Rata-ratanya orang Melayu menggemari muzik. Hampir
setiap majlis ada muzik. Di majlis makan-makan ada muzik. Jamuan besar-besaran
ada muzik. Di majlis walimatlurus lebih banyak lagi muziknya. Maka DJ bercelotehlah
dikira menggamatkan suasana. Dianggap sepi tanpanya. Seperti bukan majlis kata
orang nantijika tanpa muzik . Baiklah. Majlis walimatulurus adalah majlis
berkaitan agama. Setelah anak dinikahkan maka disyukuri dengan mengundang sanak
saudara dan sahabat handai. Mereka dijamu dengan makan minum mengikut kemampuan
tuan rumah. Ada yang biasa-biasa dan ada pula yang luar biasa. Malang sekali
dalam majlis seperti itu selalu dicemari dengan muzik. Dengan tarian Zapin bagi
orang Johor. Ada pula yang mengadakan joget lambak. Majlis yang seharusnya
syahdu menjadi sesuatu yang lagha. Melalaikan. Muzik dengan volum tersangat
kuat sehingga tetamu tidak senang hendak makan. Tidak berupaya untuk berbual. Seluruh
kawasan itu bergetar penuh dengan kebisingan.
Majlis walimatulurus tidak perlu kebisingan
yang melampau. Telinga terasa bingit dan mata menjadi berasap meliha hal-hal
yang tidak sewajarnya. Apatah lagi silih berganti yang berkaraoke. Yang tua dan
yang muda jadi sangat teruja dengan muzik. Suasana keislaman berkaitan
walimatulurus itu pudar dan kelam. Yang tinggal adalah pesta muzik. Pengamatan penulis
menunjukkan bahawa bermuzik-muzik ini hanya menjadi budaya orang Melayu-Islam. Tidak
dilihat dalam majlis perkahwinan penganut Hindu, Buddha, Cina, Kristian dan
sebagainya. Mungkin di tempat tertutup dalam majlis reception mereka. Kita
tidak pernah diundang ke majlis mereka. Banyak yang kita tidak tahu. Yang pastinya
apabila kita mengadakan majlis walimatulurus lazimnya kita berbuat yang
berikut:
1
Memperdengarkan muzik yang hingar-bangar hingga seluruh kawasan tempat
tinggal kita terganggau selama beberapa jam. Tidak pernah kita perihatin dengan
bayi, anak-anak kecil, orang tua dan mereka yang uzur. Kita menganggap mereka
yang berkaitan tidak wujud di kawasan itu. Tuan rumah tanggung.
2
Berlaku percampuran lelaki dan wanita tanpa batas Islam. Berlaga punggung
di sana sini. Tersentuh di sana sini. Ruang sempit. Tetamu ramai. Ketika itu dosa
dan pahala sudah tidak kita ambilkira lagi. Tuan rumah tanggung.
3
Kawasan itu menjadi terhalang kepada semua lalu lintas. Siap dengan
permit polis. Bayangkan apabila berlaku kecemasan. Bomba tidak boleh sampai. Ambulan
tidak dapat hampir. Seolah-olahnya aktiviti seluruh penduduk di sebatang jalan
itu terhenti seketika. Sehari. Mungkin dua hari.
Mari kita lihat senerionya di TV pula. Sudah berpuluh tahun hal ini disuarakan. Bagaimana
jika TV mengurangkan program hidonism mereka? Program lawak dari mega ke
spontan. Mereka yang menonton tidak kering gusi. Rasanya ada larangan untuk
ketawa kuat. Ketawa membuka mulut. Membuat orang lain untuk ketawa. Kita disarankan untuk banyak menangis
menginsafi diri. Bukan ketawa hingga
lupa diri yang kita ini hanya pinjaman sementara di dunia. Ketawa yang abadi
hanya di syurga sahaja. Terlalu banyak hiburan dan menyanyi hampir si semua
rangkaian di TV. Barangkali hanya TV Al-Hijrah sahaja yang kekal bertahan tanpa
muzik.
Kita mungkin mengambil jalan mudah. Muzik untuk
tidak menjadikan anak-anak muda kita menjadi liar. Benarkah begitu?
1
Mana program al-Quran sebagai manhaj menghampirkan diri kepada Allah?
2
Mana program ilmu? Bukankah ada kuliah Subuh, kuliah Asar, kuliah
Maghrib dan ceramah-ceramah lain sepanjang hari, sepanjang minggu dan sepanjang
bulan?
3
Bukankah ada amalan berzikir sepanjang masa?
4
Bukankah kita digalakkan untuk membaca apa sahaja bahan sama ada yang
bercetak atau elektronik? Dalam telefon bimbit banyak ilmu yang disebarkan. Pilih
yang bersesuaian.
5
Banyak e-pembelajaran atau e-ilmu dari internet. Google sahaja untuk
mendapat apa sahaja maklumat yang diperlukan. Syukur alhamdulillah, Allah mengizinkan
manfaatnya teknologi berkomputer.
Saya kira tiada siapa boleh menafikan bagaimana
orang Barat sangat gemar membaca. Membaca membuka minda untuk memikirkan
kelainan melalui catatan pengarang. Lain pengarang lain pula ruang minda yang
dibuka. Buku-buku ilmiah pula memberikan
peluang kita meneroka hal-hal besar dan sulit melalui eksperimen. Melalui pengamatan.
Kajian bertahun-tahun yang dikompres dalam beberapa jam membantu kita memahami
ciptaan Allah yang manfaatnya untuk kita yang juga ciptaanNya. Kita perlu lari
dari kebiasaan yang dianggap biasa-biasa sahaja. Kita mungkin mampu melakukan
hal-hal yang berkait dengan adat tetapi kita sewajarnya memilih yang hak
berbanding dengan yang batil. Kejar yang hak dan tinggalkan yang batil.
Kesemua ramuan memperbaiki keadaan ini bermula
dari rumah. Dari ibu dan bapa. Dari suasana anak itu masih kecil. Ada program
keluarga untuk menjana bakal warganegara yang berjaya dalam kerangka Islam. Dalam
manhaj Islam. Dalam menjana pejuang-pejuang Islam dalam teknologi. Dalam perubatan.
Dalam pendidikan. Dalam ekonomi. Dalam ketenteraan. Dalam banyak bidang lain
yang sekarang ini dikuasai oleh mereka yang bukan Islam. Kita harus see the
world and get the world. World view kita diperluaskan mencakup seluruh alam
seperti orang Amerika. Mereka meneroka alam. Bukan bumi semata-mata. Kerana itu
ibu dan bapa sewajarnya bukan calang-calang orang. Mereka perlu berilmu untuk
anak-anak. Berkemahiran untuk menjana bakal warganegara yang mandiri. Membentengi
anak-anak dari terjebak dalam hal-hal yang merosakkan, lagha dan maksiat. Dari rumah
tuan. Dari keluarga kita sendiri.
No comments:
Post a Comment