Sesuatu pendakian memang sukar secara
relatif. Ada yang mengatakan sekadar sukar. Kepada yang lain sukarnya lebih
sedikit. Bagi kami yang usianya melebihi 60 tahun tidak pernah terbayangkan kesukaran
itu. Selalu hanya melihat orang lain mendaki gunung. Cerita orang lain mendaki
dari gunung ke gunung. Cuma kami ingin kongsikan kepada pembaca sesuatu yang
mungkin baik untuk dipraktikkan.
1
Jangan terlalu memikir
apa yang di hadapan. Kita akan jadi terlalu overconfident atau mungkin menjadi terlalu
takut.
2
Jangan fikirkan tinggi
itu bagaimana. Kita mengetahuinya sebagai ukuran. Itu sahaja.
3
Jangan fikirkan sukar.
Take it step by step. Ketika kita melakukannya itu sahaja yang kita fikirkan.
Bukan kesukaran yang bakal ditempuh. Ianya hanya akan menakutkan. Boleh
menghalang percubaan seterusnya.
4
Tidak ada azab
sebenarnya kerana semua orang mengalaminya dalam berbagai bentuk. Setiap
satunya perlu dilalui mengikut fitrah dan perancangan Allah. Kita hanya hamba
yang perlu banyak bersabar. Melakukannya adalah tanggungjawab kita.
5
Menyaksikan kekuasaan
dan keagunganNya adalah galakan Allah. Dengannya kita menginsafi betapa
kuddusnya Allah. Betapa kerdilnya diri kita sebagai manusia. Makhluk
ciptaanNya.
Pendakian tanpa praktis tentulah di luar
jangkaan minda biasa. Mereka yang hobinya mendaki gunung memahami hal ini.
Pendakian memudaratkan tanpa latihan fizikal yang mencukupi. Apa yang kami
suami isteri lakukan benar-benar dengan keyakinan bahawa Allah bersama kami.
Anugerah Allah berada di mana-mana. Yang penting usaha dan tawakkal. Hak Allah
menganugerahkan apa sahaja yang sesuai mengikut kehendakNya. Alhamdulillah
Allah makbulkan doa kami berdua. Sebagai manusia kita tidak pula lupa bahawa di
sekeliling kita ramai manusia lain yang membantu. Dengan semangat. Ramai yang
memberikan semangat InsyaAllah. Ada yang mencadangkan boleh naik unta kerana
unta memang disediakan sebagai sewaan bagi yang kudratnya tidak memadai. Dengan
doa dari anak-anak kami sendiri yang berada jauh di tanahair. Dari anak-anak
Johor yang bersama kami. Dengan pertanyaan semangat. Sepanjang pendakian itu
kami sering ditanya. Disapa.
Boleh tuan haji? InsyaAllah.
Boleh pakcik? InsyaAllah.
Boleh ustaz? InsyaAllah.
Apa khabar tuan haji? Alhamdulillah.
Tahan lagi makcik? InsyaAllah.
Boleh makcik? InsyaAllah.
Pakcik dan makcik tahan ya?
Alhamdulillah.
Banyak kali kami berhenti. Kadang-kadang dalam
10 meter kami berhenti. Alhamdulillah setiap kali kami berhenti ada yang turut
berhenti. Terima kasih anak-anak. Anak-anak Johor yang baik-baik belaka. Kadang-kadang
ada ketikanya hanya kami berdua melakukan pendakian. Yang lain sudah di hadapan.
Ramai yang sudah di hadapan. Cuma kami mengetahui ramai lagi yang berada di
belakang. Pada ketika yang lain kami berkumpul semula. Bertemu kumpulan yang di
hadapan. Menanti kumpulan yang di belakang. Mengetahui hal seperti itu sendiri
sudah mengangkat semangat kami. Kami masih belum beralah dengan semangat. Belum
alah dengan usia. Belum alah dengan matlamat. Di mana ada peserta yang
berhenti, kami juga turut berhenti rehat. Peluang berinteraksi. Peluang bersama
dengan keberadaan mereka. Mengambil semangat muda dari mereka.
1
Usia adalah pengalaman.
2
Usia adalah maju yang
ke hadapan.
3
Usia adalah semangat
yang tertanam.
4
Ada masanya usia
menifestasikan potensi diri yang tidak pernah digilap.
5
Usia rupanya bukan
penghalang menempuh kesukaran dan meraih kejayaan.
