Tuesday, October 24, 2017
Hari-Hari Yang Berlalu
Kehidupan kita ini selalu mencapai hasrat yang berbeza-beza. Yang dijangka dan yang tidak dijangka. Apa yang berlaku adalah ketentuan Allah. Kesemuanya dengan izin Allah. Walau bagaimanpun kita sendiri barangkali boleh berusaha untuk berperanan menggunakan akal fikiran sendiri. Akal yang dianugerahkan Allah untuk digunakan secara rasional dan saksama. Malangnya
sebagai manusia kita melakukan khilaf sepanjang perjalanan kehidupan kita. Mungkin kita tidak menyedari bahawa diri kita ini dibahagikan kepada beberapa bahagian penting.
Untuk Allah
Untuk masyarakat
Untuk keluarga
Untuk diri sendiri menyendiri
Bahagian yang keempat itu yang selalu terabai. Kita lupa bahawa kita ada diri sendiri. Tidak
kurang pentingnya membelai diri sendiri. Menjaga kebajikannya. Menjaga mentalnya. Menjaga emosinya. Menjaga psikologinya. Setelah menjaga tiga bahagian yang lain, yang mungkin lebih penting, kita tidak boleh lupa diri kita sendiri. Kekuatan diri kita yang melayakkan kita melaksanakan tiga perana yang lain. Tanpa kekuatan diri kita akan goyah berhadapan dengan tiga peranan yang lain itu. Lazimnya kita selalu melupakan diri kita sendiri. Kita kehilangan diri kita sendiri dalam mengharungi kehidupan. Kebarangkaliannya ada orang mengatakan bahawa apabila
kita dewasa kita tidak perlu lagi memikirkan diri sendiri. Kita serahkan diri kita kepada Allah, kepada masyarakat dan kepada keluarga. Mungkin benar kepada kebanyakan orang tetapi mungkin ada segelintir dari kita yang berfikir sebaliknya.
Ada masa-masanya kita perlu menyendiri. Bukan untuk
lari dari tanggungjawab. Bukan untuk lari dari masalah. Bukan untuk lari dari
berhubungan dengan orang lain.
Untuk mencari diri sendiri yang perlu dikongsi
dengan orang lain.
Untuk muasabah diri yang selama ini sudah kita lupakan. Yang sudah hilang dari pemikiran. Untuk merancang masa hadapan yang mungkin sudah kabur. Untuk membataskan diri dari hal-hal yang boleh
menjejaskan keselesaan, kebahagiaan dan kesejahteraan diri sendiri. Diri sendiri bukan yang paling penting tetapi perlu memikirkan diri demi menjaga aras kewarasan berfikir. Aras siuman minda. Aras kejelasan menerima keadaan di sekeliling. Seorang CEO perlu bersendiri untuk mencari
dirinya kembali. Ada keperluan untuk berfikir semula mencari sesuatu yang lebih baik. Boleh merujuk kepada orang lain tetapi sebagai individu, CEOpun perlu mendatangkan kekuatan dirinya sendiri dalam menjalankan tanggungjawabnya. Mungkin dalam sehari kita perlu bersendiri dan menyendiri selama sejam. Dalam seminggu beberapa jam. Ada perkara yang perlu diimbas kemabli. Ada perkara yang perlu diingat kembali. Ada perkara yang perlu dinilai semula. Mungkin ada perancangan yang perlu dirombak. Yang perlu diubahsuai. Yang perlu ditambahbaik. Menyendiri bukan bermaksud bermenung kosong. Hanya mengelamun panjang. Ketika menyendiri itulah besar kemungkinannya kita beimajinasi. Berfikir ke arah melahirkan idea yang besar. Yang kelihatan gila-gila. Walau bagaimanapun apa yang kita fikirkan sewajarnya dalam lingkungan yang boleh kita lakukan sendiri. Itu yang paling baik. Yang paling layak kita laksanakan.
