Aur dan buluh. Bertaut dengan tanah yang
dicengkam membiak rumpun. Mengukuh tebing dari runtuh. Rebungnya untuk dimakan.
Enak, rangup dan sedikit manis. Buluhnya pelbagai guna. Dari bakul keranjang
yang tiada rupa menjadi produk hiasan yang sangat tinggi nilainya. Di negara
yang banyak buluh, rumah dan perabot ada yang dihasilkan dari buluh. Hasilnya
sangat indah. Dari negara Cina umpamanya banyak perkakas memasak yang dibuat
dari buluh. Dijual di serata dunia. Di semua benua. Harganya tidak mahalpun. Penulis
kira di semua negara Arab ada barangan dari buluh di setiap rumah. Cina dan
Jepun telah lama mengkomersilkan buluh mereka sama ada dalam negara atau untuk
eksport. Mendapat tukaran wang asing yang menambah Keluaran Dalam Negara
mereka.
Tiada siapa boleh menafikan bahawa buluh
banyak gunanya. Hutan buluh seperti di Jepun menjadi hidangan untuk tatapan
pelancong. Kebetulan buluh di negara seperti Jepun teratur tumbuhnya. Teratur rumpunnya.
Hutan buluh menjadi sesuatu yang menarik untuk dilihat. Penulis tidak pasti
sama ada anak-anak kita mengetahui atau tidak bahawa anak buluh namanya rebung.
Ada namanya yang tersendiri. Istilah yang sudah berzaman. Ramai antara kita yang
memakan sayur dari rebung. Gulai, kari, tumis atau masak campur dengan ikan
kering umpamanya. Rebung hidup tidak lagi ramai orang yang melihatnya. Kita di
Malaysia tidak melihat buluh sebagai tumbuhan yang komersil. Yang tinggi
nilainya. Apatah lagi rebungnya. Langsung tidak masuk dalam pemikiran kita. Rasanya
jika anak-anak kita menemui rumpun buluh, ada yang tidak mengenalinya. Apatah lagi
rebungnya yang tidak ada rupa.
Rebung muda yang enak bukan seperti buah.
Bukan cantik. Tidak bersih. Kuasa Allah rebung diselaputi kelopak yang penuh
dengan miangnya. Gatal terkena kulit. Bak kata orang dahulu orang yang kayap
memikul buluh. Gatal miang dan gatal kayap tiada bezanya apabila terkena peluh.
Anak buluh yang bukan rebung sudah tidak
boleh dibuat makanan. Sudah keras. Mungkin boleh dilentur sebaik mungkin untuk
membentuk apa sahaja lingkaran yang dihajat. Membesarlah ia menjadi buluh. Juga
dinamakan bambu. Banyaklah gunanya dalam berbagai-bagai. Penulis bercerita tentang
buluh kerana ada rebungnya. Rebung pula selalu dikaitkan kepada anak-anak. Maka
melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Bukan buluh tidak boleh dilentur. Boleh.
Tetapi prosesnya dengan teknologi. Lebih mahal kosnya. Bagi orang luar bandar
buluh dilentur menggunakan haba api. Lama, payah dan merumitkan. Tiada standard
yang tertentu. Hanya berpandukan pengalaman lama yang terhimpun melalui usia.
Anak-anak yang sudah besar tentulah
sudah menjadi buluh. Lebih sukar membentuk peribadinya. Jatidirinya. Akhlaknya.
Jika kebiasaan yang baik tidak dibentuk semasa rebungnya maka ibu dan bapa
menghadapi kesukaran untuk membetulkan keadaan. Malang jika anak itu diharapkan
kepada guru-guru untuk membentuknya. Guru berpandukan kepada standard nasional.
Mungkin sesuai atau mungkin tidak sesuai. Maaf, mereka yang islamik berbeza
dengan mereka yang sekular. Maka guru memenuhi keperluan nasional bukan
keperluan keluarga per se. Kerana itu tujuh tahun yang pertama, seseorang anak
adalah tanggungjawab ibu dan bapa. Anak-anak yang seperti kain putih itu
bentuklah selayaknya mengikut acuan ibu dan bapa. Sebagai Muslimin anak-anak
kita hendaklah dibentuk mengikut acuan Islam. Mantapkan dahulu di rumah. Dalam keluarga.