Checkpoint kedua terakhir
merupakan hentian yang meriah. Kebanyakan peserta berada di situ. Agak lama juga
berehat. Ramai juga yang menyatakan rasa letih yang teramat sangat. Mengantuk
mula menyerang. Jika membaringkan badan pasti tidur hingga esok pagi. Kata
mereka kira- kira 40 minit lagi akan sampai di puncak. Isteri penulis
menceritakan betapa banyak doanya ketika itu. 40 minit lagi. Semoga kami dan
anak-anak yang bersama kami semua selamat samai di puncak. Berkobar-kobar
sungguh semangat kami. Sejak dari bawah kami pandang keliling. Puncak-puncak
bukit di sekeliling masih jauh tinggi di atas. Pada masa yang lain
puncak-puncak itu sudah separas pendakian kami. Apabila paras kami sudah
melepasi puncak-puncak bukit yang di sekeliling, kami insaf bahawa kami sudah
mendaki agak tinggi. Sudah sampai ke point of no return. Ketika di situ belum
terbayang lagi tangga-tangga curam yang akan didaki di peringkat terakhir. Yang
dikatakan paling mencabar. Setiap kali kami merasakan kesukaran kami
terkenangkan kesukaran lain yang selalu diulang-ulang sebagai keinsafan
beragama. Memandang sekeliling terlihat gaung yang curam. Mula lebih
berhati-hati melangkah ke atas. 40 minit yang terakhir inilah cabarannya terlalu
tinggi. Bunyinya memang 40 tetapi ukuran kesukarannya seperti infiniti bagi
kami yang sudah berusia.
1
Nabi Musa a.s.
mendakinya tanpa sebarang kemudahan. Pertolongan Allah yang penting. Serahkan
kepadaNya segala urusan. Itu belum sukarnya Nabi Musa membawa kaumnya
menyeberangi Laut Merah.
2
Rasulallah s.a.w.
berhijrah ke Madinah dalam panas terik gurun pasir yang suhunya hampir mencacah
50°C.
3
Bagaimana Nabi Yunos a.s.
berada dalam ikan besar yang menelannya.
4
Bagaimana Nabi Nuh a.s.
berhadapan dengan banjir besar. Dengan ombak yang setinggi gunung. Yang
menghapuskan seluruh kaumnya.
5
Tidak juga lupa
sukarnya Asma’ bintu Abi Bakar mendaki ke Gua Thur menghantar makanan kepada
Rasulallah dan ayahandanya Abu Bakar. Sedangkan ketika itu umurnya baru
kira-kira 13 tahun.
Peristiwa-peristiwa dalam sejarah Islam
itu menusuk jiwa kami. Apalah kesukaran yang kami hadapi berbanding kesukaran
para anbia. Khususnya anbia dalam golongan Ulul ‘Azmi. Memang kami merasai
kesukaran yang amat sangat. Apabila berhenti kami pegang kaki kami.
Alhamdulillah masih yang sama. Lutut kami Allah izinkan masih di tampatnya.
Kami sentuh peha. Alhamdulillah masih normal ototnya. Kami amat-amat bersyukur
Allah memberikan kami kekuatan yang luar biasa. Mungkin di luar pemikiran
biasa. Perjalanan langkah demi langkah itu rupanya membawa kami ke puncak juga.
Bersama dengan anak-anak muda yang bersama dambaannya. Ingin sampai di puncak
yang dicita. KeranaMu Allah.
Checkpoint yang terakhir kami
berhenti lagi. Ramai yang berhenti di situ. Mengumpul kekuatan terakhir. Kami
pandang anak-anak tangga yang teratur ke atas. Anak-anak tangga itu bukan
seperti tangga rumah yang licin dan teratur jaraknya. Apabila mula bergerak,
anak-anak muda tentulah deras langkahnya. Kami mengira tenaga yang masih ada.
Yang perlu ditambah untuk pecutan terakhir. Ketika itu masih tidak kelihatan
lagi puncak Bukit Tursina. Yang pastinya anak-anak tangga yang kami lihat
kecerunannya semakin tajam. Ya Allah, izinkan kami ke puncaknya. Izinkan kami
merasai nikmat yang kau limpahkan kepada kekasihMu Nabi Musa a.s.
Berehat di checkpoint kedua terakhir. Penat sudah tidak boleh dikira lagi.
Di belakang isteri penulis adalah laluan untuk ke puncak.
Peserta lelaki yang gagah-gagahpun perlu berehat juga. Tidak semua yang gagahnya tanpa batas.
gagah tidak segagah mana pun pak cik tetapi saya bersyukur atas hadrat illahi kerana sampai juga kepuncak tersebut....melihat akan usia pakcik yg melebihi drpd separu abad terasa sungguh tercabar :D
ReplyDeleteAlhamdulillah Allah mengizinkannya.
ReplyDelete