Kita tidak mampu melaksanakan permintaan orang lain. Kadang-kadang ianya di luar minat kita. Di luar keupayaan kita. Membantu besar kemungkinannya mampu dilakukan. Tetapi untuk melaksanakan sepenuhnya mungkin bukan pilihan kita yang wajar. Sebab itulah kita perlu sedar sendiri bahawa
apa-apa yang kita fikirkan bukan untuk diserahkan kepada orang lain untuk menyempurnakannya. Kecualilah orang itu memang pakarnya. Memang profesionnya. Memang hidup matinya. Kepada yang lain mungkin menerima tugas dari orng lain adalah sangat berat. Dirinya sendiri banyak perkara yang hendak dilaksanakan. Yang perlu dijadikan amalan. Untuk merealisasikan impiannya sendiri. Dalam berbagai bidang yang lain tanpa terikat dengan apa-apa. Ada kebebasan untuk dirinya sendiri. Kepada orang lain apa yang dilakukannya mungkin tiada kepentingannya kepada orang lain. Tidak dilihat signifikan. Emansipasi diri perlu pada ketika-ketikanya. Antara kita ada yang mencari kesempurnaan diri – self actualisation.
Begitu juga individu lain. Ia perlukan masa bersendiri untuk menyelesaikan kemelut perasaan. Menyusun idea. Untuk berfikir dengan cara yang lebih baik. Untuk kembali kepada fitrah diri yang asalnya memang sendiri. Kelapangan masa memberi ruang untuk berfikir dengan lebih banyak. Lebih kemas. Lebih beraras tinggi. Ruang untuk menyendiri memberi kelapangan berikir. Itulah sebabnya kita perlukan ruang yang lebih besar. Yang lebih tinggi. Kita mendaki gunung untuk melihat alam dari aras yang tinggi. Kita berada di padang luas untuk mlihat ufuk. Kita melihat laut untuk menghargai luasnya pandangan. Kita kembali melihat yang dekat untuk berpijak di bumi nyata. Di mana kita sebenarnya relatif dengan semuanya ini. Selepas bersendiri lazimnya kita menjadi orang yang berbeza. Memberikan yang berbeza. Dengan tenaga yang berbeza.
Sememangnya kita banyak berfikir. Kita perlukan adab berfikir yang baik. Proses berfikir yang tersusun. Prosedur berfikir yang teruji. Berfikir bukan seperti menghidupkan suis lampu atau suis kipas. Ia perlu suasana yang kondusif. Bukan bermakna di ruang yang hanya sunyi sepi. Damai dan
santai. Itu lebih baik barangkali. Tetapi mereka yang selalu berfikir pada aras tinggi, tempat berfikirnya mungkin ketika dalam suasana hiruk-pikuk. Ketika mendengar ceramah. Ketika berkursus. Ketika berbual. Ketika berada di majlis-majlis. Kesemuanya ini merupakan disiplin diri. Dilatih dan diamalkan. Biasakan membawa kertas dan buku nota. Biasakan membawa pen atau pensil. Biasakan mencatat apa yang dilihat. Apa yang didengar. Apa yang dihidu. Apa yang dirasa. Bunyinya ganjil. Menyendiri. Mencari diri yang hilang seketika.
dalam suasana yang hingar-bangar. Sewaktu bersama dengan orang lain. Itu akan
menjadi realiti jika kita mampu mencari diri kita sendiri.
Pisang Goreng Di Tepi Jalan
Mudahkan? Pisang goreng boleh dibeli sepanjang
jalan. Jalan kampung dan jalan bandar. Di lebuhraya tentu tiada. Di R n R juga
tiada. Jauh sekali di restoran atau di hotel antarabangsa. Sikap mudah ini
memang bagus untuk kita semua. Tetapi cuba kita renung sejenak. Kita pandang
lama-lama. Kita fikirkan semula. Kita buat penilaian yang adil. Fikirkan dalam
konteks enonomi negara. Dalam konteks ekonomi globat. Cuba renung dalam-dalam. Di
manakah status gerai ini berbanding dengan industri makanan seeprti KFC atau
McDonald. Selalunya:
Lokasi gerainya di tepian jalan yang tentunya
sentiasa berdebu. Tidak ditudung dari gangguan debu dan lalat umpamanya.
