Istilah bapa penulis berikan dalam dua konteks sahaja:
1
Suami kepada ibu. Insan yang dengannya kita dibin atau
dibintikan. Nasab keturunan. Darah daging seorang anak.
2
Seseorang yang dipertanggungjawabkan menjadi pemimpin
kelompok, masyarakat, mukim, daerah, negeri dan negara. Kita boleh turun kepada
pemimpin taman, ketua kampung, pengerusi masjid dan surau, pemimpin kelab dan
persatuan dan pemimpin-pemimpin dalam kapasiti yang lain.
Seorang bapa kandung adalah mutlak. Dia
sahaja bapa kandung. Tidak boleh ditukar. Tidak boleh diganti. Tidak boleh
diwakili. Tiada sesiapapun yang boleh mengambil alih tugas dan tanggungjawab
seorang bapa kandung.
1
Bertanggungjawab memberi nafkah hidup.
2
Menyediakan tempat tinggal.
3
Membelikan pakaian.
4
Mengurus kesihatan.
5
Memberi didikan dan pelajaran serta akhlak yang mulia.
6
Mendidik bermasyarakat.
7
Mempastikan anak mengamalkan ajaran Islam.
8
Menjaga kebajikan dan kesejahteraan.
9
Menjaga keselamatan.
10
Merancangkan masa hadapan anaknya.
Andainya mana-mana tugas yang tersenarai tidak berjaya
dilaksanakan maka bapa itu dianggap gagal menyempurnakan tugasnya.
Tanggungjawab bapa itu tidak tergalas di bahunya. Dia dianggap seorang bapa
yang tidak mampu menjadi bapa yang terbaik. Andainya kesemua tanggungjawab
dapat dilaksanakan maka bapa itu berjaya menjadi bapa yang diharapkan. Dalam
konteks bapa sebagai ketua keluarga ini sama ada dia berjaya atau gagal dia
tetap bapa. Seorang bapa dengan segala kekurangannya. Sekiranya dia telah berusaha,
tiada siapa yang dakwa mendakwanya. Jika berjaya, dia menjadi model atau contoh
atau mungkin idola kepada orang lain. Pendapatnya dirujuk. Kehidupannya diberi
perhatian. Orang lain ingin belajar dari pengalamannya.
Ini tidak terjadi kepada bapa yang menjadi gelaran
kepada seseorang pemimpin. Tidak kira besar atau kecil. Tinggi atau rendah.
Tanggungjawabnya sama tetapi berskala besar. Untuk kelompok yang lebih besar
hingga akhirnya untuk seluruh rakyat negara yang dipimpinnya. Bapa yang baik
sentiasa memikirkan yang terbaik kepada anak-anaknya. Yang terbaik dalam
konteks positif. Tidak terancam, tiada
kesan negatif, selamat, tiada keraguan, mengambil berat, peka dan
sentiasa ingin membantu. Bapa dalam kategori ini bukan mutlak. Mereka dijadikan
bapa untuk tujuan tertentu. Untuk jangkamasa tertentu. Cukup masanya bapa ini
akan mengundurkan diri. Atau diundurkan. Atau tugasnya diberikan kepada orang
lain yang dijangka lebih berupaya menyempurnakan tenggungjawab yang
diamanahkan. Tugas dan tanggungjawab seorang bapa ini adalah sangat berat.
Tanggungjawabnya luas. Banyak. Rencam. Tiada had kuantiti dan kualitinya. Dia
tidak boleh gagal walau sedikitpun kerana natijahnya negatif. Implikasinya
besar. Dia perlu menjawab mengapa kegagalan berlaku dalam amanahnya. Dalam sebuah
hadith Rasulallah saw bersabda:
كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْؤُلٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya:
Kamu semua adalah pengembala (ketua) dan kamu semua
akan dipertanggungjawabkan terhadap
gembalaanmu (orang-orang yang menjadi tanggungan kamu.)
Bagaimanakah kita menilai seorang bapa seperti
berikut:
1
Membunuh anaknya yang tidak sah taraf sedangkan dia
adalah bapa yang tidak sah taraf.
2
Membiarkan anak-anaknya tanpa nafkah hidup yang
mencukupi mengikut kadar kemampuannya.
3
Mendera anak-anaknya sama ada secara fizikal, secara
psikologi atau secara mental.
4
Membiarkan anak-anaknya menguruskan kehidupan mereka
sendiri sedangkan bapa mereka sangat berkemampuan.
5
Bapa yang bermewah-mewah tetapi sangat berkira dengan
anak-anak.
