![](https://scontent-b-cdg.xx.fbcdn.net/hphotos-prn2/t1.0-9/p417x417/552743_441006972597967_998294627_n.jpg)
Hasratnya ingin bayak memberi. Secara kuantiti dan berkualiti. Azamnya untuk membantu memberi kegembiraan. Melitup masa lalu dengan wajah ria tanpa duka.
Kebersihan adalah prinsip asas kepada Haji Abas.
Bersih dalam segala hal. Tiada kecuali dan tiada kompromi. Dalam rumah bersih
dan dilihat bersih. Kemas dan dilihat kemas. Teratur dan dilihat teratur.
Sampah diurus dengan rapi. Disapu sebersih-bersihnya. Dimasukkan ke dalam bakul
sampah. Dibungkus dan dimasukkan ke dalam tong sampah untuk dipungut oleh pihak
yang berwajib. Apabila ke rumah anak-anak Haji Abas tidak duduk diam melihat sampah. Bakul sampah yang berisi pasti dibuang sampahnya ke dalam tong
sampah. Tidak ada jadual tertentu. Apabila ada sahaja sampah maka akan
dibuangnya. Berapa kali bukan soalnya. Banyak kali bukan soalnya. Masa juga
bukan soalnya. Sampah perlu dibuang. Menjadi suatu tugas wajib kepadanya.
Seolah-olahnya Haji Abas bermusuh dengan sampah. Begitu juga di luar rumah. Dia
masih berupaya menyapu di kawasan rumahnya. Setiap pagi dilakukannya apabila
cerah waktu pagi. Disapunya halaman rumah sehingga sangat bersih. Selepas itu
barulah ia sarapan pagi.
Haji Abas suka halaman rumahnya dihiasi dengan pokok
bunga. Juga dengan pasu-pasu bunga. Paling banyak bunga kertas. Kelihatan
teratur dan terurus. Dia sangat teliti dalam hal ini. Apabila menanam bunga, ukur
dan sukatnya mesti tepat, lurus dan dalam jarak yang sesuai. Tali, pita dan
pancang adalah keperluan penting. Haji Abas tidak boleh berlebih atau berkurang
dalam soal bekerja. Semua peralatan bekerja atau bertukang perlu berada
bersamanya. Bila menanam pokok bunga pasti ada cangkul atau tajak. Ada pungkis.
Tukul besi untuk menukul pancang. Pisau untuk memotong tali. Pendek kata tool-kitnya
mesti tersedia. Ada juga antara cucu-cucunya yang mewarisi tabiat baik Haji
Abas ini. Kepada Haji Abas yang tidak ada ialah perkakas untuk pembaikan elektrik
dan perpaipan. Kepada orang seusia Haji Abas ianya cara hidup baharu. Kemahiran
itu tidak dimilikinya. Ia beralah supaya orang lain dapat melalukannya.
Makanan adalah kunci kehidupan berkeluarga. Nafkah
zahir yang menjadi tanggungjawab seorang suami kepada isterinya. Seorang bapa
kepada anak-anaknya. Seorang ketua keluarga kepada seluruh ahli keluarganya.
Kualitinya ditingkatkan selalu dari masa ke semasa. Semasa tidak berada makanan
disediakan untuk mengenyangkan perut. Untuk meneruskan kehidupan. Mungkin untuk
kelangsungan hidup itu sendiri. Mungkin banyak sayur kerana ianya paling murah.
Di tepi jalan boleh dikutip. Dikebun orang boleh dipetik dengan izin tuannya.
Apabila keupayaan ekonomi semakin meningkat makanan berkualiti ditambah. Begitulah yang Haji Abas lakukan. Dahulu anak-anaknya pernah makan nasi bercampur jagung.
Enak tetapi cukup untuk mengenyangkan sahaja. Kemudiannya barulah ada tambahan
seperti ikan atau daging ayam kampung sekali-sekala atau daging. Kepada Haji
Abas kuantiti mesti dijaga. Setiap masa dipastikan makanan tersedia sebagai stok
imbalan. Tersedia pada bila-bila masa diperlukan. Kecualilah keadaan sangat
menyempitkan. Makanan biar banyak. Itu prinsip Haji Abas. Bila pergi ke dapur, beras banyak dalam bekasnya. Gula ada. Bawang dan ikan bilis ada. Asam jawa banyak.
Belacan berkeping-keping. Dahulu berbuku-buku kerana dibeli secara kati (600
gram). Lada kering ada. Ikan kering atau masin ada. Begitu juga dengan rempah
tumis dan sebagainya. Lagipun pada pendapat Haji Abas kuantiti yang dilihat
mata biasanya mengenyangkan perasaan. Menyebabkan ketenangan secara psikologi.
Hujan atau panas makanan sudah tersedia tanpa ada lagi rasa bimbang. Susah atau senang hanya menambah atau
mengurangkannya secara relatif. Kualitinya berbeza secara relatif. Yang penting
perut sudah dalam jaminan akan kenyang dengan makanan ruji.
Gelagat menyimpan Haji Abas masih berterusan. Wlaupun
sudah menunaikan fardhu haji ia masih menyimpan. Pada tahun 1999 ia menunaikan
umrah bersama Hajjah Aminah, beberapa orang anak-anak dan beberapa orang
cucu-cucunya. Wang simpanan perlu ada setiap masa. Ada sahaja keperluan yang
memerlukan wang tunai pada bila-bila masa. Ada agenda tahunan yang seperti
terjadual tetap kepada Haji Abas. Mengadakan majlis kenduri arwah-arwah yang dikasihinya.
