![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgbE4Ruf1Um6AIZuGR3YQuNLljVeS1o9mWSobPBHIx2jeIKwtHEebHyzc3rkNBJGLqu-UM80oBwot1DPL7uhit76ZjmTjH3VJaSVVo78j4PxLGWn6DqEUFi0IKzaCndkBMzM48FzpxmBgop/s400/Picture+098.jpg)
Pasar mingguan pada hari Sabtu di Pekan Parit Sulung.
Seorang yang seusia Haji Abas Allah kurniakan dengan
kesihatan dan keafiatan yang baik. Alhamdulillah. Tidak banyak rahsia yang
diamalkannya selain dari menjaga waktu. Maksudnya menjaga waktu tidur, waktu
makan dan waktu bersantai. Antara yang paling ketara ialah disiplin makan. Setiap
pagi Haji Abas pasti memakan dua biji telur separuh masak. Minuman paling menjadi
kegemarannya ialah teh susu semanis-manisnya. Rasanya setiap pagi dia makan
telur rebus. Hajjah Aminah menjadi pakar tentang memasak telur separuh masak. Bertahun-tahun
dilakukannya. Selepas menyapu halaman rumah dan mengemas keadaan di luar rumah seperlunya
Haji Abas masuk ke rumah bersiap-siap untuk sarapan pagi. Yang ini dikira
sarapan peringkat pertama. Sarapan peringkat kedua memakan roti canai di kedai
makan Latif. Sarapan peringkat pertama waktunya seawal pagi. Dia jaga sebelum solat
Subuh. Kerana itu ia memulakan sarapan peringkat pertamanya seawal pagi.
![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjtY9cyhAZ39Lt-UjiGFb-Q-WAOZlcH1dbJqkBEmwJIqEFm-QUk1u2tzEv_pkcqPXcnfNdqqbaLfKR70L2buSXnZnc6zTQYvVFkEJZu65WjUe-NDulj8MeEcQP6pdd8e2cG4AoWsWksmwWp/s400/Picture+097.jpg)
Mereka yang tinggal di kampung-kampung di persekitarannya datang ke pasar mingguan ini.
Untuk memakan telur separuh masak Haji Abas melakukannya
dengan disiplin yang sangat tinggi. Meja dialas serapinya. Mungkin kain atau
kertas akhbar lama. Bersedia supaya meja tidak dikotori makanan atau minuman. Mangkuk
atau pinggan kecil disediakan bersama pisau dan sudu. Begitu juga kicap. Selalunya
kicap manis. Dia duduk menyediakan diri. Fokusnya tinggi juga. Telur yang sudah
suam-suam dipegang di tangan kiri. Tangan kanannya menggergaji telur dengan
pisau. Kita biasanya memecahkan telur dengan menggunakan camca tetapi Haji Abas
menggunakan pisau. Jika diketuk dengan camca telur akan retak atau hancur di
bahagian yang diketuk. Pisau yang Haji Abas gunakan menjadikan telur terbelah
dua dengan cantik. Rata sebelah menyebelah. Kesemuanya dilakukan dengan penuh
kesabaran. Mungkin ada falsafah di situ. Sesuatu itu perlu dilakukan dengan
penuh disiplin. Penuh kesabaran. Fokus diri yang berupa dedikasi. Masa adalah
faktor kepada kita. Tetapi tidak bagi Haji Abas. Sesuatu yang dilakukannya perlu
konsentrasi yang tinggi.
![](https://irs1.4sqi.net/img/general/width960/MLOJGDMFBRNUTISTQY3ESX4SGR5G5M5I3SBMUGDHVHBH30BX.jpg)
Nasi lemak berlaukkan ayam goreng. Menyelerakan.
Camca kecil digunakan untuk mengeluarkan kesemua saki
baki telur yang terlekat pada cengkerangnya. Perlahan-lahan dengan sabar. Dititiskan
kicap secukup rasa. Digaul dengan perlahan. Penuh dengan kecermatan dan kasih
sayang. Seolah-olahnya makanan itu terlalu bernilai tinggi. Tiada tolok
bandingnya. Setelah itu dimakannya telur itu secamca demi secamca. Camca kecil
dan bukan camca besar. Lambat, perlahan tetapi penuh kesabaran. Tidak pernah
telur separuh masak itu dihirupnya. Penulis kira mereka yang pernah mengikuti
kursus etiket di meja makan pasti memahami kesabaran yang perlu sewaktu
berhadapan dengan hidangan dan juadah. Ianya gambaran tingkah laku atau akhlak
lahiriah dan batiniah. Terpamer disiplin diri. Kesabaran yang perlu. Menghormati
makanan dan meraikannya. Tenang dalam keadaan yang kadang-kadang bagi orang
lain merumitkan sahaja. Tidak bagi Haji Abas. Dia memilih untuk kebaikan
dirinya.
