![](https://fbcdn-sphotos-d-a.akamaihd.net/hphotos-ak-xfa1/t1.0-9/1928735_152851507364_2361814_n.jpg)
Berkemas, memindahkan barang dan menyusun aturnya bukan kerja senang. Kebanyakan barang berat-berat belaka. Tenaga beberapa orang sahaja yang termampu digunakan. Lambat sehingga merosakkan peralatan yang dibuat dari kayu. Haji Abas hanya mampu melakukan yang ringan-ringan sahaja. Usianya tidak lagi mengizinkan ia melakukan yang berat dan sukar.
![](https://scontent-a-mad.xx.fbcdn.net/hphotos-xfa1/t1.0-9/p417x417/1928735_152851482364_5356420_n.jpg)
Banjir ini tidak diduga. Sudah terlalu lama penduduk Parit Sulong tidak menyaksikan banjir sebesar ini. Kebanyakan kawasan perumahan ditenggelami air. Hanya kedai-kedai yang bertambak sahaja yang berada di atas paras air banjir.
Pekan Parit Sulong terletak di laluan utama jalanraya
utara-selatan sebelum adanya lebuhraya PLUS. Laluan dari Johor Bahru hingga
padang Besar di Perlis. Pada peta Malaysia di Semenanjung jalanraya ini dilabel dengan No.1. Parit Sulong terletak antara Pekan Yong Peng dan Bandar Maharani di Muar. Loksinya di
muara Sungai Senanga dan bertemu Sungai Simpang Kiri, Batu Pahat. Lokasi ini
sangat strategik pada zaman penduduknya berperahu dan bersampan. Mereka
bergantung kepada sungai sebagai jalan perhubungan. Pekan Parit Sulong ini pula
di pertengahan perjalanan sungai antara Bandar Penggaram dan Seri Medan. Maka
Pekan Parit Sulong menjadi tempat persinggahan. Berkembanglah Parit Sulong dari
sebuah kampung kecil hingga menjadi sebuah pekan seperti sekarang. Tidak besar
tetapi menyediakan banyak kemudahan kepada penduduk setempat. Di pekan inilah
Haji Abas dan Hajjah Aminah bermastautin hingga sekarang.
Era banjir dari
zaman dahulu hingga tahun 1960an seperti berlalu begitu sahaja. Usaha-usaha Jabatan
Pengairan dan Saliran diizinkan Allah untuk tidak berlaku lagi banjir seperti
sebelumnya. Banjir kali terakhir kira-kira pada awal tahun 1970an sewaktu
penulis mula-mula menjadi guru sekolah menengah. Bertugas pula ketika itu di
Kuala Terengganu. Berpuluh tahun kemudiannya Parit Sulong dan kawasan
sekitarnya bebas dari banjir besar. Tiba-tiba pada alaf baru 2000 banjir datang
lagi. Bukan sekali tetapi dua kali dalam jarak yang dekat. Pada pandangan mata
ianya tidaklah gawat. Namun bagi Haji Abas dan Hajjah Aminah senarionya
tentulah tidak dapat dibayangkan dengan mata. Hanya ruang tamu dan bilik tidur
sahaja yang tidak ditenggelami air. Ruang dapur tenggelam keseluruhannya. Rumah Haji Abas menjadi seperti pulau.
Terhenti aktiviti memasak. Terhenti penggunaan bilik
air dan tandas. Terhenti proses membasuh pakaian. Yang boleh hanya duduk
melihat air. Mana mungkin tidak ke sungai besar dan ke sungai kecil? Kegawatan yang
menerpa secara tiba-tiba. Kudrat pula sudah terlalu berkurangan. Dalam keadaan
seperti itu tiada siapa jiran tetangga yang mampu membantu Haji Abas dan Hajjah
Aminah. Masing-masing dengan kegawatan masing-masing. Kebanyakan mereka memilih
untuk berpindah ke tempat pemindahan sementara atau duduk di rumah dalam serba
kepayahan. Mereka yang tidak pernah mengalami banjir tidak mungkin dapat
memahami situasinya. Manusia secara fitrahnya tidak boleh duduk diam. Banjir seperti
memenjarakan mereka. Mereka seperti terpaksa duduk diam. Anak-anak pula
jauh-jauh. Yang ada pun sudah berumur juga. Kudrat masing-masing banyak
mengendur.
