakakah anak-anaknya. Apakah tercium nanti bau syurga yang berada
di bawah tapak kaki ibunya masing-masing. Allahuakbar. Bagaimana hati mereka
boleh memaafkan anak-anak mereka yang lupa diri.