Dalam kehidupan kita, terlalu banyak situasi
yang kita hadapi. Namun yang paling getir barangkali ialah berhadapan dengan sesuatu
yang biasa tetapi dilihat seperti luar biasa. Yang lumrah tetapi mengganggu
kebiasaan. Yang rasanya mudah tetapi menjadi sukar. Yang sewajarnya indah
tetapi menjadikan kegundahan yang tidak menentu. Begitulah apabila kita
berhadapan dengan sesuatu yang baru. Yang kelihatan mudah menjadi sedikit
serabut. Kenapa?
1
Kita sangat terlalu biasa dengan yang biasa-biasa.
2
Sukar menerima perubahan walaupun sedikit.
3
Sukar untuk menerapkan sesuatu yang baru.
4
Sukar berhadapan dengan situasi yang sedikit berlainan.
5
Tidak redha dianggap berlainan dari sesuatu situasi atau seorang yang lain.
6
Terasa rendah diri berbanding dengan orang lain akibat kelainan yang
kita hadapi.
7
Selalunya kita memiliki persepsi yang kita rasa betul tetapi tidak betul
pada pandangan atau kebiasaan orang lain.
8
Kita tergugat dengan kelebihan orang lain.
9
Kita rasa tertinggal berbanding dengan orang lain.
10
Kita sudah mengetahui sesuatu perkara tetapi kita tidak tahu di mana
hendak meletakkan diri kita dalam banyak hal.
11
Kita selalu tersasar dari memahami bahawa proses belajar itu banyak. Pelbagai.
Masanya panjang. Ragamnya banyak. Kompleksitinya rencam.
12
Apabila tidak ditangani dengan betul maka kita terasa janggal, keliru
dan mungkin bosan dengan keadaan yang kurang kita fahami.
Al-Quran menggariskan tiga peringkat proses
ini, iaitu:
1
Mendengar dengan yakin berdasarkan ilmu yang kita pelajari dan miliki .
2
Melihat dengan yakin berdasarkan bukti-bukti nyata yang kita lihat
dengan mata kasar atau bukti empirik melalui kajian dan penyelidikan.
3
Berfikir dengan yakin berdasarkan yang kita dengar dan yang kita lihat
tanpa mengganggu keimanan kita kepada perkara-perkara yang ghaib.
وَجَعَلَ
لَكُمُ السَّمْعَ وَالأَبْصَارَ وَالأَفْئِدَةَ
Maksudnya: Dan Dia
(Allah) menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati (untuk berfikir)
Al-Sajadah 32:9
Proses belajar dilihat dari berbagai persepsi:
1
Sukar bagi yang tiada asas dalam hal yang hendak dipelajari. Tetapi andainya
dibuka minda dan persepsi baru maka yang sukar itu lama-kelamaan akan menjadi mudah.
Malah menggembira dan membahagiakan. Mungkin gagal jika tidak ditangani
persepsi yang negatif.
2
Biasa-biasa sahaja bagi mereka yang sudah memiliki asas mengenai perkara
yang hendak dipelajari. Walau bagaimanapun kejayaan cemerlang akan dikecapi
jika fokus untuk menguasainya. Jika hilang fokus keadaan semakin membebankan.
3
Mengujakan bagi yang memiliki harapan tinggi (high expectation). Terdapat
objektif nyata yang ingin dicapai. Berstrategi jangka pendek dan strategi
jangka panjang. Membina rangkaian strategik untuk membantu melestarikan harapan
masa hadapan.
Maka kita perlu memilih situasi yang sesuai. Semasa
membuat pilihan:
1
Jangan terlalu memilih kerana apapun pilihan kita tiada pilihan yang sempurna.
2
Pilihan kita yang kita rasa paling baik sebenarnya bukan yang terbaik
apabila kita bandingkan dengan pilihan orang lain. Contoh: Kita rasa kita tahu
tetapi yang kita ketahui itu kadarnya berbeza dengan yang orang lain ketahui.