6
Mendenda dan menghukum anak-anak melebihi had. Hilang
kasih sayang dalam hati bapa.
7
Mempermain-mainkan perasaan anak-anak. Mereka pula
tidak boleh bersuara. Tidak boleh
memberi pendapat. Apa-apa suara
yang keluar dari mulut anak dianggap sebagai melawan, menghasut dan tidak
berterima kasih. Tidak bersyukur.
8
Apa-apa yang didapati benar dikatakan membuka rahsia.
Ke mana anak-anak harus pergi. Kepada siapa mereka
harus mengadu. Apa yang perlu mereka lakukan untuk memperbaiki diri. Siapa yang
harus membantu mereka. Memang bapa mereka telah menyediakan berbagai-bagai
keperluan untuk mereka. Malangnya mereka perlu pula membayar. Wang saku mereka
dipotong setiap masa. Diperlakukan seperti bukan anak kandung. Dilihat orang
seperti anak tiri. Kadang-kadang bapa membujuk dengan berbagai helah tetapi
yang anak-anak dapat tidak seberapa. Hak mereka sebagai anak dinafikan. Bapa
berbelanja untuk hal-hal yang mampu dilihat sahaja oleh anak-anak. Mereka hanya
mampu kecur air liur. Hanya mampu berangan-angan. Meminta tetapi tidak
dipertimbangkan. Merayu mungkin dapat sebahagian dari yang diperlukan. Hidup
anak-anak daif dalam keluarga besar yang sebenarnya mewah. Anak seorang kaya.
Berkemampuan untuk menyediakan segala-galanya.
Bapa jenis ini selalu lupa bahawa mereka berada dalam
jangka hayat yang terbatas. Duduknya sementara. Keberadaannya sementara. Kerusi
empuk itu sementara. Jawatannya sementara. Mereka akan digantikan:
1
Dengan yang lebih baik.
2
Yang buah fikirannya lebih bernas.
3
Yang bicaranya benar tanpa dolak-dalik. Tanpa banyak
alasan yang palsu.
4
Yang usahanya untuk membantu menyenangkan anak-anak.
5
Yang perihatin tentang keperitan kehidupan anak-anak.
6
Yang tidak mengugut. Tidak mengancam. Tidak memberi
kata dua.
7
Yang dilihat benar. Tindakannya benar. Bicaranya
benar. Janjinya benar.
Bapa kandung adalah darah daging. Tiada peluang untuk menafikan
perhubungan yang terjalin. Tiada undang-undang untuk menafikan bahawa dialah
bapa kandung. Anak-anak berada di bawah kuasanya sehingga mereka baligh. Namun masih
ditanya di akhirat nanti. Bapa yang kedua pula diangkat oleh anak-anak untuk
dijadikan bapa. Dipilih untuk menjadi bapa. Dilantik untuk dijadikan bapa. Maka
bapa jenis ini boleh diturunkan dengan kuasa yang ada pada anak-anak. Mengikut
fitrah alam. Yang baik diangkat. Yang tidak baik diturunkan. Terdapat perbezaan
besar antara yang benar dan yang batil. Antara yang baik dengan yang buruk.
Sekali pandang malanglah nasib anak-anak diperlakukan dengan tidak sewajarnya
oleh seorang bapa yang kurang tanggungjawabnya. Walau bagaimanapun banyak
positifnya. Anak-anak boleh memilih bapa lain apabila sampai masanya. Turunkan
dan buang bapa yang tidak bertanggungjawab itu. Yang sudah tidak berminat untuk
membela anak-anaknya lagi. Bapa yang bersedia mencuci tangannya sendiri. Yang
difikirkan ialah dirinya sendiri.
Bapa yang gagal selalu lupa bahawa anak-anaknya adalah
warisannya. Mereka yang akan menyambung zuriatnya. Namun apa yang difikirkan
oleh bapa tidak sampai ke situ. Yang penting hanya dirinya. Bukan anak-anaknya.
Bukan cucu-cicitnya yang akan datang selepasnya. Bahawa kezaliman yang
ditanggungkan ke atas kepala anak-anak sebenarnya akan kembali sebagai
kezaliman kepada dirinya sendiri. Yang di atas pasti turun. Yang mewah pasti
akan papa. Yang senang pasti akan susah. Yang hidup pasti mati. Setiap orang
ada had hayatnya. Mungkin esok, lusa, tulat, langkat, tubin ………pekan, tahun. Masa
tetap memburu kehadirannya. Masa juga yang akan menamatkan buruan itu. Ketika
itu bapa menjadi buruan masa dan keadaan.
No comments:
Post a Comment