Suasana persekitarannya tidak kondusif. Longkang
tidak mengalir airnya. Sampah sarap bertaburan merata-rata.
Gerainya buruk. Tidak kondusif ketika panas dan
ketika hujan.
Pakaian pengusahanya ala kadar. Tidak memberikan
imej sesuai sebagai gerai makanan.
Mari kita renung kembali. Mengapakan hanya orang
kita sahaja yang hampir 99% berniaga dalam situasi sebegini? Tidakkah kita terfikir
secara mendalam. Bahawa adakah orang kita hanya layak untuk mendapat dedak
ekonomi? Bukan the real economic cake? Dalam nafas merdeka selama 60
tahun gerai-gerai goreng pisang di tepi jalan ini bukan berkurangan malah
semakin bertambah. Lokasinya semakin parah. Persekitarannya semakin tidak
kondusif. Malah semakin kita lihat banyak perkara yang di luar jangka. Minyak yang
digunakan minyak murahan yang dibeli dari sumber tidak layak. Minyak gorengan
dari kedai-kedai bukan orang Islam. Malah plastik pembungkus dikatakan digoreng
sekali untuk memberi rasa rangup kepada pisang yang digoreng. Kita ingin
bertanya. Siapakan mereka yang mengusahakan gerai-gerai pisang goreng ini. Maaf:
Adakah mereka tiada ilmu mengenai nilai kebersihan
dan kesihatan?
Adakah mereka berniaga untuk sementara sahaja? Tiada
perancangan jangka panjang.
Adakah mereka tiada langsung ilmu mengenai
kualiti? Tentang standard. Tentang nilai baik.
Adakah mereka cetek mengenai ilmu agama?
Adakah tiada nasihat agama dari yang arif?
Dalam banyak hal kita selalu membiarkan
individu yang ingin berniaga sendirian membina tapak yang tidak selarsa dengan
perembangan ekonimi. Perkembangan teknologi. Sebenarnya mereka perlukan:
Nasihat dari aspek agama. Aspek pahala dan
dosa. Dari aspek halal dan haram.
Nasihat teknologi. Dari mereka yang arif
seperti jurutera dan teknologis.
Nasihat profesional seperti dari akauntan,
pakar ekonomi. Jangan kerana mereka peniaga kecil maka aspek profesionalism ini
diabaikan.
Ramai peniaga kecil melibatkan keluarga besar
tetapi berpendapatan rendah. Mereka terjebak antara berkeluarga dengan urusan
berniaga. Di sebuah gerai berkemungkinan hadir anak-anak kecil. Pakaian mereka
mungkin tidak bersih. Pertuturan mereka tidak elok. Kehadiran mereka
menyukarkan pelanggan yang hendak membeli atau makan. Peniaga pula kurang
menahan perasaan. Marahkan anak di hadapan pelanggan. Terjerit-jerit di hadapan
pelnggan. Meja dan kerusi tidak diberihkan secukupnya. Jika dilap sekalipun,
tuala pengelapnya kotor, hitam dan tidak enak dilihat. Sisa makanan dijatuhkan
ke lantai atau ke tanah. Dipijak tanpa nilai dan harga. Aduhai memijak makanan
apabila kita ke gerai makanan yang kecil-kecil ini. Mereka tidak tahu menjaga
nilai makanan. Walau sisanya sekalipun.
Mungkinkah pisang goreng dijual di restoran
besar? Atau di kedai-kedai makan yang besar. Atau di hotel-hotel. Mengapa tidak?
Jaga dan
kawal kualitinya.
Kaedah menggorengnya perlukan teknologi baru. Perlukan
kajian. Perlukan eksperimen.
Cara menghidangnya profesional. Pinggannya sesuai.
Hiasannya sesuai.
Dihidang selepas digoreng. Dalam keadaan masih
panas.
