Siapakah yang perlu dihormati? Hormat atau rasa
hormat? Datang sendiri hormat itu atau diperintahkan begitu? Terlalu ramai
orang yang menuntut hormat. Hormat itu apa sebenarnya? Suka-suka? Ugutan? Atau
apa sahaja yang dituntut untuk dilakukan walaupun tidak disukai. Hormat yang
paling baik ialah hormat yang tiada timbal balas manfaatnya. No reciprocal
gain. Diberikan kerana kita yakin itu hak orang yang menerimanya.
Keistimewaan yang teristimewa. Hormat datang dari hati yang ikhlas. Dari dalam.
Dari dalam sanubari. Dari lubuk hati yang bersih. Dia tidak dipaksa. Tidak
diminta. Tidak ada arahan itu dan ini. Hormat itu diberikan kerana rasa hormat.
Memberi penghormatan. Kenapa?
1
Mereka lebih tinggi pangkatnya.
2
Mereka lebih tinggi kedudukannya.
3
Mereka lebih dewasa.
4
Mereka lebih berwibawa (authority).
5
Mereka diberi tanggungjawab.
6
Mereka lebih berpengalaman.
7
Mereka diberi kuasa.
8
Mereka lebih mengetahui.
9
Mereka diletakkan di situ sebagai yang berhak
menjalankan tugas.
Lazimnya, biasanya, selalunya, sewajarnya mereka dalam
senarai di atas dihormati kerana aras mereka lebih tinggi. Cuba teliti berbagai
situasi berikut:
Situasai 1:
Anak: Jika ayah tidak hormat saya, saya tidak akan
hormatkan ayah.
Ayah: Siapakah yang memberi makan keluarga ini?
Anak: Ayah.
Ayah: Then who the hell you think you are!
Situasi 2:
Pelajar: Jika cikgu tidak hormat saya, saya tidak akan
hormatkan cikgu.
Cikgu: Di sekolah ini saya mengajar kamu atau kamu
mengajar saya?
Pelajar: Cikgu mengajar kami.
Cikgu: Then who the hell you think you are!
Situasi 3:
Mahasiswa: Jika Prof. tidak hormat saya, saya tidak
akan hormatkan Prof.
Prof: Kamu mahasiswa atau saya mahasiswa?
Mahasiswa: Saya mahasiswa Prof.
Prof: Then who the hell you think you are!
Situasi 4: Di luar negara:
Pelajar: Jika ustaz tidak hormat saya, saya tidak akan
hormatkan ustaz.
Pegawai: Saya pegawai atau kamu yang jadi pegawai?
Pelajar: Ustazlah pegawai.
Pegawai: Then who the hell you think you are!
Ayah, guru, profesor dan pegawai sentiasa dan
selamanya lebih tinggi kedudukannya berbanding anak, pelajar dan mahasiswa. Mereka
lebih dewasa. Mereka lebih banyak dari segi pengalaman. Mungkijn lebih tinggi
kelayakan akademik atau skillnya. Siapapun mereka, hormatilah mereka kerana
kedudukan itu. Perhatikan senarai berikut:
1
Allah
2
Rasulallah
3
Ibu-bapa
4
Guru
Ibu-bapa sangat perlu dihormati. Tanpa penghormatan
hilang hubungan hakiki antara mereka. Jika kita perluaskan kefahaman kita,
bahawa ibu-bapa mencakup juga semua orang tua sebaya ibu-bapa kita. Mereka
adalah guru, ustaz dan ustazah, jiran atau ahli kariah yang lain. Semua orang
tua berada dalam taraf yang sama dengan ibu dan bapa seseorang. Penulis sengaja
menggunakan Bahasa Inggeris untuk memberikan impak ketidak wajaran seseorang
anak, pelajar dan mahasiswa menuntut dirinya dihormati oleh orang-orang yang berwibawa
dengan peranan masing-masing. Ibu-bapa dihormati kerana warisan. Diperintahkan oleh
Allah. Guru dihormati kerana mereka adalah orang dewasa yang mengajar,
mendidik, mengkaunsel, membimbing, menunjukkan yang benar dan membawa pelajar
ke arah kebaikan. Profesor dihormati kerana kepakarannya. Dia juga pendidik
yang sudah teruji dari segi ilmunya. Seorang pegawai dihormat kerana dia diberi
kewibawaan oleh kerajaan melalui undang-undang yang berkaitan dengan perjawatan
dalam sektor kerajaan.
Who the hell you think you are? adalah bahasa orang putih yang
diungkapkan ketika marah atau ketika ketidak wajaran berlaku dalam sesuatu
situasi. Jika diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu ia menjadi, kamu ingat kamu
siapa? Dalam bahasa Melayu maksudnya tidak seperti yang dalam bahasa Inggeris. Tidak
kelihatan seriusnya situasi itu. Mungkin bahasa Melayu kaya dengan kias,
tamthil dan ibarat. Bahasa yang lembut dan halus selalunya lebih tajam dari
mata pedang. Menusuk dan membelah hati nurani. Terasa pedih dan parahnya. Menjadikan
kita terkesima. Menderita aib diri yang
tidak terhingga. Ada orang dewasa bahasanya lembut tetapi memukul mati mereka
yang terkena.