Sebelum anak itu melangkah keluar dan masuk dalam dunia pendidikan secara
formal dirinya seharusnya sudah dilengkapkan dengan pertahanan diri dalam
bentuk agama, budaya ada aspirasi keluarga.
Anak-anak kecil dan agama bukan suatu
impian. Ianya suatu kewajipan. Ibu dan bapa yang mengasaskannya. Bukan orang
lain. Guru hanya menambah dan memurnikannya jika ibu bapa bukan dari kalangan
mereka yang mengerti selok belok agama. Solat, puasa adan akhlak islamiyyah
sewajarnya sudah tertanam dalam diri anak-anak. Sebelum mereka keluar dari
rumah. Sebelum ke sekolah. Seperti rebung, anak-anak boleh dipelbagaikan. Terpulang
kepada ibu dan bapa. Apa hendak dijadikan anak itu apabila dewasanya. Guru hanya
memberi input akademik. Bukan guru yang menentukan bentuk masa hadapan
anak-anak itu. Ibu dan bapa 100%. Mungkin ada sumbangan guru dari segi
akademiknya. Yang lainnya tanggungjawab ibu dan bapa. Kerana itu ibu dan bapa
diperlukan bersedia lebih awal. Sebelum berumatangga perlu mengetahui
tanggungjawab keibubapaan. Kursus p;ra-perkahwinan hanya syarat untuk boleh
nikah. Ianya bukan syarat dan bekal yang cukup untuk menjadi bapa dan ibu mithali.
Banyak yang perlu dipelajari.
Anak-anak mewarisi apa sahaja yang didengar
dari ibu dan bapanya. Yang dilihat. Yang dididik. Antara yang ketara ialah
bahasa yang diungkapkannya. Ajarlah mereka bercakap dengan teratur. Dengan bahasa
yang baik. Tidak meninggi suara. Tidak kasar. Tidak lucah atau mencarut. Tidak bersumpah.
Didik supaya empati dan simpati. Perihatin dengan masalah orang lain. Tanamkan sifat
kasih sayang. Berdisiplin. Mengikut sistem tertentu dalam hidup. Anak-anak adalah
cerminan keluarga. Bagaimana ia dibesarkan begitulah yang dipamerkan kepada
orang lain. Apabila kita melihat seseorang anak kita dapat melihat suatu
lintasan tentang latarbelakang ibu dan bapanya dan bagaimana anak itu
dibesarkan dalam keluarganya. Harus banyak kawalan dalam tingkah laku anak-anak
dari berbagai aspek.
1
Perlakuannya dalam
beribadat. Bersegera, tekun dan istiqamah.
2
Tutur katanya selalu
dipantau kerana di luar sana anak itu terdedah dengan banyak perkara yang
asing. Beri perisai supaya ia memang terdedah tetapi terhalang dari mengamalkan
bahasa yang tidak elok.
3
Jaga tingkahlaku
anak-anak semasa makan. Tidak kira di mana. Sama ada di rumah, di rumah orang,
di restoran atau di khalayak ramai. Antara yang perlu dididik ialah sifat
bersedia berkongsi. Tidak gopoh atau gelojoh. Tidak tamak atau pelahap. Makan dengan
teratur. Banyak kunyah dari hanya menelan.
4
Anak-anak perlu
dilengkapkan dengan pakaian yang bersesuaian dengan suasana. Walau bagaimanapun
pakaian seharian juga perlu diawasi dari terlalu besar, terlalu ketat, kotor,
koyak atau dipakai secara selekeh. Mereka mempamerkan maruah keluarga.
Antara perkara yang selalu terabai ialah
disiplin mengenai sivik. Tanggungjawab dalam keluarga. Waktu-waktu sepatutnya membantu.
Bekerjasama dengan adik beradik yang lain. Berkongsi kegembiraan dan kesusahan.
Dididik mendahulukan orang lain. Tidak mementingkan diri. Tidak membolot apa
yang ada. Jadual adalah penting dalam sesuatu perlaksaan disiplin diri.
1
Disiplin makan yang
berjadual. Pastikan mereka mematuhi jadual itu. Jadual makan adalah
menjadualkan sistem tubuh badan. Tanpa disiplin tubuh badan juga tidak terkawal
keadaannya. Sistem penghadaman tidak diberi rehat yang mencukupi. Membebankan.