Manis dan masinnya bersesuaian. Sekarang ini
pelanggan peka dengan kesihatan. Gula dan garam perlu secukupnya sahaja.
Penulis pernah melihat makanan digoreng di
sebelah meja pelanggan. Di sebuah restoran besar di Toronto, Canada. Paling lama
barangkali 10 atau 15 minit. Sementara menunggu gorengan mereka memesan makan entrée
terlebih dahulu. Termasuk minuman. Mungkin pengusaha boleh meneroka ke arah
itu. Melonjakkan persembahan perniagaan yang lebih bersifat global. Kita boleh
melakukannya dengan steamboat. Dengan tom yam umpamanya. Inovasi berfikir
ini perlu dirancakkan. Dicambahkan selalu. Diperkatakan sekerap mungkin. Jangan
hangat-hangat tahi ayam. Tidak boleh begitu. Ia perlu dirancakkan supaya lahir
idea baru yang luar biasa. Yang mencabar kebiasaan. Yang memberi manfaat secara menyeluruh.
Orang kita perlukan input besar yang tinggi
mencabar. Walaupun sudah ramai orang kita yang keluar dari kepompong kecil
tetapi terlalu ramai lagi yang masih tidak mengubah paradigma berniaga. Masih lagi
mahu membina gerai di tepi jalan. Di sebelah teman yang juga membina gerai. Lalu
banyaklah gerai bersambung-sambung. Gerai dan gerai. Sebagai permulaan mungkin
menasabah idea itu. Di sinilah mereka perlu dibimbing supaya boleh menyimpan
hasrat besar. Memperuntukkan dana untuk berniaga dengan skala besar. Didik supaya
mereka mengutamakan kejayaan dan bukan mempamerkan kejayaan. Jauh dari
mempamerkan kekayaan. Jika ada kekuatan baru idea ini boleh direalisasikan. Bantulah
wahai mereka yang arif. Yang berada di kerusi kepimpinan. Di kerusi mereka yang
arif tentang teknologi. Tentang ekonomi. Tentang perlunya mengubah paradigma
dan kemahiran berfikir aras tinggi. Membina legasi untuk masa hadapan generasi
dan bangsa.
Catchy Tetapi Di Luar Lojik Minda Dan Agama
Siapa gemar menonton TV? Ramai. Rancangan yang
menjadi pilihan? Mungkin drama Melayu. Aduhai banyak betul komen mengenai drama
Melayu. Tajuknya di luar jangka. Girlfriend dari neraka! Baca dengan
teliti. Baca sekali lagi. Girlfriend dari neraka! Biar betul. Fikirkan
secara jujur. Benarkah ada manusia kembali ke dunia setelah berada di neraka?
Wanita pula. Sukar hendak faham. Rasanya dalam Lembaga Penapisan Filem dan
Drama ada tokoh yang arif dengan agama. Atau memang tiada. Jika demikian high
time ada pakar agama dalam lembaga tersebut. Sesuatu yang mustahil tidak boleh
diterima akal. Ia bukan cliché dan ia bukan suka-suka. Agama memberi
faham mereka yang berada di neraka jika diampunkan Allah akan dimasukkan ke
syurga. Bukan dikembalikan ke dunia. Qiamat belum berlaku jadi proses mahsyar
belum berlaku, proses hisab belum berlaku, proses titian sirat belum berlaku. Kerana itu kita tidak boleh
membenarkan hal main-main ini berlaku kepada kita. Ia melibatkan akidah.
Melibatkan tauhid. Mohon kepada yang arif untuk memberikan penjelasan. Dikhuatiri
akan ramai yang mengambil mudah. Takut ramai rosak akidahnya.
Siapa yang menonton drama sebegitu? Orang
Islam. Orang Melayu. Ianya drama Melayu. Produksi orang Melayu. Adakah ianya
memang disengajakan untuk undermine akidah orang Melayu. Untuk
mempermain-mainkan hal-hal yang berkaitan dengan agama. Kita tidak boleh
berkata bahawa itu hanya tajuk. Tidak! Yang tidak benar adalah tidak benar.
