Friday, September 28, 2012

Aku Nikah Dan Aku Kahwinkan Dikau ...


Tugas bapa yang terakhir kepada anak perempuannya ialah menikahkannya. Beruntunglah bapa yang  berjaya menikahkan sendiri anak perempuannya itu. Kebanyakan orang mewakilkan kepada jurunikah untuk menikahkan anaknya. Sayang, tugas suci dan syahdu itu terlepas ke tangan orang lain. Tahniah kepada bapa yang berjaya menikahkan anaknya sendiri. Rasanya sukar digambarkan saat-saat syahdu itu. Menentang mata lelaki yang beberpa saat selepas itu menjadi suami anak perempuannya sendiri. Menjadi seorang lagi menantu lelaki. Lelaki yang neneruskan legasi keluarga. Menyambut tanggungjawab yang terakhir dari seorang bapa. Kepdanya disandarkan segala harapan untuk kelangsungan sebuah keluarga yang diharapkan semakin membesar dengan anak-anak yang soleh dan solehah. Aliran warisan keluarga yang meneruskan generasi demi generasi.

Menggenggam tangan seorang bakal menantu tentulah sukar diceritakan. Kamera hanya dapat menggambarkannya secara fizikal. Hanya apa yang dapat dilihat dengan mata kasar. Pegunan peristiwa yang terakam. Tiada siapa yang melihat telus dalaman  dua manusia yang pertama kali bertemu kerana Allah. Seorang bapa berada dalam saat ingin memindahkan tanggungjawab melindungi seorng anak. Seorang lelaki yang dengan gagahnya ingin melindungi seorang wanita dari bapanya. Tergenggam erat dua tangan kanan. Yang seorang ingin menyerahkan. Yang seorang ingin menerima. Terlerailah suatau saat besar dalam hidup sepasang insan yang diijabkabulkan. Yang nantinya melayari hidup berumahtangga. Alam baru yang dinukilkan indah. Benar. Ia indah andai ada kesungguhan untuk mengindahkannya. Pelakunya yang mengindahkannya. Keindahan tidak datang dengan sendirinya.

Menjadi bapa selalu disalaherti. Dilihat tiada emosi. Dipandang tidak peka. Menjadi lelaki banyak cabarannya. Menjadi suami menapak menghadapi semua yang datang dalam apa sahaja bentuknya. Susah senang bersama. Sendu lelaki tiada dilihat. Beberapa hari saya tersayu sendiri. Selepas solat sebak datang sendiri. Kedewasaan dan ketuaan yang memanjat lama. Berada di atas usia yang semakin banyak. Anak-anak berada di bawah. Mereka berlaluan dan pergi seorang demi seorang. Yang ditinggal ialah perasaan. Kasih yang melekat di hati. Itulah agaknya saya selalu mencium anak-anak walaupun usia mereka telah menjangkaui puluhan tahun. Ayah berbeza dari ibu yang terlalu dekat hatinya. Yang selalu peka dengan apa sahaja yang di hati. Bapa hanya menyimpan di sudut hati. Jauh ke dalam dasar. Payah hendak timbul ke atas. Namun sudut hati itu  selalu rapuh. Selalu cair kehibaan.

Melepaskan anak-anak menjadi fitrah. Setiap ayah menerima itu sebagai ketentuan. Bila ‘Aku nikah dan aku kahwinkan ....” bermakna suatu keredhaan hati menerima hakikat bahawa anak perempuannya sampai waktu diserahkan kepada lelaki yang menjadi suaminya. Yang menjadi menantu si ayah. Waktu sudah menentukan saatnya. Ketika sudah datang menjenguk perpisahan ruang. Dakapan tanggungjawab yang harus dileraikan. Ada lelaki yang bersedia mengambil tanggungjawab itu. Terima kasih seorang ayah kepada lelaki yang pemurah hatinya itu. Mengambil seorang anak perempuan dari ayahnya dengan kerana Allah. Adat dan resam hanya penyeri yang tidak mengganggu akidah. Adat kebiasaan sebagai gaya hidup sesuatu masyarakat setempat. Yang penting bukan amalan syaitan. Bukan amalan yang bertentangan dengan ketentuan Allah.

