Hajjah Aminah hitam manis orangnya. Anggun juga semasa muda. Dalam tubunya ada darah keturunan orang Pulau Pinang. Ramai saudara maranya yang kekal menetap di Bagai Serai. Sebahagiannya tinggal di Sungai Burung. Anak-anak memanggil Hajjah Aminah dengan panggilan mamak. Tidak diketahui puncanya sebab selalunya mamak adalah untuk lelaki. Orang Pulau Pinang menggunakan istilah mami. Bapa saudara pula dipanggil mamu. Mungkin tempias kebiasaan mereka yang berketurunan Banjar menyebabkan emak bertukar menjadi mamak. Ada sesuatu yang lucu semasa gambar ini diambil. Anak sulung mereka yang berdiri di sebelah kanan menangis kerana takut bahawa dirinya akan hilang masuk ke dalam gambar. Minda kanak-kanak kerana pada zaman itu bergambar bukan sesuatu yang menjadi kebiasaan. Kehairanan kerana dirinya kekal wujud tetapi bagaimana dirinya yang satu lagi berada dalam gambar.
Tidak ada sesiapa yang tidak menyanyangi pasangannya. Suami
menyayangi isterinya. Isteri menyayangi suaminya. Bagi yang bercinta sebelum
berkahwin tentulah sewajarnya lebih berkasih sayang. Pasangan itu telah dipilih
dengan rela hati. Ditentang tidak berbekas. Dihalang tidak betah. Dicincang
tidak putus. Mereka rela dibakar hangus. Direndam tak basah. Dijemur tak kering. Dihujan tak lekang. Hujan ribut dapat ditangkal. Hati rindu hanya menikah sahaja ubatnya.
Tetapi orang dahulu mana banyak cintanya. Sukar merealisasikan cinta antara
dara dan teruna. Atau antara duda dan janda. Atau antara duda dan dara. Atau
antara janda dan teruna. Zaman itu pertemuan sukar diatur. Pergaulan terbatas.
Dara dan janda terus-terusan dipingit. Maruah keluarga dirapi. Maruah agama
dipelihara. Marauh masyarkat dijaga dengan ketat dan terkawal. Haji Abas dan
Hajjah Aminah tidak pernah bercinta. Mereka dipertemukan Allah untuk
berumahtangga. Untuk berkeluarga. Untuk bercinta setelah berumahtangga.
Pengalaman berumahtangga sebelumnya dengan dua orang
wanita memberikan kemahiran kepada Haji Abas untuk mengendalikan rumahtangga
dengan kewajaran seorang suami. Tambahan pula Hajjah Aminah anak yatim piatu
ketika bernikah dengan Haji Abas. Dia perlukan seorang suami yang penuh
bertanggungjawab. Yang membawanya ke samudra bahagia hingga ke anak-cucu-cicit.
Hingga tua bersama. Senang dan susah bersama. Mengharungi banyak detik-detik
manis dan pahit bersama. Orang sekarang canggih dalam bercinta. Mempamerkan
rasa sayang dan kasih yang diperlihatkan. Yang dinyatakan. Yang direalisasikan.
Yang rindunya dengan teknologi. Bersama gelombang udara yang melantun suara dan
bicara. Tidak bagi orang dahulu seperti Haji Abas dan Hajjah Aminah. Cinta dan
sayang di dalam hati. Tidak dipamer dengan kata-kata. Tiada ayat bersulam kata.
Tiada anyaman indah bait-bait madah berseloka. Sayang diperlihat dengan
perlakuan yang tidak seberapa. Ditanggap dalam hati. Diperindah dalam perasaan.
Rasa kasih Haji Abas kepada Hajjah Aminah bukan dalam
kata-kata. Begitu juga rasa kasih Hajjah Aminah bukan dalam madah-madah indah.