Iman kita tercabar dan tercalar. Bagaimana ibu dan bapa akan menjawab
pertanyaan anak-anak? Benarkah ada orang yang datangnya dari neraka? Jika
jawapannya tidak benar, mengapa tajuk sedemikian diizin dan diluluskan? Ia
sensitiviti agama yang tidak diberikan layanan adil. Selalu benar orang media yang meremehkan
agama. Selalu pula penulis skrip meremehkan agama. Selalu pula artis yang tidak
kuat asas agamanya. Apabila kesmuanya tiada standard agama maka hiburan
dihidangkan tanpa roh agama. Benarlah pada akhir zaman semuanya ingin
meruntuhkan agama. Menjadi tentera dajjal belaka. Kita dialih berfikir jauh
dari kehendak agama.
Itu belum lagi drama yang meremehkan pemikiran.
Meremehkan kedangkalan berfikir. Benar, kita hanya merealisasikan apa yang
berlaku dalam kehidupan sehari-hari. Memanifestasikan realiti tidak sama dengan
merancang untuk memperbetulkan keadaan. Untuk membangunkan minda, adat dan
kebiasaan hidup yang sewajarnya menjurus kepada hidup beragama. Ada pula yang
mempamerkan kontroversi dari segi pandangan agama. Kesemua ini perlu dirujuk
kepada pakar. Kepada majlis fatwa. Kepada mufti. Kepada mereka yang diyakini
arif tentang hal-hal agama. Bayangkan:
Wanita yang tidak boleh berfikir. Mencari kunci
kereta dalam beg tangan pun seperti hilang akal.
Watak-watak yang tidak ada panduan hidup
berdikari.
Dialog yang bertentangan dengan norma beragama.
Watak-watak yang tidak Islamik. Memaki hamun. Minum
minuman keras. Ganas.
Anak-anak yang tidak terdidik. Asas agamanya
kurang sangat.
Pekerja yang tidak jujur. Memang ada tetapi tidak perlu dihighlight
terlalu sangat sehingga menjadi ikutan pula. Atau bakal dicuba-cuba. Banyak perkara
boleh digrafikkan. Boleh hanya dengan dialog. Bukan dengan praktikalnya.
Kesemua ini kembali kepada kita. Kepada ibu dan
bapa. Kepada guru dan ustaz. Kepada penceramah dan motivator. Kepada pemimpin
dan yang dipimpin. Jangan lupa peranan dan tugas media yang pengaruhnya sangat
besar. Yang impaknya sangat menular. Kita harus berfikir secara mikro dan
makro. Mikro bermula dari keluarga yang kecil. Yang boleh dikendalikan oleh ibu
dan bapa. Jika ini gagal dilakukan maka anak-anak yang berada di luar rumah
berpotensi menjadi perosak masyarakat. Menjadi sampah sosial. Ia akan kembali
kepada keluarga. Anak siapa. Siapa bapanya. Siapa ibunya. Malah siapa datuk dan
neneknya. Juga siapa saudara maranya. Secara makro pula, pemimpin yang di atas
yang akan ditanya. Yang akan dipertanggungjawabkan. Kerana itu apa yang
dilakukan pemimpin, menjalar ke bawah. Kepada rakyat biasa. Apa yang dikatakan
oleh pemimpin juga menjadi ikutan rakyat di bawah. Pemimpin dahulu takut
apabila diangkat menjadi pemimpin. Tanggungjawabnya besar. Bukan kuasa yang
penting. Tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Ramai orang mendapat kuasa
tetapi belum tentu penuh 100% tanggungjawab yang dilaksanakannya. Belum tentu
selaras dengan kehendak agama. Belum tentu Islamik.
