Agama disimpulkan dalam tiga aspek.
Aqidah, ibadah dan akhlaq. Harapan semua ibu bapa Islam ialah anak-anak mereka
menjadi yang terbaik dalam agama. Anak-anak yang soleh dan solehah. Yang
hidupnya beramal jariah. Yang mendokan kedua ibu dan bapanya yang sudah berada
di alam barzah. Yang menyampaikan ilmu kepada orang lain. Akhlaqnya seperti Rasulallah.
Seperti al-Quran berjalan. Semua hal agama dijaga. Yang diperintahkan Allah
dilaksanakan dengan penuh ihsan. Yang dilarang dijauhi sejauh-jauhnya. Mengajak
kepada kebaikan dan menegah kemungkaran
yang berlaku di sekelilingnya. Juga berusaha mencegahnya. Tidak ada yang
terbina dalam diri kita sejak dari dilahirkan. Semuanya perlu dibina asasnya.
Maka anak-anak adalah acuan yang bentuknya disajikan ibu bapa untuk
melestarikan agamanya. Ditentukan sejak dari bermulanya hidup berkeluarga.
Sebelum janin terjadi. Sebelum rahim ibu berisi. Sebelum anak dilahirkan. Set
acuan insan terbaik sudah digariskan sejak dari awal. Dicari dan digali dari
banyak sumber. Dirujuk alim dan ulamak yang memahami jalan agama.
Pembinaan berkeluarga bermula dari
pemilihan pasangan masing-masing. Ibu dan bapa yang sah taraf adalah asas yang
tidak ada tolok bandingnya. Dihias dengan rupa paras. Harta benda kekayaan.
Dibalut dengan agama yang ampuh. Disulam dengan agama yang indah. Pegangan
aqidah yang sangat kukuh. Hal-hal sebegini semakin sukar kerana di negara kita
anak-anak yang tidak sah taraf semakin ramai. Memilih adalah suatu proses yang
perlu teliti. Itu belum cerita mengenai pendidikan agama mereka. Pendidikan
akademik mereka. Itu belum amalan baik mereka. Itu belum adab mereka. Itu belum
keperihatinan dan kepekaan mereka. Sifat empati mereka. Sifat bertanggungjawab
mereka. Dalam diri ibu dan bapa sewajarnya ada banyak sifat-sifat baik kerana
sifat-sifat itulah yang akan diperturunkan kepada anak-anak. Keluarga bukan
sekadar bernikah kahwin. Dalam minda ibu bapa tentulah masa hadapan anak-anak.
Pendidikan agama tidak bermakna hanya
sekolah agama. Bukan sekolah sahaja yang meletakkan anak-anak supaya beragama.
Sejak anak-anak berada dalam kandungan lagi, anak-anak dididik dengan agama.
Bibir ibu dan bapa tidak kering dengan doa.
Dengan bacaan al-Quran. Dengan nasihat yang membina. Dengan ungkapan
yang baik-baik. Anak-anak dalam kandungan mendengar. Belajar dari apa yang
didengar. Yang sampai melalui derianya. Melalui nalurinya. Perasaannya dekat
dengan ibunya. Sembilan bulan sepuluh hari yang panjang itu perlu diisi dengan
suntingan agama. Dengan kuntum-kuntum kebaikan. Dengan semerbak wangian agama.
Janin akan membesar dengan kerinduan yang amat sangat terhadap agamanya. Agama
yang dijanjikan Allah sejak dari alam roh lagi. Lahir sahaja seseorang anak
diperdengarkan azan dan iqamahnya. Didoakan kesejahteraannya. Mulalah ia diasuh
dengan Islam. Zahir dan batinnya.
Kewajipan ibu bapa untuk mengenepikan
pendidikan yang berbaur dengan yang lagha. Yang menjauhkan anak-anak dari dekat
dengan agama. Supaya jalan hidupnya selari dengan agama. Tidak ada orang lain
yang lebih arif tentang anak mereka selain dari ibu dan bapa. Acuannya ada pada
mereka. Apabila sedari kecil anak-anak sudah terdidik dengan mendedah aurat
maka sukarlah untuk membawa mereka ke jalan yang lebih baik. Mereka terdidik ke
arah yang salah sejak dari awal lagi. Sudah tersasar sejak awal. Sukar untuk
diungkapkan. Pedidikan kita di sekolah banyak yang lari dari syarie. Selain
dari bercampur gender, muzik, nyanyian, tarian dan hiburan dipupuk kepada
pelajar. Kita tidak menafikan ajaran agama dari ustaz dan ustazah. Cuma
perlaksanaan melahirkan insan Muslim berakhlak mulia tidak diselarikan. Tidak
diintegrasikan. Tidak disegerakkan. Bilik darjah dilihat berasingan dengan
dunia realiti di luar. Fungsi sosial bahawa sekolah merealisasikan aspirasi
masyarakat seperti bercapah tidak menentu arah.
