Sampah buatan manusia menjulang banyaknya. Di bandar
besar banyak sampahnya. Semakin besar sesebuah bandar semakin banyaklah
sampahnya. Kadang-kadang di pekan kecil kelihatan sampahnya berterbangan. Di
bandar besar penghuninya lebih perihatin. Mereka lebih terpelajar. Lebih
berpengalaman. Bekerjaya. Profesiaonal. Berpangkat tinggi. Sampah diurus dengan
baik kerana sampah boleh mengakibatkan berbagai malapetaka. Selain membiakkan
penyakit, sampah boleh membantutkan usaha pelancongan. Ramai rakyat yang akan
sakit. Banyak daya produktiviti yang tersangkut. Negara keseluruhannya
terjejas. Turut sakit. Menjadikan bertambahnya sampah yang busuk, kotor dan
membiakkan penyakit bukan agenda yang baik. Tidak ada orang yang beragenda
begitu. Namun realitinya itulah yang menjadi amalan. Buang sampah merata-rata.
Tiada disiplin mengenai sampah. Tidak perihatin tentang bahayanya sampah. Tidak
pernah memikirkan bahawa sampah menjadi punca pencemaran udara. Gas beracun
yang berterbangan di udara. Kita sedut dalam-dalam. Bukan oksigen tetapi racun
yang percuma. Ramai yang sakit kerananya.
Bolehkah sampah disimpan sebagai sampah? Di USA
itulah yang menjadi amalan. Pungutan sampah hanya pada hari-hari tententu.
Sebelum sampai jadual itu, sampah hendaklah disimpan di rumah. Tidak busukkah?
Cuba fikirkan. Persepsi kita begitulah. Sampah tentu busuk. Amalan kita membawa
kesemua barang ke dalam rumah. Kita tidak fikirkan bahawa selepas beberapa
ketika ianya akan mendatangkan bau busuk atau tidak. Jangkaan kita memang
benar. Segala jenis buah-buahan kita akan busuk. Sayur-sayuran akan busuk.
Makanan yang terlebih dan hendak dibuang memang busuk. Itu belum lagi kotoran
kerana debu yang hapak. Lembapan yang berbagai baunya. Jadinya yang busuk itu
bukan benda yang berada dalam rumah. Kebanyakannya bau busuk itu kesilapan
amalan kita. budaya kita yang mungkin salah. Mengapa agaknya? Di mana
kesilapannya? Cuba maklumkan?
1
Kita beli makanan laut bersama isi perut
dan kepalanya. Kita tidak memakannya. Malah isi perut ikan tentulah tidak boleh
dimakan. Kita siang di rumah. Apa kita buat dengan isi ikan, kulit udang,
cengkerang kupang, kerang dan sebagainya?
2
Kita siang ayam dan daging dengan
membuang bahagian yang tidak kita kehendaki seperti lemaknya. Kita simpan
beberapa jam. Busuknya terhidu jua.
3
Kita beli buah yang hakikatnya busuk.
Durian, kuini, bacang, pisang dan buah-buah lain yang menyerupainya dari segi
bau. Isinya kita makan. Kulitnya akan busuk tidak lama kemudian.
4
Kita beli sayur. Enak dimakan tetapi
lebihan dan sisanya akan membusuk.
5
Kita cepat berpeluh kerana udara di
negara kita lembap. Kelembapannya tinggi. Pakaian yang berlonggok dan lambat
dibasuh mengeluarkan bau yang menyumbat hidung kita sendiri. Orang lain yang
bertandang tentulah menahan nafas lama-lama. Datang sekejap sudah hendak balik.
Hendak mencari udara bersih di luar rumah kita.
6
Di premis makanan umpamanya sampah tidak
diurus dengan kadar segera. Tiada urgency. Sepatutnya sampah dipungut setiap
sejam atau dua jam.
Bagaimana mencipta budaya baru dengan sampah? Mari
sama-sama kita fikirkan. Kita gunakan pemikiran inovatif dan kreatif. Ingin
maju dan dinamik.
1
Siang ikan di pasar. Keluarkan isi
perutnya. Buang kepalanya. Bawa balik isinya. Jika boleh tanpa tulang dan
durinya. Selepas dimasak dan dimakan tiada sisa yang boleh mengakibatkan bau
busuk. Busuknya kita tinggalkan di pasar dan tidak dipindah atau diagihkan ke
tempat lain.
2
Begitu juga ayam dan daging. Siang dan
potong di pasar. Ikut saiz yang kita kehendaki. Bawa balik yang sedia untuk
dimasak. Tidak berbaki lagi dan tidak memungkinkan bau busuk.