Lazimnya apabila musim hujan tidak nampak hentinya,
petanda banjir dikesnalpasti datangnya dari Negeri Pahang lalu ke Segamat. Dari
Segamat air menerjah Muar dan Batu Pahat. Seri Medan selalunya lebih awal
dilanda banjir sebelum air itu turun ke Parit Sulong dan kawasan lain di Batu
Pahat. Seri Medan memberikan makluman
awal. Banjir besar datang juga melanda Parit Sulong. Rumah Haji Abas ditenggelami air. Anak-anak yang ada bergegas ke Parit Sulong
untuk memberikan bantuan awal. Peti ais, mesin basuh, kabinet pinggan mangkuk
dan barag-barang lain yang ditenggelami air perlu diselamatkan. Yang tua-tua
terasa bergetar urat-saraf seperti terlalu terik. Melelas telapak tangan. Ketika
itu tiada cucu-cucu yang jumlahnya berpuluh orang. Apa lagi yang perlu dibuat
selain menyelamatkan apa sahaja yang boleh diselamatkan. Tidak perlu berfikir
panjang-panjang. Yang hadir sahajalah harapan menyelamatkan keadaan.
Bukan sahaja Haji Abas dan Hajjah Aminah yang perlu
diselamatkan dari keadaan bahkan keseluruhan isi rumahnya perlu diselamatkan. Diorientasi
semula untuk memuatkan segala barang yang perlu dimuatkan di ruang tamu dan di
bilik tidur. Suatu keadaaan yang cukup kalut. Air yang diharung bukan air
bersih. Segala tandas sudah melimpahkan isinya. Terlalu tidak kondusif untuk
berada di sekitarnya. Haji Abas dan Hajjah Aminah dipindahkan sementara ke
rumah anaknya. Menanti surutnya air. Berminggu juga penantian itu. Selepas
banjir surut masalah lain pula yang timbul. Kabinet pinggan mangkuk rosak teruk.
Tidak boleh diperbaiki lagi. Perlu diganti. Lantai jubin pula lekang dari simen
di bawahnya. Begitu juga kerosakan-kerosakan lain. Terpaksalah jubin baru
menggantikan jubin lama. Bilik air diperbaiki. Dipulihkan seperti sebelumnya.
Masalah banjir ini selalu menghantui penduduk yang
pernah dilanda banjir. Ianya bukan banjir kilat yang hilang dalam beberapa jam.
Ia mungkin dua minggu atau lebih. Malah ada tempat seperti di Parit Raja yang
banjirnya berbulan-bulan. Air banjirnya termenung. Tidak mengalir. Tidak surut-surut.
Pengalaman itu terus menjadi ingatan. Mereka sentiasa berjaga-jaga apabila tiba
musim hujan. Persediaan awal sentiasa dibuat supaya apabila banjir keselamatan
sentiasa terjamin. Sebagai iktibar, bahawa apabila usia kita semakin lanjut
perkara yang kecil menjadi besar. Pertamanya kudrat kita sudah terhakis. Keduanya,
anak-anak lazimnya tinggal berjauhan. Ketiganya, masa amat penting kerana
kesegeraan adalah perlu untuk membantu. Keempat, jarang cucu-cicit yang
terfikir pentingnya datang membantu datuk dan nenek mereka. Kelima, jiran
tetangga tidak berkeupayaan membantu sewajarnya kerana masing-masing juga dalam kepayahan.
Pengalaman Haji Abas dan Hajjah Aminah ini besar
impaknya. Pertama, hindarkan tinggal di kawasan yang cenderung banjir (flood
prone). Kedua, pasangan yang berusia lanjut perlu ada yang memantau. Ketiga, bantuan
dari keluarga perlu disegerakan. Tanya khabar. Tanya kedudukan. Tanya situasi. Tanya
apa yang boleh dibantu. Ukhwah anak-cucu-cicit perlu kental sebagai menjaga
warisan masa silamnya. Itu sahaja yang ada. Yang masih boleh ditatap. Yang masih
boleh disentuh kulit kedutnya. Bahawa suatu hari nanti kita akan pasti berada dalam
situasi itu. Situasi yang tidak banyak memberikan kita banyak pilihan. Kita menerima
ketenuan takdir usia. Kepada Allah berserah. Semoga Allah selamatkan Haji Abas
dan Hajjah Aminah.
![](https://scontent-b-mad.xx.fbcdn.net/hphotos-xaf1/t1.0-9/1928735_152851432364_6217615_n.jpg)
Air di mana-mana apabila sesuatu kawasan itu dilanda banjir. Pekan Parit Sulong Penuh dengan air. Ia bukan pesta tetapi suatu kegawatan yang datang menerpa. Susah payahnya yang perlu ditangani seadanya. Ramai yang makan nasi kawah di pusat pemindahan banjir. Suatu keadaan yang juga menyulitkan.
No comments:
Post a Comment