2
Disiplin belajar yang
berjadual lebih ketat. Dipatuhi setiap masa. Tidak boleh terganggu dengan TV,
permainan dalam komputer riba, permainan dalam telefon. Ada masa membaca buku
cerita. Ada masa membaca buku teks. Latihan kerja rumah. Menulis. Mengarang. Melukis.
3
Disiplin bermain. Bukan
sepanjang waktu. Ada peraturannya yang perlu dijadual dan dikawal. Masanya. Tempoh
masanya. Teman sepermainannya. Tempatnya. Permainannya.
4
Disiplin membuat
kerja-kerja di rumah. Menyapu. Membasuh. Membuang sampah. Membasuh rumah. Mengemop
lantai. Berkemas. Menggosok pakaian. Mengemas katil. Menyidai pakaian. Melipat pakaian.
Menyusun pakaian dalam almari.
5
Peka dengan kawalan
pembaziran. Mempastikan pili air ditutup setelah digunakan. Matikan kipas dan
penghawa dingin apabila meninggalkan bilik dan ruang. Mematikan lampu jika tidak
diperlukan.
6
Berkemas setiap waktu. Sampah
mesti dibakulsampahkan. Tidak dibuang merata-rata tanpa kawalan.
7
Peka dengan persediaan
hendak ke sekolah. Mengemas beg sebelum tidur. Menyediakan pakaian untuk hari
esok. Menyiapkan kerja rumah. Menyimpan wang saku. Menyempurnakan pesan guru.
8
Kebersihan dalam dan
luar rumah menjadi tanggungjawab semua. Jumpa sampah pungut. Kotor basuh. Bersepah
kemas.
9
Ajar anak-anak supaya
pandai memasak. Kesemuanya sama ada lelaki atau perempuan. Tanpa kecuali. Ajar dari
yang senang seperti menjerang air, menggoreng telur dan menanak nasi. Semakin meningjkat
usianya ajer mereka memasak yang lebih rumit seperti sambal, kari, gukai lemak
atau membuat acar.
10
Perkakas makan
hendaklah dibasuh dengan betul dan bersih. Ajar mereka sedari awal usianya. Hilangkan
kotor dan hilangkan minyaknya. Cukup sabunnya. Semua anak diajar membasuh periuk,
kuali, pinggan, mangkuk, gelas, sudu, garpu, sudip, senduk dan pisau. Jangan sekali-kali
dilonggokkan dalam singki. Setiap anak diberi tanggungjawab yang sama. Adil. Tanpa
kecuali.
Di bawah ini penulis paparkan berbagai
gambar. Rumpun buluh, pokok buluh, rebung dan berbagai makanan dari rebung. Rebung
menghasilkan banyak makanan yang enak dan menyegarkan. Rebung segar tentu lebih
segar apabila dimasak dan dimakan. Begitulah anak-anak yang sedari kecilnya dididik
dengan betul menjadi seperti rebung yang enak dimakan. Enak dipandang. Enak dipelbagaikan.
Anak itu menghidangkan pendidikan yang sedap di hati apabila dipandang. Sejuk perut
ibu yang mengandung. Apabila dewasa menjadi buluh yang juga banyak gunanya. Banyak
manfaatnya. Peliharalah rebung untuk mendapat bulunya yang besar manfaatnya.
Buluh yang sudah mula dikomersilkan. Perlu diperluaskan ke desa-desa supaya orang luarbandar mempunyai alternatif dari segi pendapatan dan sumber makanan.
Rebung yang tidak seberapa rupanya. Enak dijadikan juadah makanan.
Jika begini banyaknya tebtu mnenghasilkan pendapatan yang lumayan.
Yang ini rebung jeruk.
Kecur air liur.
Makin bertambah kecurnya.
Aduhai. Kerabu rebung. Terangkat jika memakannya.
Kreativirti masing-masing. Boleh dipelbagaikan.
Gulai udang dan rebung.
Sambal rebung.
Anak-anak
yang dari rebung yang tidak seberapa rupanya jika dididik menjadi berbagai
rupanya. Cantik dipandang. Menyejukkan mata. Menyelera untuk dimanfaatkan
khidmatnya apabila dewasa. Semuanya dari rebung. Jangan tunggu mereka menjadi buluh.
No comments:
Post a Comment