Mereka yang setaraf Ady Putera Abd Ghani telah ramai
lahir di Malaysia. Atau mereka adalah anak Malaysia. Ada yang berada di dalam
negara dan ada yang berada di luar negara. Asasnya anak Malaysia. Mungkin
ibunya warganegara Malaysia atau bapanya atau kedua-duanya warganegara Malaysia
tulen. Kita belum mendapat kepastian bahawa anak-anak pintar ini dilestarikan
kepintarannya. Mereka dijadikan bakal pemenang Nobel Prize. Berada di pentas di
Sweden. Mencipta nama besar dalam bidang-bidang yang selalunya mengkagumkan
ahli akademik walaupun belum tentu sampai ke minda orang biasa. Di mana
silapnya sukar difahami. Penulis pernah menyentuh hal ini. Cerita Hang Nadim di
Singapura dahulu belum juga habis-habisnya. Orang dewasa yang mengendalikan
sistem bernegara masih belum berubah sejak dari dahulu. Sistem feudal yang
tidak sukakan rakyatnya pandai. Hingga sekarang persepsi ke arah perkara itu
belum berjaya mengubah paradigma. Sindrom takut orang pandai masih kuat.
1
Anak-anak yang pandai tiada tempatnya yang wajar.
2
Pendidik semua peringkat tidak dilatih untuk memberi
laluan kepada anak pintar.
3
Sistem kita untuk orang biasa-biasa sahaja. Sama ada average
atau under average. Mereka yang above average seperti diasingkan.
Menjadi alien.
4
Kita lebih suka anak-anak tercicir tanpa remedi.
Menelusuri kisah anak-anak pintar menemukan kita
kepada kisah-kisah duka lara. Mereka dilihat seperti:
1
Out of place. Mereka tiada tempat dalam sistem.
2
Terpinggir kerana kepintaran dianggap penyakit yang
perlu dihindar.
3
Sistem tidak menyokong kepintaran mereka.
4
Seperti tidak ada yang memberi sokongan. Tiada sistem
dan tiada dana.
Kita terikat dengan sistem yang statik. Tiada
fleksibiliti langsung. Dalam sistem kita:
1
Semua kanak-kanak diwajibkan mengikuti sisitem yang
ada sama ada mereka pintar atau tidak.
2
Usia menjadi penentu untuk anak-anak berada pada
peringkat-peringkat tertentu.
3
Walau bagaimana pintar seseorang kanak-kanak, selagi
dia kanak-kanak maka dia diwajibkan berada di sekolah kebangsaan atau di
sekolah menengah. Tidak pada pagar yang boleh dibuka untuk memberi laluan
pantas untuk kanak-kanak berada pada tahap IQnya. Yang selalu dilihat
ialah usianya. Nilai kognitifnya tidak difikirkan dan tidak diberi
pengiktirafan.
Kita kehilangan Safiah Yusof. Kita kehilangan Nur
Amalina Che Bakri, Mohd Shukri Hadafi,
Chiang Ti Meng dan Chan Yao Ban. Safiah hilang dari kecemerlangan akademik. Nur
Amalina tenggelam kerana kejutan budaya. Mohd Shukri menjadi mangsa keadaan. Chiang
Ti Meng hilang begitu sahaja. Chan Yao Ban yang setakat ini menyerlah di
Melbourne, Australia. Sudah memiliki Ph.D. Sayangnya dia tiada tempat di negara
sendiri. Kita masih juga meminggirkan mereka yang pandai. Bukan setakat Chan,
ramai lagi yang bertugas di luar negara kerana mereka diberi tempat. Diberi kebebasan
berkreatif. Diberi kebebasan membuat penyelidikan. Dana disediakan. Makmal disediakan.
Negara tumpang itulah yang memanfaatkan kebijaksanaan mereka. Yang mereka dapat
ialah kepuasan dan pendapatan lumayan. Negara asal mereka kerugian
berganda-ganda.
Ady Putera masih aktif walaupun menjadi mangsa sistem.