Sorang ayah hanya mampu berpesan buat bekal melangkah anak perempuannya. Bahawa ia sudah menjadi isteri orang. Menjadi anak orang. Mertua adalah bapa dan ibu yang menambah bilangan orang-orang yang perlu dikasihi dan disayangi. Seluruh hidupnya untuk lelaki yang bernama suami. Lelaki itulah yaang menentukan keindahan berumahtangga. Lelaki itulah yang membahagiakan kedua ibu bapanya. Lelaki itulah yang diharapkan menambah kebahagiaan seorang bapa dan ibu mertuanya. Kedamaian dan keharmonian yang harus dibina dalam hidup bersemenda. Mengindahkan perhubungan kekeluargaan.  Suatu harapan dan doa yang perlu diusahakan. Kepada Allah jua dipanjatkan segala yang dihasratkan. Percayalah, ayah dan ibu sentiasa ada untuk ditagih kasih sayangnya. Untuk disandarkan nasihat dan tunjuk ajar. Untuk dipandang lama kerana sisa hidupnya semakin tiada.

Langkahkanlah kakimu menuju arah bahagia di dunia dan akhirat. Ingat Allah sentiasa kerana Dia yang menghidup dan mematikan kita. Darinya sahaja kita bermohon anugerah segala keselamatan. Menuju jalan lurus ke syurga. Terhindar dari panas azab seksa neraka. Anak-anakku, abah doakan kebahagiaan kamu kesemuanya. Carilah jalan kebaikan. Binalah kebahagiaan dari tarikh mula alam baru ini kau terokai. Melihat dan belajar sahaja hanya teori yang mungkin benar. Mengalami dengan penuh sabar adalah yang lebih baik. Semua jalan tidak ada yang lurus sentiasa. Ada belok-beloknya. Ada tinggi rendahnya. Namun semua jalan menyampaikan kita ke destinasi yang direncana. Masa dan ketika yang menentukan. Cara yang menentukan capaiannya. Ambillah iktibar dari orang lain. Orang-orang dahulu yang lebih lama hidup. Yang kata orang sudah lebih banyak makan garam. InsyaAllah Allah bersamamu.

Friday, September 14, 2012

Apakah Semangat Melayu Telah Hilang


Orang Melayu sejak dari dahulu adalah bangsa yang terkehadapan. Mereka menjadi bangsa seafarer. Lautan luas di redah. Ke timur mereka sampai di negara Cina. Di barat mereka diktakan sampai di Rom. Begitulah gahnya Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu menceritera dan melaporkan. Empayar Sri Vijaya merentasi hampir seluruh Alam Melayu. Tanah Melayu, Sumatera dan Pulau Jawa di bawah kekuasaannya. Apabila tertegak kerajaan Majapahit saki baki kekuatan itu masih ada. Kemudiannya tertegak pula kerajaan Melayu Melaka. Selat Melaka dan Laut Cina Selatan  dikuasai. Lalu lintas dikawal. Perdagangan menjadi nadi Melaka. Seluruh nusantara Melayu mengiktiraf Melaka. Kerajaan Majapahit menghormati Melaka. Kerajaan Cina menghormati Melaka. Kerajaan Siam (Thailand) menghormati Melaka. Pulau Sarendip (Sri Lanka) bukan asing kepada orang Melayu. Begitu juga Champa dan Myanmar. Pendek kata orang Melayu adalah penguasa nusantara ini.

