Terharu apabila seorang demi seorang mereka yang
bertaraf ulamak meninggalkan kita. Ulamak Jordan yang berusia 124 tahun baru kembali ke rahmatullah. Sebelum itu seorang ulamak Syria yang tulisannya sangat
prolifik tentang ensaiklopedia tarikh Islamiyyah telah juga meninggalkan kita. Terguris
hati apabila semakin galak majikan meminta bakal pekerja dan pekerjanya membuka
tudung atau hijab. Lebih pilu apabila Yusof al-Qaradawi sudah dijejak oleh
interpol. Waran tangkap ke atasnya sudah dikeluarkan. Penulis teringat hadith
Nabi yang mafhumnya, “Akan sampai ketikanya ilmu Allah diangkat ke langit.
Maksudnya Allah mematikan ulamak seorang demi seorang sehingga yang tinggal
adalah mereka yang jahil-jahil belaka.” Ketika itu yang berlaku adalah
kekecohan untuk mendapat habuan dunia sehingga masyarakat menjadi sangat
bobrok. Menjadi sangat jelek. Dunia sudah tidak lagi memberi manfaat. Sudah
tidak dimakmurkan dengan amal ibadat lagi. Maka kesemuanya akan dikembalikan
kepada Allah. Tidak ada satupun yang akan tinggal kecuali mereka yang cetek
ilmunya sahaja.
Rabi’ulawal 1436H menjelang tiba. Selama 1436 tahun Hijriyyah
Rasulallah s.a.w. telah menitipkan Islam untuk kita semua. Rasulallah sangat
mengasihi kita walaupun kita tidak hidup bersamanya di zamannya. Setakat mana
kasih kita terhadap baginda. Perayaan demi perayaan kita sambut setiap tahun.
Malangnya maksiat semakin parah menular dan merosakkan. Kita hilang
pertimbangan diri. Kita hilang kawalan ke atas semua yang bernilai dari segi
agama. Ulamak dipandang sepi. Mereka difitnah. Mereka yang pandai dalam bidang
agama dipersoal ke”ulamak”annya. Nilai agama ditanya kepada mereka yang tiada latarbelakang
agama. Ulasan tentang sesuatu hal agama bukan berpandukan al-Quran, al-Sunnah,
qias dan ijmak tetapi menggunakan akal fikiran sendiri. Mengikut apa yang
terlintas dalam pemikiran sebagai penganut agama. Bukan sebagai mereka yang
ahli dalam agamanya. Malang sekali pendapat dari mereka yang bukan ahli itulah
yang menjadi pegangan. Yang dianggap betul. Pendapat ulamak pula dikatakan
condong memihak kepada kumpulannya sahaja. Pendapat ulamak kononnya dikhuatiri
menyeleweng.
Akhir-akhir ini negara kita seperti sudah mula ditimpa
musibah bersilih ganti. Banjir di Cameroon Highlands, Kelantan dan Terengganu
dituruti pula di negeri Perak, Selangor, Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Sabah
dan Johor memusnahkan harta benda. Bak tsunami air melanda. Banyak rumah yang
rosak. Banyak kenderaan yang rosak. Jalan perhubungan terputus. Hanya lelehan
airmata dan kesedihan kepada mangsa. Terbaru empangan di selatan Thailand pula
dilepaskan airnya. Mudah-mudahan airnya tidak tiba di negeri Kelantan, Perlis dan Kedah.
Allahuakbar. Hanya kepada Allah tempat kita mengadu. Maknanya musibah kali ini
bukan calang-calang ujian dari Allah. Mungkin antara banjir paling besar yang
pernah kita alami sebelum ini. Jika dahulu tidak ramai yang mengalaminya kerana
rakyat belum ramai tetapi kali ini sangat mengharukan. Setiap saat ada sahaja
maklumat dan beritanya.
Sebelum ini sudah Allah perlihatkan tanda-tandanya.
Mungkin kita terlepas pandang. Kita menganggapnya fenomena alam. Perubahan
cuaca. Kita cuba menganalisis secara saintifik. Ilmu itu benar tetapi kebenaran
yang hakiki hanya dari Allah. Itu hakNya. Putting beliung di Pantai Timur telah
beraku. Di Kedah berulang kali. Di Selangor juga berlaku. Ribut banyak kali.
Kerang berlumba-lumba naik ke darat di negeri Terengganu. Kita masih juga tidak
melihat di sebalik alamat-alamat yang Allah perlihatkan itu. Musim tengkujuh
pula sekaranglah masanya. Kita tidak mengambilkira marabahaya yang bakal
menimpa. Sekarang semuanya kenyataan. Kita alami tanpa meminjam pengalaman
orang lain. Malah seluruh Asia Tenggara dilanda banjir seperti di Indonesia,
Thailanda dan Filipina.
Kita ada Jabatan Kajicuaca. Jabatan ini membuat
ramalan dari masa ke semasa. Tentulah kajian telah dibuat mengenai jangkaan
bila hujan akan turun dengan lebatnya, berapa mililiter banyaknya, kawasan mana
yang paling lebat dan banyak, berapa lama jangkaan hujan tersebut dan apakah
musibah yang dijangka berlaku. Maknanya Jabatan Kajicuaca boleh meniup wiselnya
dari awal-awal lagi. Malangnya mungkin ada tangan-tangan yang menghalang
keluarnya amaran serius dari jabatan tersebut. Manusia seperti kita pula selalu
lalai dan banyak menunggu. Ketika air sungai Kelantan hampir melepasi
bentengnya masih ramai yang datang menontonnya. Bukan cepat-cepat meninggalkan
Kota Bahru untuk menyelamatkan diri. Sekarang Kota Bahru tenggelam. Jika
sekadar sekarang mungkin bangunan yang bertingkat-tingkat boleh bertahan. Yang
rendah pastinya akan tenggelam. Mudah-mudahan banjir dari Thailand tidak
menambahkan kesengsaraan rakyat Kelantan. Kerugian kali ini mungkin berbillion
ringgit. Malapetaka selepas banjir juga akan menjadi gawat jika tiada
persediaan ke arah itu. Penyakit mudah menular selapas banjir. Apatah lagi tanpa
bekalan air bersih.
Orang Islam tersepit apabila bencana dan musibah
banjir menimpa. Orang Islam ramai di kampung-kampung. Rumah mereka berhampiran dengan
sungai atau di kawasan lembah dan tanah rendah. Banjir kali ini melebihi biasa
besarnya. Kawasan yang dahulunya tidak tenggelam kali ini keadaannya tidak
selamat. Air bukan sekadar setengah atau semeter tetapi hingga hampir 10 meter
atau mungkin lebih. Bukit kecil kelihatan tidak selamat sebagai tempat perlindungan.
Mungkinkah kita perlu melihat semula budaya kita membuat bandar dan kampung di
tanah rendah. Kita belajar dari pengalaman. Berpindahlah ke tempat tinggi bagi
mereka yang mampu. Tetepi janganlah pula bukit dan gunung diratakan. Biarkan ianya
tinggi dan kita belajar untuk hidup di tempat tinggi seperti di negara lain di
hemispiar utara dan di negara Arab. Jika tidak musibah banjir mungkin berlaku
setiap tahun dengan ketentuan Allah. Kita berusahalah berada di tempat yang
selamat. Berserah sahaja tidak membantu menyelamatkan diri.
Cuma kadang-kadang terlintas juga dalam pemikiran. Mengapa sewaktu bencana sebegitu hebatnya jentera kerajaan pusat tidak digerakkan sepenuhnya. Tidak proaktif. Tidak bergerak pantas. Adakah banyak agenda politik yang disembunyikan. Mengapa tidak agenda kemanusiaan yang diserlahkan. Agenda sesama agama. Sesama suku bangsa. Sesama keluarga. Saudara-mara kita ramai di Kelantan. Ahli keluarga kita yang seketurunan dan seagama. Entahlah. Allah Maha mengetahui segala-galanya. Pada firasat penulis banjir ini menandakan banyak berakhirnya apa yang sudah bermula. Apa yang telah berlaku. Penilaian kemanusiaan kita lemah kerana kita dibelenggu dengan emosi yang tidak wajar. Pengajaran yang panjang masanya untuk sembuh. Luka yang melukakan.
Cuma kadang-kadang terlintas juga dalam pemikiran. Mengapa sewaktu bencana sebegitu hebatnya jentera kerajaan pusat tidak digerakkan sepenuhnya. Tidak proaktif. Tidak bergerak pantas. Adakah banyak agenda politik yang disembunyikan. Mengapa tidak agenda kemanusiaan yang diserlahkan. Agenda sesama agama. Sesama suku bangsa. Sesama keluarga. Saudara-mara kita ramai di Kelantan. Ahli keluarga kita yang seketurunan dan seagama. Entahlah. Allah Maha mengetahui segala-galanya. Pada firasat penulis banjir ini menandakan banyak berakhirnya apa yang sudah bermula. Apa yang telah berlaku. Penilaian kemanusiaan kita lemah kerana kita dibelenggu dengan emosi yang tidak wajar. Pengajaran yang panjang masanya untuk sembuh. Luka yang melukakan.