3
Tidak memilih juga suatu permasalahan yang tidak menentukan apa-apa. Pilihan
yang banyak perlu diperingkatkan mengikut keperluan dan kesesuainya. Mengikut premisnya
yang bersesuaian.
4
Semasa membuat pilihan kita tidak boleh terlalu memberikan ulasan dan
hujjah yang tidak menepati sasaran. Lebih baik banyak mendengar, melihat dan
berfikir mengenai premis yang ada. Matlamat kita adalah jangka panjang.
Sebagai orang baru dalam sesuatu keadaaan, banyak
yang perlu kita lakukan:
1
Banyak mendengar dengan teliti, dengan hati terbuka, dengan senang hati,
dengan berlapang dada. Dengar, serap dan cuba fahami butirannya secara
terperinci. Bina rantaian kefahaman untuk memahami keseluruhan perkara yang kita
dengar dan dengar. Mendengar pula hendaklah dengan telinga dan dengan hati. Hadirkan
perasaan supaya yang kita dengar sampai ke dalam dan kekal di situ untuk
kemudian hari dipergunakan selayaknya apabila diperlukan dalam situasi-situasi
yang memerlukannya.
2
Banyak membaca, melihat dan menilai fakta-fakta yang dihadirkan di
hadapan kita. Bukti boleh dilihat dengan
pembacaan, dengan pengamatan, dengan kaji selidik (survey) atau bukti
penyelidikan – empirik (empirical evidence). Pengalaman orang lain sebagai
pengalaman primer (prime) sangat penting kerana lain orang lain pengalamannya. Sesuatu
pengalaman mungkin mewakili pengalaman beberapa orang lain. Tetapi jangan lupa
ada orang-orang tertentu yang mengalami hal-hal yang tidak dialami oleh orang
lain.
3
Banyak bertanya hal-hal yang berkaitan supaya kita dapat mencantumkan jigsaw puzzle yang kita
simpan dalam minda kita tetapi tidak dapat diselesaikan tanpa input-input baru
dari orang lain atau dari sumber lain sama ada sumber primer atau sekunder.
Dalam proses belajar jangan tutup pendengaran,
penglihatan atau input lain dari menerjah pemikiran kita. Kita perlu memberi
ruang dan luang serta peluang supaya input-input baru menambah nilai-nilai baik
yang sudah ada dalam diri kita. Atau membuang nilai-nilai buruk yang kita anuti
selama ini. Begitulah proses belajar supaya kita berada dalam landasan yang
lurus. Istiqamah dalam mencari redha Allah. Namun begitu kita tidak lari dari
dua sifat kita sebagai insan yang nisyan (pelupa):
1
Menyedari kelemahan diri kita sebagai insan.
2
Kita melakukan kesilapan dari masa ke semasa kerana kelamahan diri kita
itu.
3
Walaupun kita sudah menemui jalan lurus, kita perlu selalu menoleh ke
kanan dan ke kiri untuk mempastikan yang diri kita berada di landaasan yang
betul setiap masa. Kita perlu belajar memperlahankan diri atau berhenti untuk
muasabah diri kerana dikhuatiri berkemungkinan melakukan kesilapan dan
kemudaratan kepada orang lain tanpa niat atau tanpa sedar sesedarnya.
Maka yang penting bagi kita ialah belajar dan
terus belajar kerana ilmu Allah tiada terkira banyaknya. Hatta lautan sebagai
tinta tidak cukup untuk menulis ilmu Allah. Lautan tinta berganti lautan tinta
masih tidak cukup untuk menulis luasnya ilmu Allah. Kesemua yang kita pelajari
terlalu sedikit. Potensi diri kita terlalu sedikit yang kita bangunkan. Diri kita
yang sedia ada hanya sedikit daripada diri kita yang sebenarnya. Hanya Allah
Yang Maha Agung dan Maha Sempurna.
No comments:
Post a Comment