Dalam banyak hal kepimpinan adalah penentu kejayaan. Pemimpin yang berjaya adalah kepimpinannya. Penguasa mana-mana negara sekalipun bersandar kepada penasihat yang bijaksana. Lihatlah sewaktu Tun Ali menjadi Bendahara Melaka. Tiada siapa yang hormatkan Melaka. Siam menyerang bertalu-talu. Apabila Tun Perak menjadi Bendahara dia bukan sahaja menjadi perancang, pentadbir, pembina sistem malah dia menjadi the king maker. Pada zamannya Melaka menjadi gah di merata-rata. Melaka menjadi makmur. Sultan silih berganti tetapi Tun Perak panjang usianya. Hingga sangat tuapun ia tetap setia. Ia tetap berpandangan jauh. Tidak derhaka kepada sultan tetapi bijaksana mencari helah. Dia tahu yang mana benar dan yang mana salah. Mengampu tidak pernah. Malah ketika anaknya di bunuh anak sultan, ia tiada membantah. Pengikutnya yang hendak memberontak ditenangkan. Politiknya meletakkan sultan selalu berharap kepadanya. Tiada penentangan. Dengan kebijaksanaannya anak raja itu di buang ke negeri lain. Keganasan anak raja itu ditamatkan dengan membuangnya dari negeri. Walaupun ditabalkan menjadi raja di negeri lain, hakikatnya anak raja itu dibuang negeri. Yang penting Melaka diselamatkan dari huru hara dan malapetaka.

Yang hidup pastinya mati. Tun Perak meninggal dunia dalam usianya yang sangat tua. Penggantinya tidak dapat meneruskan legasi kebijaksanaannya. Jarum-jarum halus hasad dengki semakin menular. Perkara kecil menjadi besar. Lama-lama kelamaan tiada siapa yang boleh dipegang cakapnya. Percaya mempercayai tidak wujud lagi. Yang tinggal ialah jasad-jasad yang hidup tanpa isi. Tiada hikmah. Semangat Tun Perak hilang. Kewajaan Hang Tuah pupus. Si Kitul dan Mendeliar bermahrajalela disuntik dengan hasutan Portugis. Orang Melayu sudah lama kehilangan kepimpinan berwibawa. Akhirnya Melaka jatuh ke tangan Portugis. Bukan kerana senjata. Bohong jika dikatakan bahawa orang Melaka kalah kerana mereka memakai keris sedangkan orang Portugis memakai meriam. Sejarah merakamkan orang Melaka juga cekap menggunakan meriam. Lela rebtaka berjajaran di pantai Melaka. Menunggu untuk dicucuh api meledakkan isi.

Yang menjadi masalah ialah perancangnya tiada. Penyusun strateginya tiada. Semangatnya tiada.  Meriam yang bersusun tiada digunakan dengan sebaiknya. Mungkin ada yang engkar tidak mahu membakar meriam. Habuan sudah memenuhi kantung dan poket. Cacat cela dari dalam mencacatkan fizikal. Merosakkan fikiran. Jalan fikir menjadi tumpul. Maka berlakulah rentetan penaklukan penjajah dari Portugis kepada Belanda kepada Inggeris kepada Jepun kepada Inggeris. Kita merdeka pada tahun 1957 setelah dijajah selama 466 tahun. Rasanya belum ada negara yang sebegitu parah dijajah. Seluruh sistem hidup kita menjadi cebisan-cebisan belaka. Memang benar ada manfaatnya tetapi cuba lihat keliling. Cuba amati diri kita masing-masing. Fikiran kita masih jauh dijajah. Takut bersuara. Takut mencadang. Takut memberi pendapat. Takut bertindak. Kita masih terlalu peka dengan menjaga hati orang. Takut apa orang kata. Jangan buat apa yang orang tidak buat. Pada era Natrah dirampaas dari ibu angkatnya di Singapura orang Melayu merusuh. Tetapi isu itu menjadi sepi kerana orang Melayu tiada mendapat sokongan dari atas. Malah dikampung saya orang takut membicarakannya. Takut ada mata-mata British.

Kreativiti sebagai sebauah bangsa yang seafaring hilang dari kita. Semangat meredah lautan tiba-tiba reda begitu sahaja. Semuanya diserahkan kepada British. Mereka yang menghapuskan lanun. Mereka yang meredah lautan. Mereka yang bedagang. Kita pula didiamkan dengan diberi subsidi. Lemak dan malas berusaha lagi kerana semuanya disediakan oleh British. Dari the highest echelon hinggalah rakyat jelata yang hina dina semuanya berpuas hati mendapat habuan yang tidak seberapa sementara segala harta negara diangkut ke London.  Malah warisan seni kita diangkut sama. Sejarah mencatatkan bahawa semuanya tenggelam semasa Raffles. Hakikatnya semua manuskrip itu ditemui di Barat. Di London. Di Leiden dan banyak lagi kota di barat. Lalu orang British menulis tentang sejarah kita. Melalui kacamata mereka. Mengikut pandangan mereka. Maka lahirlah kata-kata yang menghiris jiwa kita bersama.

