Monday, December 6, 2010

Pohon Pisang di Tana'im

Semua perjalanan dari Madinah ke Makkah mesti berhenti di masjid Tana'im. Masjid ini adalah persinggahan yang wajib. Di sini, di masjid ini solat sunat ihram dan beniat ihram atau haji. Inilah miqat. Tempat wajib berniat ihram atau haji. Miqat bagi yang datang dari Madinah. Jika kita terbang ke Jeddah dan terus ke Makkah maka mqat kita di Qurnul Manazil. kita di udara ketika itu. Jika datang dengan kapal laut kita niat ihram di Ya'lamlam di Yaman.

Lazimnya bagi yang datang dari Madinah sudah siap mandi sunat ihram. Kain ihram sudah dipakai. Di Masjid Tana'im mereka solat sunat ihram. Selepas tamat solat mereka berniat haji atau umrah. Lalu keluarlah mereka menuju bas. Bermulalah perjalanan jauh yang merentas padang pasir yang luas. Apabila bas mula bergerak bergemalah talbiah masing-masing. Talbiah yang mengungkapkan kesungguhan untuk segera datang menghampirkan diri kepada Allah. Ingin segera berada di Masjid al-Haram. Ingin segera tawaf di kelilimg kaabah.

Masjid Tana'im sama juga seperti masjid-masjid yang lain. Tidak pernah sunyi dari jemaah yang singgah. Persinggahan yang wajib. Saya sedikit terkejut kerana di perkarangan masjid terdapat rumpun pohon pisang. Subur dan menghijau. Berbuah lebat. Tertanya-tanya juga. Bagaimana pohon itu boleh hidup subur di situ. Suhu memang panas. Rasanya memang tidak sesuai untuk menanam pohon pisang. Kuasa Allah. Bumi Arab itu subur sebenarnya. Pernah mewah dengan kesuburannya. Bukti-bukti satelit menunjukkan bahawa di bawah padang pasir itu penuh dengan air. Cuma terlalu jauh di bawah untuk membolehkan tumbuhan hidup subur. Pacaram matahari pula terlalu terik.

Ada hadith yang mafhumnya bahawa suatu ketika nanti bumi Arab itu akan subur kembali. Isyarat bahawa kiamat semakin hampir. Tanda-tandanya sudah mula kelihatan. Pemanasan global sudah mula menaikkan Paras air laut. Air mula naik dan membentuk aliran-aliran air. Bumi yang kering kontang dari utara (Palestin) hingga ke selatan (Yaman) mula banyak menerima air. Ada pula air yang dibawa ke padang pasir. Di Arafah umpamanya, pokok kayu semakin banyak, semakin besar dan semakin hijau. Jemaah haji boleh berlindung di bawah pokok-pokok yang rendang itu. Tetapi awas. Tangan jangan nakal. Tidak boleh mematahkan pokok. Tidak boleh mematahkan dahan. Tidak boleh memetik daun. Tidak boleh memetik bunga. Semuanya untuk dilihat dan untuk dinikmati. Untuk diinsafi akan kebesaran Allah. Tidak sekali-kali untuk dirosak atau dimusnah. Tidak batal haji atau umrah tetapi jenuhlah nanti membayar dam.

Merentasi padang pasir yang panas mengambalikan ingatan kepada sejarah. Sempena Maal Hijrah ini mungkin boleh saya imbau jauh surut ke belakang. Zaman hijrah yang penuh sejarah. Yang penuh dengan muslihat. Yang penuh dengan rencana Allah dan manusia. Hijrah yang mencemerlangkan iman dan Islam. Duduk di dalam bas yang berhawa dingin tidak merasakan peritnya melalui padang pasair itu. Kita terlalu selesa dengan teknologi hingga kita tidak dapat merasakan indah dan nikmatnya hijrah itu. Kita selalu berada di zon selesa. Takes thing for granted. Keperitan di padang pasir itu kita hindarkan begitu sahaja. Kita lupa akan sukarnya Islam diperkembangkan. Sukarnya berhadapan dengan manusia-manusia yang jumud dan jahil.

Pada tahun-tahun 50an dahulu datuk saya mengerjakan haji. Jangkamasa dia di sana selama tujuh bulan. Dari Makkah ke Madinah mengambil masa kira-kira sebulan. Dia menaiki unta. Dalam sekedup kecil. Berjalan perlahan-lahan pada waktu malam. Siangnya dia berhenti berlindung dari panas yang membakar. Jemaah ketika itu benar-benar berhijrah. Fizikal dan spiritual. Tenaga memang diperlukan. Hanya yang muda-muda lebih betah mengerjakannya. Yang tua-tua seperti sekarang tentulah seksa jadinya. Mereka pula sarat membawa semua keperluan. Pakaian dan makanan. Apa sahaja yang diperlukan dalam perjalanan. Hampir-hampir lock, stock and barrel. Jemaah sekarang paling lama 45 hari. Tidak pula merasakan sengsara seperti datuk saya dahulu.

