Setiap sesuatu ada sejarahnya. Ada mulanya. Ada
perkembangannya. Diharap tiada pengakhirannya. Biarlah ia terus berkembang-maju
terus-terusan mendepani masa dan zaman. Banyak warna-warna sejarah dilihat
meriah tetapi banyak yang dicacat dan dicela. Negara kita sudah 60 tahun
merdeka tetapi merdeka itu diertikan dengan berbagai-bagai. Dua tarikh yang
sukar difahami. Bagi kita di Semenanjung tarikh 31 Ogos sangat sinonim di hati.
Terlalu dekat dengan yang kita cintai. Tanah air tercinta. Lalu tarikh 16
September itu tarikh apa sebenarnya. Ia tarikh merdeka bagi Sarawak dan Sabah. Merdeka
dari Syarikat Hindia Timur. Dari British? Allahu ‘alam. Kita menyambutnya saban
tahun. 54 tahun kita menyambut dua hari bersejarah ini. Mungkinkah generasi akan
datang pada tahun 3,000 mithalnya akan memahami dua tarikh yang signifikan
sekarang ini tetapi pada zaman mereka menjadi sesuatu yang sukar difahami.
Kemeredekaan yang kita kecapi atas perjuangan
siapa? Oportunis mengatakan ianya perjuangan mereka. Sejarah yang kita baca
lain bunyinya. Sejarah yang kita ketahui lain susurnya. Kadang-kadang hal-hal
yang sangat kita ketahui tersasar dari yang dirakam dan ditulis. Seorang wira
umpamanya tidak diketahui apa jasanya. Mereka yang setempat mengetahui asal
usulnya. Apabila seseorang diangkat menjadi hebat, orang tempatan hanya mampu
geleng kepala. Orang jauh meraikannya tanpa mengetahui hal sebenar di peringkat
dasar. Bagaimana sebuah watak wira
sebenarnya? Dari kacamata siapa sejarah itu diangkat? Sudahkah kita
membersihkan nama-nama besar seperti Dato’ Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Abdul
Rahman Limbung, Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Naning dan banyak lagi. Rasanya mereka
belum lagi diberikan pengiktirafan sewajarnya. Bagaimana dengan Zaaba, Syed
Sheikh al-Hadi, Ishak Muhamad dan tokoh-tokoh politik yang dibenci oleh
British? Di manakah status mereka dalam lipatan sejarah. British memilih siapa
yang boleh diwirakan dan siapa yang tidak diwirakan walaupun jasa mereka sama
besarnya dalam memperjuangkan kemerdekaan.
Kita kadang-kadang terlupa di mana kita berada.
Pada zaman siapa kita berada. Pada masa siapa kita mencipta sejarah. Soalan dasar,
pada zaman British, kita menentang British atau menentang Raja-Raja Melayu? Garis
sejarah ini sewajarnya menentukan siapa wira dan siapa yang bukan. Tetapi kita
sudah dilunakkan dengan kata-kata manis bahawa kita sudah merdeka. Kita sudah
tinggalkan sejarah. Kita tidak lagi perlukan sejarah. Di sinilah kita selalu
terperangkap. Maka wawasan kita tersasar dari mempertahankan apa yang sudah disejarahkan.
Maka kita hilang fokus dalam merealisasikan impak sejarah itu. Lalu ahli
politik membentuk gagasan mereka sendiri. Kependidikan membina kerangka mereka
sendiri. Sejarahwan yang berada di luar merancakkan puzzle sejarah
mereka sendiri. Mereka fit in pieces yang boleh diterima oleh minda
orang lain walaupun belum tentu benarnya. Rakyat di bawah yang sumber sejarahnya
minimal menerima seadanya sejarah yang ditulis indah walaupun tidak semuanya
ditulis dan tidak semuanya pada jalan yang benar.
Sebenarya sejarah diberikan impak yang besar
pada masa akan datang. Dari sejarah kita tahu dari mana sesuatu itu bermula. Jika
politik menutup sejarah yang benar maka generasi akan datang akan kehilangan
apa yang wajar untuk mereka. Struktur bernegara tidak diketahui lagi tiang
serinya. Tanah yang terhampar tidak diketahui siapa miliknya. Malah pemilik
setiap sesuatu tidak diketahui asal usulnya. Sejarah menjadikan kita terherot
di sana dan terherot di sini. Jika kita mengabaikan fenomina sejarah ini maka
kita akan terus menunggu yang tidak
kunjung tiba. Menanti sesuatu yang tidak mungkin menjayakan apa gagasan
sekalipun. Sebab itu:
Kita perlukan batu sempadan untuk menentukan
garis-garis yang perlu dihormati.
Kita perlukan surat hak milik untuk menentukan
secara sahih pemilik yang hak.
Kita perlukan sejarah yang benar untuk
menentukan hak milik dan sempadannya.
Kita perlukan saksi sejarah yang merakam dan
menulis yang benar tentang sejarah.
Kita perlukan dokumen yang menyatakan benarnya
sesuatu sejarah.
Rata-ratanya kita adalah orang kampung. Antara kita
ada yang celek sejarah. Bilangannya amat sedikit. Yang lain adalah penerima
sejarah. Kita pula tidak kritis mengenai sejarah. Menerima dan menerima sahaja
yang kita upaya. Walaupun kadang-kadang kesangsian itu ada tetapi tidak berani
membuat susulan. Tidak berani menambah. Tidak berani mengubahnya. Tidak ada
keberanian untuk menyatakan pendapat. Pengamatan menunjukkan kita selalu
bungkam apabila berhadapan dengan sesuatu yang kita tidak suka. Atau yang kita
tahu salahnya. Bercakap tidak berani tetapi di belakang banyak olahnya. Bersuara
tidak berani. Perkara ini pelik dan memelikkan. Mengapa untuk bercakap
sahajapun tidak berani? Tidak mahu kecoh katanya. Yang benar perlu ditegakkan. Yang
salah perlu diperbetulkan. Yang keliru perlu penjelasan. Sifat kita hanya
menutup mulut sudah tidak relevan lagi.
Di sinilah kita perlu mendidik anak-anak kita
supaya berani berkata yang benar. Banyak bertanya untuk mendapat jawapan yang
benar. Berhujjah untuk menegakkan kebenaran. Ditanya pendapat mereka. Dirujuk jika
ada cadangan alternatif. Anak-anak sekarang jangan ditenggelamkan dengan:
Hanya tahu menyanyi tetapi tidak mengetahui
maksud liriknya. Membina atau meruntuhkan. Atau melalaikan.
Hanya tahu menari walaupun tarinya sumbang tingkah.
Tidak berpijak di bumi nyata masa hadapannya.
Baliklah ke kampung. Tanah sudah tergadai. Rumah-rumah
tradisi sudah berkurangan. Gedung-gedung baru mewarnai lanskap kampung. Bukan milik
kita tetapi milik orang lain. Kita sudah dihimpit dari segala penjuru. Tempat
untuk lari sudah tiada. Tempat untuk bersembunyi sudah tiada. Bagaimana mahu
sedar lagi?
No comments:
Post a Comment