Setahun atau dua tahun kadang-kadang terasa
jauhnya. Apatah lagi berdekad-dekad lamanya. Namun sepertinya kita tidak akan sampai ke mana-mana. Kepada
orang muda pula mereka tidak mahu ke mana-mana. Pada pendapat mereka, mereka
akan kekal pada usia itu. Akan kekal di situ. Tidak akan tua. Tidak akan
bertambah usia. Malah ramai yang berfikir mereka pasti tidak mati ketika muda.
Walhal sahabat-sahabat mereka sudah ramai yang tiada. Yang matinya tragis
ketika merempit umpamanya. Ketika kemalangan di jalanraya. Sakit yang tidak kunjung
sembuh. Yang tewas kerana dadah. Tewas kerana maksiat. Perjalanan hidup ini
terasa jauh tetapi banyak sekatan-sekatannya di pertengahan jalan. Bila
sebenarnya masa kita berakhir? Kebanyakan kita berakhir di rumah sendiri. Di
atas tilam empuk yang kita tiduri setiap hari. Atau entah di mana yang
ditentukan Allah. Yang pastinya perjalanan kita akan berakhir bila-bila
ditentukan Allah. Manusia tiada kapasiti untuk mengetahui saat seperti itu. Kita
hanya mampu menerima qada’ dan qadar Allah.
Tentu sekali mengingat mati itu suatu bonus.
Menghalang kita dari berbuat maksiat. Dari lagha tidak menentu. Menghalang dari
berbuat apa sahaja yang bertentangan dengan perintah Allah. Seorang sahabat
cuba membuat perkiraan bahawa hidup di dunia ini sekadar beberapa minit
berbanding dengan akhirat yang infiniti. Selama-lamanya. Selalu disebut bahawa
sehari di akhirat sama panjangnya dengan 1,000 tahun di dunia. Maknanya hidup
kita di dunia terlalu singkat. Terlalu singkat. Sekejap sangat. Tetapi kita
yang masih hidup di dunia ini merasa seolah-olah kita akan hidup lama lagi. Kita
mengira bulan dan tahun dan berpuluh-puluh tahun di dunia sebagai sangat lama. Kita
melalui berbagai fasa kehidupan. Melalui liku-likunya. Melalui zaman yang
berbeza-beza. Sejarah diri kita merakamkan berbagai peristiwa yang banyak.
Bila sebenarnya kita perlu melaraskan kehidupan
dunia ini dengan bakal kehidupan di akhirat? Islam menggariskan ianya bermula
sewaktu usia kita tujuh tahun. Fasa kedua ialah sewaktu usia kita 10 tahun. Kemudiannya
ketika usia 14 tahun. Kemudiannya 21 tahun. Kemudiannya 40 tahun. Usia-usia ini
adalah fasa-fasa untuk melaraskan diri kita dengan kehidupan akhirat yang
sangat penting. Pelarsan ini adalah jalan lurus untuk menyampaikan kita ke
syurga. Kampung halaman kita yang hakiki yang telah kita tinggalkan. Kuat dalam
ingatan. Kita berazam kuat untuk kembali ke sana. Perjalanan ini seperti sangat
jauh tetapi masa bukan penghalang. Apabila masa dijaga maka perjalanan menjadi
indah. Apabila masa diurus maka pengisian perjalanan itu lebih manis. Apabila kita
benar-benar menyediakan diri untuk pulang ke kampung halaman kita maka
sebahagian dari perjalanan kita akan menjadi lebih mudah.
Bila pula kita perlu sedar akan perlunya kita
pulang ke kampung? Bila kita perlu benar-benar mengorak langkah untuk
menyediakan diri ke arah itu? Pelajaran dan pendidikan membantu ke arah itu. Ilmu
membantu kita memeta perjalanan yang perlu diambil untuk menentukan jalan
pulang yang terbaik. Al-Quran dan
al-Sunnah memberi garis panduan yang perlu. Ulamak memberikan interpretasi dan merealisasikan jalan pulang yang perlu diambil
oleh kita semua. Kepada sebahagian orang jalan-jalan itu sukar sedang kepada
yang lain ianya sangat mudah. Is bergantung kepada persiapan yang dibuat ketika
berusia 7 tahun, 10 tahun, 14 tahun, 21 tahun dan 40 tahun. Maksudnya kita
perlu bersedia lama sebelum benar-benar sampai ke jalan menuju syurga.
Marilah kita melihat di sekeliling kita. Di fasa
mana kita berada. Di fasa persediaan atau di fasa perjalanan. Atau di fasa yang
sudah cukup hampir ke destinasi itu. Begitulah perlunya kita muasabah diri
untuk melihat di mana kita berada. Untuk melihat ke mana kita sedang pergi. Untuk
melihat sejauh mana perjalanan itu yang sedang kita tempuhi. Kita bukan
bersendirian. Kita bersama-sama ingin ke sana. Walau bagaimanapun banyak antara
kita masih kurang bersedia. Tidak sebenarnya on-tract. Ramai masih
tertinjau-tinjau mencari panduan. Masih memilih-milih apa yang perlu dibawa
bersama. Masih tercari-cari pemimpin dan pembimbing untuk sama-sama menuju
jalan yang satu. Kita masih tidak menyedari besarnya misi untuk sampai ke
syurga. Tiada jalan pintas kecuali mereka yang berjihad kerana Allah. Yang syahid
di jalan Allah.
No comments:
Post a Comment