Mereka menaiki kapal laut. Lebih dua minggu pelayaran pergi dan lebih dua minggu pelayaran baliknya. Mabuk, sakit dan pening sudah tidik boleh hendak diperkatakan lagi. Yang meninggal hanya laut tempat di semadikan. Menjadi makanan ikan dan jerung. Atau mungkin bersemadi di dasar laut jika jasadnya Allah haramkan dimakan ikan. Di atas kapal itu bermacam-macam boleh berlaku. Ukhwah bertambah kerana lama bersama. Ada juga yang bertemu jodoh dalam perjalanan pulang. Al-maklum tujuh bulan bersama. Duda bertemu janda atau anak dara. Anak bertemu anak. Yang muda dan yang tua. Ada jodoh di kapal itu mereka bertemu. Jika tidakpun mereka menjadi saudara. Pergaulan yang menajdi mesra kerana terlalu lama bersama.

Masa telah mengubah teknologi. Kapal laut yang nostalgik itu sudah tiada lagi. Dulu, menunaikan haji itu suatu peristiwa yang sangat membenih sayu dan hiba. Berpisah selama tujuh bulan. Bila kapal bergerak ada muazzin yang mengumandangkan azam. Ketika itu yang di atas kapal hujan dengan air mata. Yang di pelabuhan banjir pula dengan air mata. Yang pergi mungkin sedikit sedih meninggalkan tanah air dan orang-orang yang tersayang. Tetapi niat dan tekad sudah bulat untuk hampir dengan Allah. Kaabah yang dituju. Bait al-Allah (rumah Allah) sudah jelas di mata. Sudah hadir di hati. Dekat dan mendekat. Air mata boleh ditahan kerana ada harapan yang lebih gemilang. InsyaAllah tanah air akan ditandang pulang. Orang-orang tersayang boleh didatang pandang. Tetapi yang nun jauh di sana mungkin hanya sekali seumur hidup. Inilah masanya. Seluruh hayat dan masa untuk diabdikan untukNya.

Yang ditinggal menunggu dalam cemas. Bilangan jemaah yang meninggal tentulah agak ramai. Tujuh bulan yang sangat lama. Yang sakit mungkin sukar pulihnya. Yang tua sampai ajalnya. Takut-takut nanti pulangnya hanya pakaian, tikar bantal dan harta pesaka yang tidak seberapa. Zaman itu pergi menunaikan haji adalah antara hidup dengan mati. Ramai pula yang mati. Belum yang berdoa pula untuk mati dan bersemadi di sana. Di tanah haram yang mengharamkan jasad mereka dari neraka. Janji Allah.

Bagaimana jika kita layangkan fikiran sebentar. Dua sosok tubuh yang melangkah dengan waspada meninggalkan Makkah untuk menuju Madinah. Bayangkan suhu ketika itu sekira-kira 50 darjah selsius. Sosok tubuh itulah yang menyempurnakan hijrah. Menyelamatkan risalah syahadah. Bermulanya gembelingan tenaga untuk membina kekuatan Islam. Darinya terbentuk negara Islam pertama di Madinah. Di situ lahir Piagam Madinah. Perlembagaan pertama dalam sejarah manusia dan kemanusiaannya. Contoh yang diikuti hingga kini dengan nama perlembagaan negara. Piagam yang mengandungi 47 fasal itu menjadi titik tolak perkasanya Islam di Madinah. lalu menyebar ke seluruh bumi Arab. Ke barat meruntuhkan empayar Rom. Ke timur meruntuhkan empayar Farsi. Dua kuasa besar yang menghimpit Islam ketika itu.

Di padang pasir yang kontang dan kering. Di padang pasir yang terik dan pedih. Di padang pasir yang selalu dahaga dan lapar itulah Rasulullah dan sahabat karibnya Abu Bakr al-Siddiq mengharungi derita fizikal. Di Gua Thur yang kecil itu Rasulullah mendamaikan Abu Bakr. "Jangan kau sangka kita berdua, bahkan kita bertiga." Allah sentiasa bersama mereka. Allah melindungi mereka. Hijrah yang penuh dengan iktibar dan pengajaran. Hijrah yang seharusnya menjadi model untuk memperkasa iman dan Islam. Memperkasa keyakinan dan keindahan beragama. Bagi yang umrah dan haji tentulah terngiang-ngiang lagi ungkapan:

Labaik Allah humma labaik
Labaikla syarikala kalabaik
Innal hamda
Wan nikmata
Laka wal Mulk
La syaraikalak

Carilah maknanya. Fahami maksudnya. Tusukkan ke hati. Nanti akan datang rindu yang sayu. Rasa yang menghiba. Menginsafi diri. Dan semalam hati saya tersentuh waktu menonton siaran langsung sambutan Maal Hijrah. Nyanian kanak-kanak yang menusuk mengingatkan saya akan Rasulullah yang bersemadi di Madinah. Kekasih Allah yang tiada tandingnya. Seluruh alam ini untuknya. Kehadirannya adalah rahmat untuk seluruh alam. Alam ini dicipta untuknya. Manusia yang paling dikasihi Allah. Manusia yang menjadi contoh ikutan terbaik. dirinya adlah al-Quran berjalan. Akhlaknya adalah al-Quran. Air mata saya mengalir. Terasa sayu benar teringatkannya. Ada ketikanya saya benar-benar tersedu. Bergoncang tubuh saya. Saya tidak pasti sama ada isteri saya perasaan atau tidak. Banyak kali saya mengesat air mata. Saya tidak pula menyatakan apa yang saya rasa. Saya bermain dengan perasaan saya sendiri.

Maal Hijran yang mengubah segala-gala. InsyaAllah kita bertemu semu tahun Hijrah 1433.

No comments:

Post a Comment