Menurut riwayat, Rasulullah saw menyukai empat warna
iaitu putih, hitam, hijau dan merah jambu. Itulah sunnah. Kerana itu apa-apa
yang dikaitkan kepada Islam lazimnya dihubungkan dengan warna hijau. Ia sinonim
dengan alam. Pepohon yang menghijau membekalkan sumber oksigen kepada semua kehidupan
khususnya manusia. Manusia pula dicipta untuk memakmurkan dunia. Terikat dengan
“Tidak Ku (Allah) jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadat kepadaKu”. Kita
dalam kerangka iman dan Islam. 24 jam diri kita dikawal oleh masa yang mesti
diisi dengan aktiviti syarie. Aktiviti yang dalam redha Allah. Yang memberikan
natijah positif dari segi agama. Dari segi ammar maaruf nahi mungkar.
Sejak kebelakangan ini orang kerap benar menyebut
karpet merah. Berulang-ulang. Ulangannya seperti semakin kerap. Sama ada kita diseronokkan
untuk mengejar karpet itu atau dunia sudah semakin pendek masanya. Sudah semakin
mengejar akhirat. Manusianya sahaja mengejar dunia yang semakin jauh. Setiap media
sosial tidak lekang dari membicarakan tentang dunia hiburan. Teringat nukilan
allahyarhan Ahmad Ammar. Berhibur dengan al-Quran di kala gusar dan
kerungsingan memanjat hati. Alangkah indahnya. (1) Kalam Allah yang diwahyukan
kepada (2) penghulu segala Nabi melalui (3) penghulu segala malaikat. (4) Tertulis
dalam mushaf. (5) Bermula dari al-Fatehah dan diakhiri dengan surah an-Nas. (6)
Disampaikan kepada kita secara mutawatirah
dan (7) membacanya diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Kita selalu mencari alternatif selain dari yang
diredhai oleh Islam. Kita mengejar sesuatu ilusi yang dimayakan. Digambarkan seperti
realiti. Seperti benar dan hak. Kita tahu dunia hiburan dengan artistenya. Dengan
selebritinya. Dengan fesyen pakaiannya. Mereka
yang terlibat adalah insan-insan seperti kita juga. Mencari alternatif yang
dikira boleh. Yang dikira halal. Ada pertimbangan yang lebih wajar. Yang halal
jelas halalnya. Yang haram jelas haramnya. Yang berada di tengah-tengah pastinya
meragukan. Kepada mereka yang beriman, yang meragukan hendaklah ditinggalkan. Bukan
dipertimbangkan lagi. Bukan dicari nas lain untuk menghalalkannya. Yang lebih
baik tentunya yang jelas halalnya. Senang rasa di dada. Lapang minda. Boleh senyum
ketika tidur. Bangkit waktu pagi segar fikiran. Tidak perlu serabut kerana
dibuat-buat. Apabila kita sudah dihadiahkan dengan warna hijau oleh Rasulullah
saw kenapa pilih yang merah? Yang putih jelas memang akan dipakai oleh semua
orang. Tiada siapa yang boleh mengelak. Pakaian terakhir yang terbaik untuk
manusia. Tiada jenama. Bukan dari gedung membeli belah yang tersohor. Hanya dari
kedai biasa. Kain biasa. Harganya biasa. Apabila sampai masanya kita semua
menjadi jenazah yang biasa-biasa sahaja. Hanya mereka yang sewaktu hidupnya
membezakan diri, jenazahnya berlainan dari orang biasa. Banyak keistimewaannya berbanding
dengan orang lain. Laluan mereka warna yang dipilih untuknya. Bukan merah.
Apabila bercerita mengenai karpet merah tergambar
suasana yang rasanya kurang syarie. Mengerikan bila diingat-ingat. Cuba pejam
mata seketika. Bayangkan sebuah dewan besar. Ramai orang di dalamnya. Bergemerlapan
pakaian masing-masing. Hingar sedikit. Bercampur baur sesama mereka. Pegang,
sentuh dan peluk antara bukan mahram seperti lumrah. Agama semuanya ditolak
tepi. Sesuatu yang serong dari hak. Lelaki dan perempuan yang bukan mahram
wajib diasingkan. Bukan harus. Wajib. Siapa yang boleh menguatkuasakannya? Yang
hadir tidak mampu melakukannya. Hanya iman sahaja yang boleh mencerahkan keperluan
sebegitu. Tanpa iman yang kukuh banyak yang pasti dilanggari dan dianggap
biasa.