Orang dahulu ada bahasanya sendiri. Kepada orang Arab suami atau ayah
dinisbahkan kepada anak sulung mereka. Lebih-lebih lagi jika anak sulung itu
lelaki. Begitu juga dengan isteri atau ibu. Anak sulung mereka berdua bernama
Rugayah. Dalam keluarga digelar Kayah. Maka Haji Abas dipanggil oleh Hajjah
Aminah sebagai ayahnya Kayah. Haji Abas memanggil Hajjah Aminah sebagai emaknya
Kayah. Budaya sebegitu transenden kepada mereka yang dari rumpun Melayu seperti
orang Jawa, Bugis, Banjar dan sebagainya. Kepada orang biasa tidak ada istilah
abang atau bang, sayang atau yang. Tentu juga bukan darling atau ling. Di
hadapan orang lain tidak bersentuhan. Tidak berpegangan tangan. Tidak
berpimpin. Tetapi antara mereka mengerti dan memahami bahasa tubuh
masing-masing. Memahami gerak dan lerek mata. Memahami intonasi suara. Hanya
golongan ningrat Jawa barangkali yang berbahasa Mas (bermakna abang atau
kakang). Dalam golongan bangsawan Melayu berbahasa kekanda dan adinda.
Haji Abas sangat mengasihi Hajjah Aminah. Ibu kepada
anak-anaknya. Nenek kepada cucu-cucunya. Hingga ke tua mereka tidak banyak
berjauhan. Jika terpisah di rumah anak-anak masing-masing mencari antara satu
sama lain. Jika Hajjah Aminah berpergian ke rumah anak maka Haji Abas akan
selalu bertanya bila pulangnya. Apabila sudah sama-sama lanjut usia kebersamaan
selalu dihargai. Masa muda yang telah dilalui bersama cukup mengajar erti
bersama. Kasih sayang yang bukan lagi diterjemahkan dalam bahasa. Bukan lagi
bicara. Tetapi kebersamaan. Berpisah tiada. Ada kerinduan untuk menatap antara
satu sama lain. Menghabiskan waktu-waktu yang masih berbaki. Pendek kata mereka
tidak boleh berpisah lama. Mereka perlu memerlukan antara satu sama lain.
Sekadar untuk bersama. Wujud di hadapan mata. Kelibatnya dilihat. Suaranya
didengar. Desirnya berlalu. Mungkin sesekali mengingat zaman muda belia
bersama. Jatuh dan bangun dalam kemiskinan dan kedaifan hidup.
Sewaktu muda dahulu tinggal di kampung banyak yang
perlu dilakukan. Sewaktu Hajjah Aminah berada dalam pantang banyak yang perlu
dilakukan oleh Haji Abas. Tempayan air perlu dipenuhkan. Air dari parit
diangkut dengan baldi sejauh kira-kira 100 meter. Hajjah Aminah dimanjakan
dengan dimandikan sendiri oleh Haji Abas. Suami memandikan isteri. Saat
romantik antara mereka. Tangan Haji Abas yang menggosok daki. Yang menyapu
sabun. Yang menjirus air ke seluruh badan Hajjah Aminah. Ia bukan senerio dalam
sebuah filem atau drama. Ia adalah realiti kasih sayang antara Haji Abas
terhadap Hajjah Aminah. Segala keperluan Hajjah Aminah disediakan. Dipenuhi
mengikut kadar kemampuannya ketika itu. Kasih sayang tidak diungkapkan dengan
lisan. Tetapi diterjemahkan dengan tindakan. Dengan apa yang boleh dilakukan untuk
memudahkan. Untuk menyenangkan. Untuk meringankan. Yang berat sama dipikul dan
yang ringan sama dijinjing.
