Apabila disebut pembangunan yang terlintas di minda
kita ialah lebuhraya yang besar dan panjang. Bangunan yang gah dan tinggi.
Kecantikan dan keceriaan yang bergemerlapan. Lampu neon yang berjajaran. Terang
dan pancawarna. Pepohon dan bunga-bungaan berselang seli di taman dan di tepian
jalanraya. Rumah tersergam besar. Kenderaan panjang dan besar. Pakaian
berjenama yang dinilai cantik. Begitu juga pejabat kerajaan yang agam. Gedung
perniagaan yang berbentuk mega. Hospital
yang bertingkat-tingkat. Sekolah dan institusi pendidikan yang penuh teknologi.
Hotel menjulang langit. Pusat hiburan berceracak. Maka manusia berpersepsi bahagia dalam kegemerlapan itu. Mereka
menyangka yang terang itu bersuluh. Yang gemerlapan itu menyinar. Mereka
menyangka mentari terang hingga ke petang. Ramai yang lupa bahawa hari ada dua
bahagiannya. Siang dan malam. Siang tidak berpanjangan. Malam juga ada
gilirannya. Begitu juga mendung dan hujan menyelangi masa. Maka yang terang
terlindung jua. Begitu juga rasa bahagia kadang-kadang banyak terlindungnya.
Kita banyak bayang-bayang hingga kita tidak tahu bayang-bayang siapa yang
kelihatan jelas. Malah mungkin kadang-kadang kita menjadi takut dengan
bayang-bayang kita sendiri.
Kita membangun tetapi banyak dasar yang tidak jelas.
Kita tahu bahawa Islam adalah agama Persekutuan tetapi kadang-kadang banyak
yang tidak menampakkan budaya dan tradisi Islam. Tidak diterapkan dalam
kehidupan yang pelbagai budaya. Kadang-kadang seperti terpinggir Islam itu
dalam kebanyakan masa. Kita ambil contoh yang sangat praktikal. Umat Islam
solat lima waktu. Perlu ada bilik air dan tempat berwuduk. Malangnya tiada
standard yang benar-benar standard. Ukuran musollah tidak ada standard.
Bilangan pili air tiada standard. Kawalan syarie kadang-kadang tiada di bilik
air. Pengguna Muslim kesukaran untuk beristinjak. Untuk membersihkan najis. Dalam
pasaraya yang begitu besar tiada musollah yang sepadan dengan pengguna yang
sangat ramai. Jemaah terpaksa bersesak-sesak untuk wuduk. Bersesak dan menunggu
giliran untuk solat berjemaah. Yang wanita lebih teruk lagi sebab fitrah mereka
hendak bersetokin, memakai tudung atau telekung dan berbagai hal yang lain.
Ada yang lebih baik seperti yang penulis perhatikan
seperti di Mesir dan Jordan. Masjid atau surau dibina sebanyak mungkin sebagai
sebahagian daripada perancangan bandar. Apabila masuk waktu solat, tempat untuk
dituju sudah ada. Standardnya boleh ditentukan. Saiznya, bilik air dan
keperluannya. Antara pengguna lelaki dan wanita harus ada keupayaan
dikenalpasti keperluannya yang khusus. Lelaki dan wanita tidak sama. Hormati dan
raikan perbezaan itu. Bilik air wanita umpamanya elok lebih besar sebab mereka
perlu masa yang lebih lama. Yang menunggu giliran ramai. Penguna lelaki ringkas
masanya kecuali hal-hal yang darurat. Ada dua pendekatan. Pertamanya pihak
penguasa atau pemerintah menyediakannya berhampiran dengan premis perniagaan. Atau
keduanya, premis perniagaan menyediakan musollah dengan standard yang
ditentukan. Ianya suatu keperluan pelanggan Islam yang jumlahnya juga ramai
walaupun kuasa beli mereka mungkin tidak sehebat mereka yang bukan Islam. Ianya
juga untuk menghormati Islam sebagai agama Persekutuan dan untuk meraikan
pengguna Islam.
Agama Islam hendaklah dijadikan agama pelindung. Budaya
dan tamaddun Islam diperkembangkan secara praktikal. Hal-hal yang
sekecil-kecilnya diambil kira. Difikirkan sehingga yang terlalu kecil. Ia menjadi
didikan. Menjadi ikutan. Menjadi sesuatu yang dilumrahkan. Di Barat banyak
konsep yang islamik walaupun mereka bukan berkerajaan Islam. Walaupun di negara
mereka Islam bukan agama negara mereka. Pergilah ke Jepun. Pergilah ke Korea. Pergilah
ke USA atau Canada. Persekitaran tuntutan Islam banyak dilihat. Kita tidak
bincangkan maksiat. Kita fokus kepada sistem hidup mereka yang sistemik. Budaya
mereka yang banyak luhurnya seperti pentingnya menjaga kebersihan dan kemurnian
alam sekitar. Susunatur persekitaran. Pemeliharaan persekitaran. Banyak lagi
yang perlu dilaksanakan di negara kita. Ianya menjadi ukuran maju dan
terkehadapan. Mercutanda hanya binaan kaku dari batu. Dari konkrit. Dari besi. Dari
kayu. Banyak bahan lain yang kaku. Penghuninya dan pengunanya yang perlu
dijadikan insan-insan penyayang, peka dan berinisiatif untuk menjadikan
persekitaran lebih bersih. Lebih murni. Lebih selesa. Lebih membahagiakan.