Dalam suasana seperti itu ramai yang memperagakan
fesyen pakaian terbaru. Siapa penciptanya? Ramai yang bukan Islam. Yang memakainya
Muslimah. Fesyen itu komersil. Maaf tentu sahaja menampakkan aurat yang
sewajibnya ditutup dengan rapi. Untuk suami sahaja. Simpan untuk suami atau
bakal suami. Orang lain tidak boleh melihatnya. Tidak ada mata lain yang berhak
melihatnya. Berbagailah fesyen yang peragakan. Maaf sekali lagi. Cirri-cirinya
tentu banyak yang tidak Islamik. Ketat. Terbelah. Singkat. Mendedahkan. Ramai pula
yang tidak memakai tudung. Aurat yang paling banyak didedahkan. Itu belum
jarang. Ada pula yang terlalu plunging neckline. Konsepnya Hollywood is
here. Atau Bollywood is here. Untuk menulis inipun boleh
semput. Apatah lagi berada dalam suasana mereka. Kita tetap sayangkan orangnya.
Cuma kita tidak setuju dengan suasana yang dibina untuk mereka. Mereka sedang meniti
kaca yang tipis dan rapuh. Bukan konkrit. Bukan besi waja yang kukuh menegak
dan menjulang. Mendatarnya boleh dipijak dan diinjak.
Muzik bukan tidak ada keharusannya. Cuma dalam suasa
karpet merah muziknya bukan untuk menenangkan fikiran seperti tiupan seruling
Jalaluddin al-Rumi. Bukan gendang dan rebana sambutan kaum Ansar ke atas
kedatangan Nabi ke Madinah. Hijrah yang payah dan menyeksakan. Biasalah muzik
yang didengarkan. Bising dan bingit. Kesemuanya kegilaan orang muda. Tidak ada
usaha untuk membawa pesta seperti itu yang berpadanan dengan syarie. Orang tua
boleh menontonnya tanpa rasa berdosa. Tidak ada yang memikirkan bahawa yang
menonton di rumah bukan kesemuanya orang muda-muda. Seisi keluarga. Dari datuk
hingga ke cucu. Mereka perlukan hidangan yang santai. Menghiburkan. Yang paling
penting menenangkan fikiran. Menghilangkan kerungsingan. Memberikan idea dan
harapan untuk berbuat yang lebih baik selepas ini.
Dalam suasana seeprti itu senikata lagu banyak yang tersasar
dari zikir. Dari mengingat Allah. Ingat akan mati. Senikata yang meginsafkan
diri. Orang boleh lupa siapa dirinya. Siapa yang memiliki dirinya. Siapa yang
memiliki hidup dan matinya. Siapa yang memiliki jasad dan rohnya. Kesemuanya pinjaman
sementara. Sementara sahaja. Sementara dengan izinNya. Itu belum tarian yang
sukar difahami rentak dan geraknya. Tiada pengajaran yang menginsafkan. Hanya ekspresi
diri dan suasana yang sukar difahami. Ke kanan dan ke kiri. Melonjak dan
berlari. Bukan pula seperti ballet yang ceritanya penuh dimengerti. Kenapa ya? Kenapa?
Siapa yang boleh memberikan nafas baru yang menyegarkan. Mengolah hiburan yang
layak untuk semua orang. Bukan kegilaan yang menolak ruang untuk orang lain
yang juga ada haknya.
Waktu aturcaranya mungkin pukul 8.30 malam. Memang benar
selepas waktu Isya’. Berapa ramai antara kita yang berani mengangkat tangan
bahawa dia mengaku terlepas solat Maghrib.
Waktu Isya’ mungkin panjang masanya. Waktu Maghrib terlalu singkat. Yang bersolek
tentu sahaja tidak mungkin mengambil wudu’ sebelum majlis bermula. Untuk memakai
pakaian terbaru sahaja mungkin berjam-jam lamanya. Pakai. Lihat cermin. Tidak kena.
Cermin lagi. Betulkan di sana. Betulkan di sini. Cermin lagi. Tidak sama
tinggi. Terketat di bagaian tertentu. Cermin. Solek pula dibetulkan. Rambut diurus
selalu. Solatnya bila. Tidak mungkin jamak taqdim. Tidak mungkin juga jamak
takhir. Tiada keperluan syarie untuk berbuat begiru.
Rasanya kesemuanya hanya pembaziran yang disukai
syaitan. Jutaan ringgit dibuang begitu sahaja. Selepas karpet merah akan banyak
cerita negatifnya. Yang kalah tidak puas hati. Ada nada cemburu. Ada yang
sinis. Banyak cacat celanya. Setiap tahun ada sahaja yang tidak kena. Maknanya pembaziran
mengakibatkan pembaziran yang bersiri pula jadinya. Alangkah baiknya wang
sebanyak itu disumbangkan untuk dana melanjutkan pelajaran. Membela orang yang
miskin dan papa kedana. Memberi makan kepada yang memerlukan. Ramai yang
bersyukur. Ramai pula yang mendapat nikmat berganda. Ke mana terbangnya karpet
merah? Kita terlalu mudah berada dalam situasi yang bukan syarie. Esok lusa
mungkin terlalu lama untuk menunggu ajal kita.