Sekarang ini pun Haji Abas masih banyak seperti
dahulu. Setiap kali ke pasar hari Sabtu ada sahaja yang dibelinya untuk Hajjah
Aminah. Mungkin sayur kesukaan. Mungkin kuih tradisi. Apabila bersarapan di
kedai Haji Abas tidak lupa membelikan Hajjah Aminah sekeping atau dua keping
roti canai. Dibawa pulang bersama dengan kuah kari. Lazimnya orang lain suka
makan roti canai bersama kacang dal tetapi Haji Abas memakannya bersama dengan
kari. Apabila Hajjah Aminah tidak sedap badan, Haji Abas melayan seperti jururawat. Menghidang makanan dan minuman supaya Hajjah Aminah menambah tenaga dan kekuatan. Di rumah anak-anak biasa dilihat Haji Abas mengupas buah untuk dihidangkan kepada Hajjah Aminah. Dia maklum isterinya tidak mudah bergeraknya. Selalu Haji Abas bertanya kepada anak-anak sama ada Hajjah Aminah sudah makan atau belum. Sudah solat atau belum. Keperihatinan Haji Abas terhadap Hajjah Aminah tidak berubah dari muda hingga lanjut usia. Alangkah indahnya, cinta bersemi yang abadi merentas usia yang tidak pernah dibilang dengan angka. Usia menjadi tidak signifikan kepada Haji Abas.
Alhamdulillah Haji Abas masih lagi berselera untuk makan dan minum. Baik di rumah mahupun di kedai. Mungkin kerana Hajjah Aminah banyak di rumah maka seleranya tidak seberapa. Makannya sangat sedikit. Minumnya sahaja yang agak banyak. Itupun disekat-sekat kerana terlalu banyak minum banyak pula mengulang ke bilik air. Keuzurannya membataskan pergerakan. Apabila di rumah anak-anak lain pula tingkahnya. Makannya lebih enak dan berselera. Mungkin dia perlukan perubahan suasana. Perubahan persekitaran. Sesekali berada dalam lingkungan yang berbeza menimbulkan selera baru. Membangkitkan keinginan untuk makan dan minum. Begitu juga apabila makan di kedai atau di restoran. Hajjah Aminah berupaya makan dengan lebih banyak melebihi kadar biasa. Hanya apabila di rumah sahaja seleranya terbatas. Keletihan dalam keuzurannya mungkin menjadi penyebab. Lagipun ubat yang dimakan mungkin sudah mengenyangkan kerana terlalu banyak jenisnya. Setiap orang ada rezekinya masing-masing. Yang sihat berbahagia dalam sihatnya. Yang diberi penyakit masih juga berbahagia kerana masih menikmati banyak anugerah Allah di sekeliling kehidupan. Walau apapun Haji Abas dan Hajjah Aminah meneruskan kehidupan usia lanjut mereka dengan redha. Menghadapi hari esok dengan penuh keberadaan bersama. Mudah-mudahan Allah memberikan yang tebaik untuk mereka berdua. InsyaAllah.
Alhamdulillah Haji Abas masih lagi berselera untuk makan dan minum. Baik di rumah mahupun di kedai. Mungkin kerana Hajjah Aminah banyak di rumah maka seleranya tidak seberapa. Makannya sangat sedikit. Minumnya sahaja yang agak banyak. Itupun disekat-sekat kerana terlalu banyak minum banyak pula mengulang ke bilik air. Keuzurannya membataskan pergerakan. Apabila di rumah anak-anak lain pula tingkahnya. Makannya lebih enak dan berselera. Mungkin dia perlukan perubahan suasana. Perubahan persekitaran. Sesekali berada dalam lingkungan yang berbeza menimbulkan selera baru. Membangkitkan keinginan untuk makan dan minum. Begitu juga apabila makan di kedai atau di restoran. Hajjah Aminah berupaya makan dengan lebih banyak melebihi kadar biasa. Hanya apabila di rumah sahaja seleranya terbatas. Keletihan dalam keuzurannya mungkin menjadi penyebab. Lagipun ubat yang dimakan mungkin sudah mengenyangkan kerana terlalu banyak jenisnya. Setiap orang ada rezekinya masing-masing. Yang sihat berbahagia dalam sihatnya. Yang diberi penyakit masih juga berbahagia kerana masih menikmati banyak anugerah Allah di sekeliling kehidupan. Walau apapun Haji Abas dan Hajjah Aminah meneruskan kehidupan usia lanjut mereka dengan redha. Menghadapi hari esok dengan penuh keberadaan bersama. Mudah-mudahan Allah memberikan yang tebaik untuk mereka berdua. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment