Di manakah silapnya? Di manakah kurangnya? Di manakah malangnya?
Peratusan Muslim yang tidak mahir al-Quran sangat tinggi. Di mana-mana. Hatta
di negara Arab sekalipun. Ianya merentas berbagai lapisan usia. Dari
kanak-kanak hingga mereka yang lanjut usia. Kanak-kanak baru hendak
mengenalnya. Kanak-kanak dianggap kecil
dan seperti belum memerlukan. Itupun selalu dilengah-lengahkan. Kanak-kanak
yang sudah bersekolah sudah tidak fokus lagi dengan al-Quran. Mereka disibukkan
dengan tuisyen. Kerja sekolah. Bermain dan kokurikulum. Remaja sudah didominsi
dengan kegilaan lain. Bukan al-Quran. Mereka yang bekerja sibuk dengan dunia mereka.
Luang dan ruang untuk memahirkan al-Quran diketepikan. Siang dan malam sibu dan
sibuk. Yang sudah bersara dan lanjut usia sudah hilang keinginan untuk kembali
kepada al-Quran. Malu mungkin bukan kepalang. Malah yang berstatus tinggi dalam
masyarakat sangat-sangat secara sedar menjauhkan diri dari majlis-majlis
al-Quran.
Banyak perkara yang berselaput di sekeliling perasaan kita. Mungkin inilah
agenda Yahudi dan Nasara supaya kita semua leka dari kembali kepada al-Quran.
Mereka agendakan supaya kita melupakan al-Quran tetapi tidak lupa kepada dunia
yang mereka ciptakan. Khususnya hiburan. Hedonism. Al-Quran adalah institusi
asas agama yang selalu terabai. Rasanya hampir semua penganut Islam diajar
untuk membaca al-Quran. Pada suatu ketika penulis ditanya oleh seorang pengajar
al-Quran berbangsa Arab. Siapa yang mengajar penulis membaca al-Quran. Penulis
menjawab secara jujur. Lalu tanyanya lagi, apa kelulusan guru itu. Penulis
jawab lagi bahawa guru itu seadanya dalam masyarakat kita Melayu di Malaysia.
Terkedu penulis apabila dia membuat pertanyaan maut. Mengapa penulis belajar
dari mereka serupa itu!
Dalam masyarakat Melayu Islam, guru al-Quran bukan suatu entiti yang
diwibawakan. Hampir kesemua para huffaz adalah guru al-Quran tetapi tidak
kesemua guru al-Quran adalah huffaz. Tidak juga kesemua guru al-Quran memiliki
kelayakan akademik yang tinggi sama ada dalam bidang akademik sekular atau dalam
bidang agama. Rasanya kemahiran asas untuk menjadi guru al-Quran perlukan
penguasaan al-Quran itu sendiri. Keduanya asas agama. Ketiganya asas Bahasa
Arab. Asas agama dan Bahasa Arab adalah regu penting kepada al-Quran. Al-Quran
merangkumi kedua-duanya selain dari tauhid, muamalah, munakahat, jinayah dan
sebagainya yang dibicarakan melalui ayat-ayat al-Quran yang berlainan.
Membaca al-Quran dengan mahir, menguasai hukum hakam tajwid,
melaksanakan bacaan berlahjah Arab di samping penguasaan makhraj huruf dan
sifat huruf bukan sesuatu yang boleh diserap dalam masa sehari dua. Tidak juga
seminggu dua. Tidak juga sebulan dua. Malah tidak juga setahun dua. Ia perlukan
masa yang lama. Mungkin bertahun-tahun bergantung kepada kecerdasan al-Quran
yang dimiliki oleh seseorang individu. Seorang qari atau qariah yang bertanding
di daerah, negeri, kebangsaan atau antarabangsa mungkin telah terlibat dengan
al-Quran berpuluh tahun. Belajar dari bawah. Dari asas. Belajar taranum sahaja
tidak boleh setahun dua. Bertahun-tahun dipelajari dengan sabar dan tekun.
Menerima teguran dan pembetulan yang bukan sedikit. Tajwid perlu sempurna.
Suara perlu diperbetulkan. Lantunannya. Tenaga suara itu sendiri. Lenggoknya.
Tekanan atau pitchingnya yang betul. Dalam hal tersebut penguasaan vokal
adalah sangat penting.
Makhraj, sifat dan lahjah adalah gabungan yang selalu diambilkira
sebagai perlaksanaan fasohah. Kesempurnanya bererti menyempurnakan sebahagian
daripada tuntutan al-Quran. Malangnya ramai orang beranggapan membaca al-Quran
sekadar membaca. Membunyikan apa yang tertulis. Malanglah kerana anggapan
sebegitu sangat bersalahan dengan tuntutan membaca al-Quran yang dituntut.
Al-Quran bukan kitab biasa yang boleh dibaca tanpa prosedur yang khusus. Tanpa
tertib yang khusus. Tanpa melaksanakan bacaannnaya secara khusus. Kerana itu transliteration
tidak boleh dijadikan sandaran 100% dalam mempelajari atau membaca al-Quran
kecuali oleh mereka yang sudah mahir dengan hal-hal yang berkaitan dengan
al-Quran. Tidak ada huruf rumi yang boleh menggantikan huruf-huruf ص, ض, ط, ظ dan banyak lagi
huruf lain. Paling baik hanya menghampiri tetapi tidak menyamai. Seperti tetapi
tidak menepati. Bahasa Arab dan huruf Arab juga yang perlu diutamakan.
Secara akademiknya para huffaz mengambil masa antara 18 minggu hingga
tiga tahun (36 bulan) atau mungkin lebih lama lagi. Untuk mendapat ijazah dalam
bidang al-Quran dan Qiraat perlukan masa selama empat tahun. Itupun perlukan
amali dan latihan yang panjang, tanpa jemu, sabar dan ketukanan yang luar
biasa. Kadang-kadang ada yang beranggapan mempelajari al-Quran cukup sekadar
dua jam seminggu. Tidak sampai bertahun. Masa selama 28 jam dikira mencukupi
untuk mahir membaca al-Quran. Mungkin benar bagi mereka yang memang sudah mahir
membaca. Andainya yang mempelajari al-Quran belum mahir menyebut huruf-huruf
hijaiyyah, tidak tahu di mana makhraj sesuatu huruf, tidak mengenali
sifat-sifat huruf, tidak dapat lagi
membezakan antara ikhfa’, idzhar, iqlab, idgham, wajibul ghunnah, berbagai mad
yang banyak, tafkhim dan tarqiq, tashil dan naql, imalah dan saktah, sukun dan
tasydid, maka mereka yang terlibat dengan al-Quran tidak dapat membaca dengan
standard yang diterima umum.
Bagi mereka yang belum menguasai pembacaan atau ilmu-ilmu al-Quran, masa
28 jam tentu sangat daif untuk mempersembahkan bacaan di khalayak ramai. Mereka
belum mengenal ghunnah secara khusus. Perbezaan panjang mad belum
dikuasai. Jika membaca di khalayak umum
ia menjadi maruah yang mengaibkan. Al-Quran dimaktubkan dengan standardnya yang
tersendiri. Tidak boleh dibaca sebarangan. Hanya semasa berlataqqi dan
bermusyafahah sahaja ianya dapat diperbetulkan berulang-kali sehingga mencapai
standardnya. Kesilapan membaca dikira berdosa kerana mungkin bertukar huruf,
bertukar makhraj yang mengakibatkan bertukar huruf. Kerananya bertukar makna
dan maksud. Mengubah huruf adalah kesalahan. Menambah atau mengurangkannya
adalah kesalahan. Mereka yang tidak terlibat dengan al-Quran selalu membuat
andaian mudah.
Mereka yang terlibat dengan teater umpamanya boleh mempersembahkan suatu
cerita. Suatu lakonan. Kesilapan dialog hanya mencacatkan cerita. Tidak ada
dosa dan pahala kerana kesilapan dialog tersebut. Begitu juga mereka yang
terlibat dengan seni tari. Tingkah yang sumbang bukan melibatkan dosa dan
pahala. Cuma wanita di hadapan khalayak perlu menimbang dosa yang mungkin
terhadir bersama persembahan mereka. Sangat berbahaya apabila seseorang membaca
al-Quran dengan kesalahan-kesalahan yang sangat banyak. Tidak dapat
diperbetulkan dengan spontan di khalayak umum. Pertamanya kerana mungkin
terlalu banyak. Keduanya kesalahan itu kritikal atau jaliyy. Ketiga kesalahan
itu melibatkan aib kepada yang membaca, guru yang mengajar dan audien yang
mendengar.
Institusi al-Quran perlu kembali ke rumah. Kepada ibu dan bapa.
Merekalah guru terbaik yang sewajarnya hadir di rumah. Sekiranya mahasiswa atau mahasiswi belum
berkeupayaan menguasai pembacaan dan hal-hal yang berkaitan dengan al-Quran
maka itu adalah isyarat awal malangnya sebuah keluarga Islam yang ingin dibina.
Mereka sudah berada di peringkat akhir. Hanya beberapa tahun mereka perlu
beramal dengan al-Quran dalam kerjaya mereka. Mereka perlu beramal dengan
al-Quran dalam rumahtangga yang bakal mereka bina. Masa sudah sangat suntuk.
Sudah terburu-buru menerpa. Ianya tidak perlu dinanti tetapi akan datang
menerpa. Tanpa persediaan yang rapi al-Quran akan semakin terpinggir. Tersisih
jauh. Diletak di tempat tinggi tetapi tidak dijengah. Diletak di tempat
istimewa tetapi tidak diziarahi lembaran dan isinya. Tidak ditadabbur dan
ditadzakkur sewajarnya dan seperlunya.
Yang indah itu jika dinikmati dengan perasaan. Yang baik itu jika
dimanfaatkan. Maka al-Quran perlukan banyak prasyaratnya:
1
Guru yang berwibawa.
2
Berguru dan mencari guru dan
guru dan guru dan guru……………..
3
Bertalaqqi secara
beristiqamah.
4
Banyak membaca bahan rujukan
yang berbagai dan pelbagai.
5
Banyak bertanya dan
berbincang.
6
Belajar dan terus belajar.
Barangkali kita perlu melihat semula kedudukan al-Quran. It needs
repositioning in our mind. In our action. An integrated effort. Always in-frame
and not out of frame.