Apapun yang akan kita lakukan hendaklah beradab
dengan agama. Selaras dengan kehendak agama. Kita ingin mencari jalan lurus. Jalan
selamat. Jalan yang diredhai Allah. Bahawa jalan yang kita pilih menyampaikan
kita kepada keperluan beragama. Keperluan mendekatkan diri dengan Allah. Berhiburlah
dalam lingkungan batas-batas yang digariskan agama. Bergembiralah tetapi jangan
lupa jalan kita ke akhirat. Jalan lurus yang sememang lurus selurus-lurusnya. Jangan
melihat dari sisi yang senget atau herot. Di luar sana banyak sangat gangguan
minda dan pemikiran. Cuba memesongkan kita dari jalan lurus yang sudah kita
pilih. Kadang-kadang kita tidak menutup telinga. Kerap mendengar yang tidak
hak. Kita tidak menutup mata. Memandang yang tidak hak. Tidak menutup mulut. Bercakap
yang tidak hak. Tidak menutup minda sehingaga yang kita fikirkan menyimpang
dari garis agama. Tiada yang lebih baik dari hidup beragama. Mencari redha
Allah.
Jujurkah Sejarah?
Setiap sesuatu ada sejarahnya. Ada mulanya. Ada
perkembangannya. Diharap tiada pengakhirannya. Biarlah ia terus berkembang-maju
terus-terusan mendepani masa dan zaman. Banyak warna-warna sejarah dilihat
meriah tetapi banyak yang dicacat dan dicela. Negara kita sudah 60 tahun
merdeka tetapi merdeka itu diertikan dengan berbagai-bagai. Dua tarikh yang
sukar difahami. Bagi kita di Semenanjung tarikh 31 Ogos sangat sinonim di hati.
Terlalu dekat dengan yang kita cintai. Tanah air tercinta. Lalu tarikh 16
September itu tarikh apa sebenarnya. Ia tarikh merdeka bagi Sarawak dan Sabah. Merdeka
dari Syarikat Hindia Timur. Dari British? Allahu ‘alam. Kita menyambutnya saban
tahun. 54 tahun kita menyambut dua hari bersejarah ini. Mungkinkah generasi akan
datang pada tahun 3,000 mithalnya akan memahami dua tarikh yang signifikan
sekarang ini tetapi pada zaman mereka menjadi sesuatu yang sukar difahami.
Kemeredekaan yang kita kecapi atas perjuangan
siapa? Oportunis mengatakan ianya perjuangan mereka. Sejarah yang kita baca
lain bunyinya. Sejarah yang kita ketahui lain susurnya. Kadang-kadang hal-hal
yang sangat kita ketahui tersasar dari yang dirakam dan ditulis. Seorang wira
umpamanya tidak diketahui apa jasanya. Mereka yang setempat mengetahui asal
usulnya. Apabila seseorang diangkat menjadi hebat, orang tempatan hanya mampu
geleng kepala. Orang jauh meraikannya tanpa mengetahui hal sebenar di peringkat
dasar. Bagaimana sebuah watak wira
sebenarnya? Dari kacamata siapa sejarah itu diangkat? Sudahkah kita
membersihkan nama-nama besar seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Abdul
Rahman Limbung, Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Naning dan banyak lagi. Rasanya mereka
belum lagi diberikan pengiktirafan sewajarnya. Bagaimana dengan Zaaba, Syed
Sheikh al-Hadi, Ishak Muhamad dan tokoh-tokoh politik yang dibenci oleh
British? Di manakah status mereka dalam lipatan sejarah. British memilih siapa
yang boleh diwirakan dan siapa yang tidak diwirakan walaupun jasa mereka sama
besarnya dalam memperjuangkan kemerdekaan.
Kita kadang-kadang terlupa di mana kita berada.
Pada zaman siapa kita berada. Pada masa siapa kita mencipta sejarah. Soalan dasar,
pada zaman British, kita menentang British atau menentang Raja-Raja Melayu? Garis
sejarah ini sewajarnya menentukan siapa wira dan siapa yang bukan. Tetapi kita
sudah dilunakkan dengan kata-kata manis bahawa kita sudah merdeka. Kita sudah
tinggalkan sejarah. Kita tidak lagi perlukan sejarah. Di sinilah kita selalu
terperangkap. Maka wawasan kita tersasar dari mempertahankan apa yang sudah disejarahkan.