Seorang anak akan selamanya menjadi anak. Hingga tua
sekalipun ia tetap anak kepada ibu dan bapanya yang masih hidup atau yang telah
mati. Tiada hak langsung baginya berlagak meminta dirinya dihormati oleh ibu
dan bapanya. Malah untuk meninggikan sedikit suaranya sudah dikira derhaka. Mereka
dituntut untuk berkhidmat kepada keduanya dalam keadaan apa selakipun. Mungkin sakitnya.
Mungkin ketidakupayaannya. Mungkin karenahnya. Mungkin kepayahan-kepayahan lain
yang melingkari kehidupan mereka yang sudah tua. Sesungguhnya berbakti kepada
orang tua diberi ganjaran pahala yang banyak sekiranya dilakukan dengan ikhlas.
Dilakukan kerana tuntutan tanggungjawab.
Seorang pelajar atau mahasiswa adalah selamanya
pelajar sehinggalah ia lulus dan diisytiharkan menjadi graduan. Selagi ia
menjadi pelajar sama ada kursus sijil, diploma, ijazah serjana muda, sarjana
dan malah peringkat kedoktoran sekalipun dirinya tetap seorang pelajar dari
segi:
1 Kedudukan
2 Taraf
3 Undang-undang.
Maka dirinya terikat dengan undang-undang yang ada. Ia tidak boleh melanggar mana-mana peruntukan
undang-undang atau peraturan yang dikuatkuasakan ke atasnya. Dia wajib patuh
dengan ketentuan itu. Jika tidak, dia
boleh tersingkir dari institusi pendidikan itu. Perkataannya, tingkahlakunya,
tindak tanduknya perlu mematuhi peraturan yang ada. Pelajar atau mahasiswa
tidak diberi hak untuk mencemarkan nama baik institusi atau nama baik mana-mana
pegawai institusi (walaupun individu itu seorang pengawal keselamatan atau
pencuci atau tukang sapu) atau nama baik mana-mana pelajar lain institusi itu
atau melanggar undang-undang negara sama ada di dalam kampus atau di luar
kampus. Sebagai pelajar ia hanya diberi hak untuk bersuara sama ada secara
individu atau berkumpulan mengikut peruntukan undang-undang (Akta Universiti
dan Kolej Universiti AUKU) di Malaysia. Itupun terhad kepada hal-hal yang
berkaitan dengan akademiknya dan kebajikan kehidupannya semasa menjadi pelajar
atau mahasiswa.
Adakah anda seorang pelajar? Jika jawapannya ia maka
anda perlu berfikir panjang dalam menjalani kehidupan sebagai pelajar.
1
Anda akan dewasa untuk memikul tanggungjawab yang
selama ini anda cemuh. Menjadi ibu atau bapa. Menjadi pegawai. Menjadi pendidik.
Menjadi profesional yang lain.
2
Mencari peluang kerjaya, membinanya dan menjawat jawatan-jawatan
tinggi. Andainya semasa menjadi pelajar anda tidak memiliki kualiti yang
diperlukan maka selamanya anda akan hanya menjawat jawatan yang tidak sesuai
dengan kelayakan akademik anda. Tetapi sebaliknya sesuai dengan sifat dan sikap
yang anda bina semasa menjadi pelajar atau mahasiswa dahulu.
Dunia realiti yang sebenar tidak seperti idealisma
yang anda tuntut semasa menjadi pelajar. Anda boleh menuntut sebuah gunung
tetapi anda mungkin hanya mendapat sebuah longgokan pasir. Anda mungkin ingin
terbang setinggi langit tetapi anda hanya mampu melonjak dan kemudian jatuh ke
tanah semula. Anak-anak muda perlu belajar dengan sabar. Belajar dengan banyak
memerhati dan mengalami sendiri susah dan payahnya mereka yang telah dewasa melaluinya
dahulu. Tidak ada siapa yang terkecuali dari mengalami hal-hal yang tidak enak
semasa menjadi anak muda. Pendidikan itu perlu. Praktikaliti juga perlu. Pengalaman
melengkapkan seseorang untuk menjadi dewasa yang bermanfaat. Semoga anda dewasa
tidak menjadi antara mereka yang bermasalah dalam banya hal. Mudah-mudahan
menjadi ibu dan bapa yang baik. Menjadi warganegara yang memberi impak positif
kepada negara walaupun dalam hal yang sangat kecil sekalipun. Insyaallah.
No comments:
Post a Comment