Orang Melayu adalah penderhaka. Orang Melayu adalah pemalas. Orang Melayu suka mengamuk. Itulah gambaran mereka terhadap orang Melayu. Kepada mereka orang Melayu adalah hampas. Santannya mereka pulas dan perah untuk mereka bawa pulang. Malangnya hormat orang Melayu kepada orang Putih masih di tahap tidak menasabah. Kita terlalu menganggap mereka superior. Dari jauh itu yang kita lihat. Itu yang kita baca. Politik mereka mencanangkan kehebatan mereka. Walhal mereka juga seperti kita. Ada yang miskin. Ada yang tidak pandai. Ada yang bergelandangan. Ada yang lemah dari segala aspek. Gambaran dari luar menunjukkan mereka sangat gah. Sangat hebat. Apatah lagi jika kita selalu tertipu dengan paparan dalam filem dan drama mereka. Pergilah melancong ke negara mereka pasti yang dilihat jauh panggang dari api. Mereka memaparkan yang hebat sahaja. Yang merempat tiada ceritanya. Media mereka kuasai. Mereka sajikan apa yang ingin mereka sajikan. Tanpa ilmu dan maklumat kita menerima semuanya.

Sekarang Putera William dan isterinya Kate Middleton berada di negara yang pernah dijajah oleh datuk moyang mereka. Penghormatan kita terhadap mereka kadang-kadang melebihi jangkaan. Mereka bukan siapa-siapa kecuali selebriti diraja. Masih jauh untuk menjadi pewaris tahta. Semangat kita masih dijajah barangkali. Sambutlah seadanya. Sebagai tetamu. Bukan seperti ketua negara. Kita tahu sejarah mereka. Kita tahu sejarah kita. Tidak adakah pemisah antara keduanya. Setelah 466 tahun dijajah, minda yang dijajah terserlah dari satu masa ke satu masa yang lain. Cuma yang tidak dapat dipecahkan ialah agama. Yang tidak dibuang ialah agama. Beratus tahun orang Barat ingin melakukannya, namum orang Melayu menolaknya. Semasa kita miskin kita menolak. Semasa kita papa kita menolak. Semasa kita tiada apa-apa kita menolak. Kemiskinan bukan sehingga menjual agama. Tetapi sekarang apabila kita kaya kita jual agama.  Bila kita senang kita lupa agama. Bila kita mewah kita abaikan agama.

Pada kurun ke-14 Islam telah berada di Terengganu. Batu bersurat di Sungai Teresat memberi bukti nyata yang tidak diragukan. Satu abad lebih awal dari yang sejarahkan di Melaka. Kerana berpegang kepada agama melaka menjadi gagah. Qanun Melaka, Qanun Laut Melaka dan lain-lain undang-undang telah digubal sebagai pengawal negara. Melaka telah unggul dalam hal-hal tersebut. Malangnya orang Melaka sendiri yang mengkhianatinya. Termakan pujukan Si Kitul dan Meadeliar. Dua orang yang tiada wibawa untuk dipercayai. Setelah Portugis mengalahklan Melaka, nama-nama mereka hilang dari sejarah. Marilah kita cari semula semangat Tun Perak dan Hang Tuah. Anak-anak kita perlukan semangat itu. Tambahan pula kita bangunkan mereka dengan semangat Khalid al-Walid, Sayyidina Umar, Tariq al-Jabar dan ramai lagi pahlawan Islam. Jangan lupa Sallahuddin al-Ayubi yang mengalahkan angkatan orang Barat yang diketuai oleh Richard The Lion Heart. InsyaAllah semangat juang itu akan datang lagi.