Bekalan telur tidak pernah terputus di rumah Haji
Abas. Apabila ke rumah anak-anak dia tidak bersuara meminta itu dan ini tetapi
di rumah anak-anak yang menyediakan telur separuh masak dia akan lebih serasi. Baginya
makanan adalah sesuatu yang tidak boleh sebarangan. Bagitulah kepada anak-anak,
kadang-kadang yang menggembirakan ibu dan bapa bukan wang ringgit. Bukan harta
menimbun. Cukup dengan dua biji telur separuh masak. Tambah dengan teh susu. Tidak
sampai seperti makan di hotel lima bintang. Cukup sekadar seringgit atau dua
ringgit. Yang penting waktu hidangan seawal mungkin. Telurnya cukup separuh
masak. Peralatan yang diperlukan tersedia. Kicap perlu ada. Dia berbahagia
dalam seusianya menikmati sesuatu yang pada kita bukan signifikan. Bukan besar
dan bukan mahal. Bagi cucu dan cicit iktibar itulah yang perlu diambil. Meraikan
mereka yang tua bukan semestinya mahal dan sukar. Disiplin yang perlu dijaga.
Satu lagi disiplin tinggi Haji Abas ialah penyediaan
makanan atau minuman yang perlu segera. Maksudnya dalam jangka waktu yang
menasabah. Jika air panas jangka waktunya ialah menjerang air hingga mendidih. Jika
minuman sejuk atau berais selewat-lewatnya 15 hingga 20 minit. Dia gelisah jika
lewat dari itu. Apatah lagi jika waktu menunggu melewati sejam umpamanya. Ianya
bertentangan dengan prinsip dan disiplin dirinya. Apabila ada tetamu datang ke
rumah dia akan bingkas bangun untuk bersedia dengan apa sahaja. Walaupun yang
datang adalah anaknya sendiri. Jika tiada makanan yang sesuai di dapur atau di
rumah dia pasti ke kedai makan berhampiran untuk membeli makanan. Mungkin beehun
sup atau mee goreng. Caranya menghormati tetamu tidak kira siapa mereka. Apa sahaja
makanan yang ada cuba dihidangkan. Mungkin buah-buahan dari peti ais.
Pada hari Sabtu umpamanya Haji Abas membeli banyak
kuih-muih dari pasar mingguan Pekan Parit Sulung. Dibelinya juga sayur-mayur
dan bahan makanan yang digemarinya. Antaranya nangka muda, pucuk manis dan pucuk
paku perak. Lazimnya ada tetamu yang singgah ke rumahnya setelah mereka
bertandang ke pasar mingguan tersebut. Jika datang pagi dijamu dengan kuih. Jika
tengahari dijamu makan nasi. Makan apa-apa sahaja hidangan yang telah tersedia.
Mungkin ikan masin dan sambal belacan. Mungkin gulai pucuk manis atau gulai
nangka. Mungkin ada ayam goreng atau masak kicap. Yang penting tetamu diberi
minum dan makan secukupnya. Mereka balik dengan riang. Yang lebih penting hati
Haji Abas lebih riang kerana dapat meraikan tetamunya.
Dalam usianya yang sebegitu tentu terasa janggal. Yang
terlalu tua terpaksa bersusah payah menyediakan juadah untuk tetamunya. Kadang-kadang
kita perlu berfikir selangkah atau dua langkah di hadapan. Apabila ke rumahnya
bawalah makanan sendiri untuk menjamunya sekali. Untuk kita yang datang dan
untuk Haji Abas dan Hajjah Aminah. Kaji minat dan seleranya. Ada makanan yang
menjadi kegemarannya. Mungkin makanan yang untuk segera dimakan. Mungkin buah
tangan yang boleh dimakan kemudian. Meraikan yang tua adalah suatu rahmat. Sementara
dia masih ada. Masih dapat ditatap. Masih dapat disentuh. Masih dapat disapa
dan berbicara. Masih dapat diminta doanya. Bukankah memandang mereka pahalanya seperti
memandang kaabah. Kerap menjenguknya banyaklah pahalanya. Lama bersamanya
banyaklah pahalanya. Menggembirakannya tentu lebih-lebih lagi ganjarannya. Sesungguhnya
redha Allah bergantung kepada redha ibu
dan bapa. Redha mereka yang lebih tua. Mudah-mudahan Allah memudahkan
segala-galanya untuk Haji Abas dan Hajjah Aminah.
No comments:
Post a Comment