3
Makan buah di luar rumah. Di gerai
menjualnya. Di dusun. Atau bawa balik isinya sahaja. Kulitnya telah dibuang
terlebih dahulu. Kenapa bawa kulit buah ke rumah sedangkan kita mengetahui
bahawa kulit itu bakal mencemarkan rumah kita.
4
Beli sayur yang tidak memungkinkan
menjadi busuk. Jangan banyak. Cukup untuk sekal masak. Untuk sekali makan. Tidak
ada sisa yang boleh busuk.
5
Basuh pakaian sekerap mungkin. Mungkin sehelai
di bilik air dibasuh dengan tangan. Paling lama 10 minit. Rendam sekejap. Sental.
Perah dan sidai. Bukan kotor sangat. Peluh sahaja. Cuma pastikan sental kuat
sedikit di bahagian pergelangan tangan dan di bahagian leher. Kotornya lebih
sedikit di situ.
6
Premis makanan hendaklah diurus
sampahnya berlainan dari tempat kediaman. Di premis makanan sampah dipungut
lebih kerap. Jangan biarkan sampah berlonggok. Mengeram untuk disepahkan anjing
dan kucing atau mungkin angin kuat. Begitu juga tikus, langau dan lalat.
Kita harus mengambikira juga manfaat dalam sampah.
Dalam sampah ada sampah yang baik. Yang boleh dikitar semula untuk memelihara
alam sekitar. Penulis perhatikan dalam dunia ini ramai mereka yang melangsungkan
kehidupannya kerana berurusan dengan
sampah. Baik di Malaysia atau di negara lain. Mereka menyelongkar bahan-bahan
yang boleh dikitar semula. Usaha untuk menyambung hayat diri dan hayat
keluarga. Namun begitu di serata dunia, lain masyarakat lain cara mereka
mengurus sampah. Ada yang sangat professional dan ada pula yang melepas batuk
di tangga sahaja. Walaupun kita lebih baik dari kebanyakan negara tetapi masih
banyak yang perlu diperbaiki. Prasarananya. Sistemnya. Sikapnya. Proses dan
prosedurnya. Tidak lupa ialah pendidikan yang berkaitan dengan sampah.
Di Kaherah umpamanya ramai antara warganya yang
betul-betul hidup kerana berurusan dengan sampah. Mereka menggunakan berbagai
kenderaan atau dengan berjalan kaki. Yang berkemampuan dan skop operasinya luas
menggunakan lori besar. Mengambi kontrak mengambil sampah dari pemilik bangunan
yang tinggi sama ada pejabat atau rumah kediaman. Ramai yang menggunakan lori
kecil. Bergerak dari jalan ke jalan yang lain. Dari bangunan ke bangunan. Ada yang
menggunakan motor tiga roda. Khusus pula mencari barang rosak seperti kerusi,
meja, baldi dan sebagainya. Jerit pekik mereka bersahut-sahutan antara jalan
dengan jalan yang lain. Ramai juga yang menggunakan keldai. Sama ada dalam
bentuk kenderaan yang ditarik atau keldai itu sahaja dibebankan dengan karung sampah
yang besar di kanan dan kirinya. Pengendalinya berjalan kaki. Dalam pada itu
ada yang mencari sampah berguna dengan mengendung karung sampah di bahu mereka. Tempat sampah tidak sunyi dari
kunjungan mereka. Selepas seorang, seorang yang lain akan datang. Kebetulan di
tempat yang ramai penduduknya seperti Kaherah ada sahaja orang membuang sampah.
Kerana itu ada sahaja orang yang memanfaatkan sampah itu.
Pekedai-pekedai di Kaherah tidak seperti di
Malaysia. Kotak dan sampah mereka jual untuk menambahkan pendapatan sampingan. Di
Kaherah, pemilik kedai membuang kotak dan sampah dengan teratur. Mereka letakkan
di hadapan kedai mereka. Tidak lama. Hanya
beberapa minit sahaja akan ada yang mengambilnya. Siapa cepat dia dapat. Rezeki
masing-masing. Satu cara juga untuk membantu golongan yang kurang berada. Biarkan
mereka bekerja dan tidak meminta-minta. Bantu dengan berhemah. Bahawa mencari
pendapatan sebenarnya susah kepada semua orang. Orang kaya juga berusaha keras.
Orang berniaga berkerja lebih keras. Maka mereka yang memerlukan pendapatan
berusahalah juga mengikut kadarnya. Akhirnya yang kita lihat ialah adanya bantu
membantu antara mereka. Yang lebih membuang sampah. Yang kurang memungut sampah
dan memanfaatkannya. Kehidupan diteruskan. Kerja ada mengikut tarafnya. Pendapatan
cukup untuk menghidupkan suatu generasi.