InsyaAllah akan diperjelaskan dalam entry yang lain. Kita berusaha
seolah-olah kita akan hidup 1,000 tahun lagi. Beribadat pula seolah-olah esok
akan mati. Antara dua ekstrim ini gelagat menyimpan perlu dipertahankan. Hidup
lama atau sekejap Allah yang tentukan. Sebagai manusia kita menghadapi hidup
sebagai manusia biasa. Bergantung kepada hal-hal dunia. Sakit dan pening
perlukan wang untuk rawatan dan ubat. Menghadapi kerosakan yang berbagai sama
ada rumah, kenderan atau peralatan lain. Membantu orang lain yang memerlukan.
Apabila ada simpana banyak yang mudah dibereskan pada kebanyakan waktu dengan
izin Allah.
Pakaian, penampilan dan kekemasan diri adalah elemen
penting kepada seseorang individu. Pasangan pula memberikan input yang
sewajarnya supaya masing-masning berada dalam keadaan terkawal. Penampilan
masing-masing terjaga rapi. Haji Abas tidak boleh berlebih kurang dalam soal
berpakaian. Dalam soal kerapian. Dalam soal ketrampilan. Hajjah Aminah masih
tetap memainkan peranan. Ia lebih suka Haji Abas memakai baju kemeja berlengan
panjang apabila menghadiri majlis kenduri dan sebagainya. Nampak anggun
walaupun dalam usia 100 tahun. Begitulah besarnya peranan isteri dalam menjaga
penampilan suaminya. Duduk di kampung tidak bermakna semangatnya terlalu
kekampungan. Disesuaikan dengan tempat dan zaman. Berpakaian baju kemeja
berlengan pendek memang ringkas. Namun perlu dijaga pula kesesuaiannya. Haji Abas
suka baju yang fit. Sesuai dengan tubuh badanya yang bersaiz kecil. Jika
terlebih besar ia menjadi risau. Pada pendapatnya akan dikatakan orang bahawa
ianya baju pinjam. Dipinjam dari orang lain.
Baju-bajunya di rumah disusun rapi. Digantung mana
yang perlu. Dilipat mana yang sesuai. Haji Abas sentiasa bersedia dengan sebuah
beg pakaian bersaiz besar hadiah dari anaknya. Di dalamnya tersedia seluar dan
baju. Kain pelikat dan singlet. Tuala dan sapu tangan. Perkakas mencukur. Berus
dan ubat gigi. Setokin dan seperlunya yang lain. Apabila ada sesiapa datang
menjemput khususnya anak-anak, kesemua keperluan berjalan sudah tersedia.
Angkat sahaja ke dalam kereta. Tidak perlu mencari. Tidak perlu berfikir apa
yang perlu dibawa. Sesampainya di rumah yang dituju ia akan membuka jam tangan,
kacamata, cincin dan songkoknya. Dibentangnya sapu tangannya. Diletakkan di
atas sapu tangan dan dimasukkan pula ke dalam songkok. Lalu diletakkan di
tempat yang sekira-kira tidak dimainkan oleh cicit-cicit. Dia akan menguruskan
sendiri di mana yang sesuai untuk meletakkan beg besar pakaiannya. Jika dalam
teori kejuruteraan bahawa setiap alat ada tempatnya, begitu juga Haji Abas
perihatin dengan tempat yang sesuai bagi segala keperluan dirinya.
Kekemasan tubuh badan sangat rutin kepada Haji Abas.
Hampir setiap hari ia mencukur misai dan janggut. Wajahnya sentiasa diurus rapi.
Setiap hari dicarinya waktu yang sesuai dengan keperluan rutinnya. Bercukurlah
dia dengan serius. Sehingga licin bahagian muka yang perlu dicukur. Haji Abas
seorang lelaki yang begitu lanjut usianya tetapi jika diperhati tumitnya, ramai
akan terkejut. Licin seperti wanita yang segala-galanya terurus. Manakan tidak.
Apabila mandi dia akan menggosok tumitnya dengan batu. Setiap kali mandi.
Kerana itu kakinya bersih dan cantik. Anak-anaknya yang perempuan tidak dapat
menyaingi ketelitiannya menggosok tumit kaki. Prinsip dan amal adalah dua
perkara yang saling berpaut. Kedua-duanya perlu dilaksanakan dengan bijaksana.
Haji Abas melakukannya walaupun dia tidak perlu menyatakan sebarang prinsipnya
kepada sesiapa kecuali kepada dirinya sendiri. Memeliharanya dan tidak
mengabaikannya.
Kebiasaan baik yang menjadi amalan menjadikan Haji Abas teratur hidupnya. Ada masa berjalan dan ada masa berehat. Ada masa makan dan ada masa tidur. Rutin hidupnya sangat simple. Tetapi tenang dan teratur. Begitulah dia membahagiakan dirinya dan diri isterinya.
Kebiasaan baik yang menjadi amalan menjadikan Haji Abas teratur hidupnya. Ada masa berjalan dan ada masa berehat. Ada masa makan dan ada masa tidur. Rutin hidupnya sangat simple. Tetapi tenang dan teratur. Begitulah dia membahagiakan dirinya dan diri isterinya.
No comments:
Post a Comment