Pandai yang tidak diiktiraf. Dianggap tidak sesuai diberi sebarang nilaian
kertas kerana usianya yang terlalu muda. Jika dia berada di luar negara
tentunya dia sudah memiliki ijazah pertama (Bachelor atau baccalaureate). Mungkin
telah tamat peringkat sarjana (Masters). Pada usia 16 tahun tidak mustahil dia
mengikuti pelajaran peringkat Ph.D. Di negara Barat kanak-kanak pintar
dipelihara kepintarannya. Dijaga dan dibangunkan supaya mereka menjadi aset
negara yang menyumbang besar ke arah pembangunan negara tersebut. Hanya negara
maju sahaja yang memiliki wawasan ke arah itu. kanak-kanak pintar adalah batu
gemala yang berharga. Jauhari sahaja yang mengenal manikam. Memetik kata-katanya,
Ady Putera memerlukan dana untuk ke Monash University di Australia. Tidak adakah
mereka yang arif membuat pelaburan berharga kepadanya? Jika tidak negara
mungkin individu yang berkemampuan. Kita ramai billionaire. Millionaire lagilah
ramai. Tidak perlu mereka. Hanya dermawan yang mulia hatinya sudah memadai.
Ramai orang pintar di Barat kerana mereka menyediakan
laluan yang luas kepada mereka. Di USA umpamanya falsafah mereka sangat mudah. You
ask for it, you get it. Budaya yang sama sudah menular ke Canada 25 tahun
yang lalu sewaktu penulis berada di sana. Mereka mesra penyelidik. Mereka mesra
kepada orang pintar. Semua keperluan mereka disediakan. Orang pintar suka
mencipta. Mereka kreatif. Hasilnya menjadi milik negara. kerana itu warganegara
Malaysia yang pintar berada di Australia, USA, Britain dan negara-negara Commonwealth
yang lain. Di USA umpamanya tiada siapapun yang terlepas pandang. Orang pintar
dicari, diberi kemudahan untuk meneroka bidang baru. Bill Gates adalah antara
contoh itu. Di Canada pula apa sahaja yang diperlukan oleh rakyatnya cuba
dipenuhi oleh kerajaan Canada. Mereka mencari siapa sahaja pakar yang bersedia
berkhidmat untuk memandaikan rakyat Canada.
Kita selalu bercakap tentang peluang tetapi kita tidak
memanfaatkan peluang. Di IPTA Malaysia ramai rakyat asing. Kita tidak memanfaatkan
mereka. Contohnya bahasa. Di USA mereka belajar apa sahaja bahasa yang dimiliki
oleh pelajar-pelajar asing. Universiti membayar mereka untuk mengajar bahasa
ibunda mereka. Hampir semua bahasa dalam dunia dipelajari di USA. Pengajarnya pelajar
asing yang mengikuti program Ph.D. Malah isteri-isteri pelajar asing diberi
peluang yang sama untuk mempelajari bahasa pilihan mereka. Selalunya bahasa
Inggeris. Jika di Malaysia kita dapat melakukannya tentu ramai rakyat Malaysia
yang petah dalam berbagai bahasa asing. Isteri atau suami pelajar asing pula
petah berbahasa Melayu untuk dibawa pulang ke negara mereka. Kehadiran mereka
dimanfaatkan.
Begitulah andainya kita ingin memanfaatkan peluang. Anak-anak
pintar yang selalu terpinggir mungkin boleh diselamatkan jika kita membuat
beberapa perubahan dalam sistem pendidikan kita. Kita perlukan pakar dalam
bidang specially gifted child. Kita perlukannya di tadika, di
sekolah kebangsaan dan di sekolah menengah. Di IPTA mereka mengikuti
kursus-kursus pilihan mereka. Usia jangan dijadikan penghalang. Jangan diikat
dengan peraturan yang tidak boleh diubahsuai. Kita muasabah sistem kita. Mana-mana
yang boleh diubahsuai buatlah apa yang perlu demi membangunkan modal insan yang
bijaksana. Sudah sampai masanya kita melatih pendidik yang bakal memiliki
kemahiran istimewa untuk mendidik anak-anak pintar. Kerana itu:
1
Falsafah pendidikan kita perlukan anjakan paradigma. Menghargai
kelainan.
2
Topik psikologi yang memberi tumpuan kepada anak-anak
pintar.
3
Kaunseling untuk anak-anak pintar.
4
Membina sistem individualised learning.
5
Menyediakan bajet yang fleksibel untuk mereka.
Minda kita perlu berubah untuk menerima kehadiran
anak-anak pintar. Membangunkan mereka. Mengekalkan mereka dalam negara. Berkhidmat
untuk negara. Menyumbang untuk negara. Menjadi aset yang tidak ternilai. Jika tidak
mereka akan diambil orang lain. Anak kita tetapi memberi manfaat kepada orang
lain. Mereka mendapat hasilnya. Kita hanya bangga dengan namanya. Tetapi nama
kosong yang tidak memberi apa-apa pulangan. Kos untuk membangunkan anak pintar
memang tinggi. Namun dalam jangka panjang ianya memberikan pulangan yang
ekonomikal.