Bangunan tinggi sudah menjadi suatu trend. Tanah semakin
mahal. Ruang semakin sempit. Maka mereka yang tinggal di menara-menara tinggi
harus berubah paradigmanya. Berbudaya seperti orang di kayangan. Menjaga
keperluan berumah tinggi. Sampah diurus seperlunya. Tidak boleh dicampak keluar
melalui tingkap dan pintu. Tidak boleh mencurah air sesuka hati. Apabila rumah
tinggi maka angin juga bertiup lebih kencang. Apa-apa yang dilempar keluar
ditiup masuk ke rumah orang kain di tingkat yang lebih rendah. Termasuk juga air,
puntung rokok dan air dari sidaian kain. Jika orang di atas menjaga hal-hal sepertinya
maka orang di bawah menikmati hidup yang lebih selesa. Lebih terjamin
selamatnya dari gangguan yang menyesakkan hati dan nafas. Gangguan social yang
tidak menentu sebegitu perlu dihindarkan untuk hidup bersama. Belajar untuk
hidup bersama.
Banyak mercutanda yang berbentuk mega. Kosnya jutaan
ringgit. Bukan puluh juta tetapi ratusan juta. Mercutanda seharusnya
membangunkan pemikiran mereka yang melihatnya. Mencetuskan keinginan untuk
mengembangkan pendidikan. Membesarkan ruang keusahawanan. Berfikiran jauh
melangkah ke hadapan. Mercutanda itu bukan sebagai pameran mati dan kaku. Harus
ada gagasan untuk membina budaya positif. Tinggi, besar dan pancaguna. Jika besar
hanya besar dari segi saiz maka manfaatnya terlalu kecil. Hanya penggunanya
sahaja yang naik dan turun. Ianya tidak memberikan impak pendidikan,
keusahawanan atau pelacongan. Penulis teringat kaum ‘Ad iaitu kaum Nabi Hud di
selatan Yamen. Mereka membina tiang dan menara sebagai mercutanda yang hebat. Tinggi
dan mengkagumkan. Lambang kehebatan senibina mereka. Juga lambang ego mereka. Lambang
dan ego tidak memberi manfaat. Allah musnahkan kesemuanya. Tertimbus di bawah
pasir selama beribu-ribu tahun. Apabila mercutanda dibina tanpa syarie maka
kemusnahan menanti. Sewajarnya setiap sesuatu itu ada gunanya. Banyak manfaatnya.
Memberi kewajaran pembinaannya atau kewujudannya. Jika tidak Allah yang berhak
ke atas binaan dan mercutanda itu.
Kita sudah lama bercerita tentang yang besar, gah
dan mega. Apabila kita dekati banyak lompang agama dan budaya yang terpinggir. Jika
dasar tidak digubal maka hal-hal yang tertinggal itu semakin jauh di belakang. Jika
tidak difikirkan sekarang maka ianya menjadi sesuatu yang asing bila tiba
keperluannya. Kadang-kadang kita hanya perlu duduk sebentar. Pandang kanan dan
kiri. Apa masalah yang kita hadapi secara peribadi. Itu juga yang dihadapi oleh
orang lain. Maka masalah seperti itu yang perlu kita selesaikan. Tidak perlu
yang mega-mega. Kita solat di ruang yang sempit. Perlu diperluaskan. Untuk wuduk
tidak banyak pili air. Perlu dibanyakkan. Tidak ada selipar untuk wuduk. Beli dan
tambah. Bilik wuduk wanita mestilah di dalam kawasan musolla itu sendiri. Kita
membantu wanita melindungi aurat mereka. Bukan di luar. Terlalu ramai yang
terdedah auratnya.
Majulah. Binalah mercutanda pembangunan yang gah dan
mega. Yang besar dan menjulang langit. Tetapi jangan lupa yang dasar. Hukum yang
asasi. Praktiliti yang paling kecil. Mudah-mudahan Islam bukan hanya pada nama
tetapi dilihat dan ada dalil kewujudannya selain dari masjid, Al-Quran, pakaian
dan makanan umpamanya. Fikir dan fikirkan. Pengguna lebih tahu dari
perancangnya. Beri input yang positif dan membina. InsyaAllah akan banyak
kebaikannya kepada kita semua. Yang paling diperlukan ialah political will.