Maka kita hilang fokus dalam merealisasikan impak sejarah itu. Lalu ahli
politik membentuk gagasan mereka sendiri. Kependidikan membina kerangka mereka
sendiri. Sejarahwan yang berada di luar merancakkan puzzle sejarah
mereka sendiri. Mereka fit in pieces yang boleh diterima oleh minda
orang lain walaupun belum tentu benarnya. Rakyat di bawah yang sumber sejarahnya
minimal menerima seadanya sejarah yang ditulis indah walaupun tidak semuanya
ditulis dan tidak semuanya pada jalan yang benar.
Sebenarya sejarah diberikan impak yang besar
pada masa akan datang. Dari sejarah kita tahu dari mana sesuatu itu bermula. Jika
politik menutup sejarah yang benar maka generasi akan datang akan kehilangan
apa yang wajar untuk mereka. Struktur bernegara tidak diketahui lagi tiang
serinya. Tanah yang terhampar tidak diketahui siapa miliknya. Malah pemilik
setiap sesuatu tidak diketahui asal usulnya. Sejarah menjadikan kita terherot
di sana dan terherot di sini. Jika kita mengabaikan fenomina sejarah ini maka
kita akan terus menunggu yang tidak
kunjung tiba. Menanti sesuatu yang tidak mungkin menjayakan apa gagasan
sekalipun. Sebab itu:
Kita perlukan batu sempadan untuk menentukan
garis-garis yang perlu dihormati.
Kita perlukan surat hak milik untuk menentukan
secara sahih pemilik yang hak.
Kita perlukan sejarah yang benar untuk
menentukan hak milik dan sempadannya.
Kita perlukan saksi sejarah yang merakam dan
menulis yang benar tentang sejarah.
Kita perlukan dokumen yang menyatakan benarnya
sesuatu sejarah.
Rata-ratanya kita adalah orang kampung. Antara kita
ada yang celek sejarah. Bilangannya amat sedikit. Yang lain adalah penerima
sejarah. Kita pula tidak kritis mengenai sejarah. Menerima dan menerima sahaja
yang kita upaya. Walaupun kadang-kadang kesangsian itu ada tetapi tidak berani
membuat susulan. Tidak berani menambah. Tidak berani mengubahnya. Tidak ada
keberanian untuk menyatakan pendapat. Pengamatan menunjukkan kita selalu
bungkam apabila berhadapan dengan sesuatu yang kita tidak suka. Atau yang kita
tahu salahnya. Bercakap tidak berani tetapi di belakang banyak olahnya. Bersuara
tidak berani. Perkara ini pelik dan memelikkan. Mengapa untuk bercakap
sahajapun tidak berani? Tidak mahu kecoh katanya. Yang benar perlu ditegakkan. Yang
salah perlu diperbetulkan. Yang keliru perlu penjelasan. Sifat kita hanya
menutup mulut sudah tidak relevan lagi.
Di sinilah kita perlu mendidik anak-anak kita
supaya berani berkata yang benar. Banyak bertanya untuk mendapat jawapan yang
benar. Berhujjah untuk menegakkan kebenaran. Ditanya pendapat mereka. Dirujuk jika
ada cadangan alternatif. Anak-anak sekarang jangan ditenggelamkan dengan:
Hanya tahu menyanyi tetapi tidak mengetahui
maksud liriknya. Membina atau meruntuhkan. Atau melalaikan.
Hanya tahu menari walaupun tarinya sumbang tingkah.
Tidak berpijak di bumi nyata masa hadapannya.
Baliklah ke kampung. Tanah sudah tergadai. Rumah-rumah
tradisi sudah berkurangan. Gedung-gedung baru mewarnai lanskap kampung. Bukan milik
kita tetapi milik orang lain. Kita sudah dihimpit dari segala penjuru. Tempat
untuk lari sudah tiada. Tempat untuk bersembunyi sudah tiada. Bagaimana mahu
sedar lagi?
Subscribe to:
Posts (Atom)