Banyak amalan agama bermula dari yang
asas. Yang mudah. Yang semua orang boleh melakukannya dengan sempurna. Kerana
itu perlu ada latihan untuk menjaga hubungan dengan Allah dan RasulNya.
Turutannya ke bawah kepada kedua ibu dan bapa, orang tua yang berpengalaman dan
kepada guru. Sekarang ini hubungan itu tidak dijaga. Hubungan dengan Allah
mungkin urusan individu. Tetapi hubungan pelajar dengan guru semakin parah. Cerita
pelajar mendendami guru sangat banyak. Yang mencalar dan membuang angin kereta
guru juga ramai. Yang mengingkari arahan atau larangan guru lagilah berjela
panjangnya. Masyarakat di luar sana kecundang dengan perubahan keadaan.
Persekitaran untuk menghormati guru sudah terlalu terhakis dan pudar. Mana
mungkin pelajar yang tersandar di tempat duduk
belakang kereta Mercedez menghormati gurunya yang hanya menunggang
motorsikal berkuasa rendah dan buruk. Bunyinya sahaja bising. Tetapi jika anak
itu dididik dengan akhlaq yang baik tentu itu bukan pemisah antara status
sosial keluarganya dan status gurunya. Bukan modal untuk tidak menghormati
gurunya. Atau modal untuk menghina orang lain.
Alangkah indahanya anak-anak yang
menjadi hafiz dan hafizah sejak dari kecil. Mulutnya sentiasa basah dengan ayat
al-Quran. Basah dengan zikir. Basah dengan sebutan nama-nama Allah. Amalan
agama seperti solat sudah tidak perlu dipaksa-paksa. Tahu sendiri apa yang baik
untuk dirinya. Hiburan bukan dalam bentuk aktiviti yang lagha. Sebaliknya dengan
ayat-ayat suci. Suaranya dicantiknya. Bacaannya diindahkan. Agama dan Islam
sentiasa di minda dan hatinya. Yang dikenal bukan nama artis tetapi sahabat
nabi yang dijamin masuk ke syurga. Jihad yang menuntut syahid. Menuntut ilmu
yang bermanfaat. Berbakti kepada masyarakat. Tiada waktu senggang yang sia-sia.
Rehatnya bukan tidur. Lapangnya bukan tidak berbuat apa-apa kerja. Semua
masanya diisi untuk memberi manfaat. Untuk dirinya. Untuk orang-orang di
sekelilingnya.
Tidak ramai ibu bapa yang membimbing anak-anaknya
ke peringkat tinggi. Penulis teringat arwah Ahmad Ammar. Seusia mudanya dibawa
oleh bapanya Tuan Haji Mohamad Azam bersama-sama menghariri berbagai seminar.
Kebanyakan kita tentulah tidak berkeupayaan berbuat begitu. Walau bagaimanapun
ramai antara kita boleh membawa anak-anak mendengar ceramah, seminar, forum
atau tazkirah yang banyak di sekeliling kita. Baik di surau atau di masjid.
Baik di dewan atau di padang. Baik di radio atau di TV. Pendidikan formal disertai
dengan pendidikan non formal. Ditambah pula dengan pendidikan informal.
Membebankan hanya guru sahaja yang memberikan input pendidikan adalah terlalu
tidak adil. Ibu bapa tidak boleh hanya melahirkan anak-anak sahaja. Malangnya
cuti hujung minggu kita habis begitu sahaja. Cuti panjang antara semester juga
berlalu begitu sahaja. Cuti hujung tahun hanya tinggal hari dan minggu. Tidak
ada perancangan ibu bapa untuk memberikan pendidikan non formal atau pendidikan informal
atau kedua-duanya. Dua hari pada hujung minggu tanpa quality time. Cuti antara
semester juga tanpa aktiviti mengeratkan hubungan antara anak dan ibu bapa.
Malang sungguh anak-anak di Malaysia. Nilai tambah pada diri mereka terlalu
kecil.
Gajet semasa sekarang ini membunuh
kemanusiaan. Anak-anak yang dimanjakan dengan teknologi tenggelam dalam
keghairahan meneroka alam maya. Kehadiran orang-orang di sekeliling mereka
tidak memberikan apa-apa warna dan bunga. Tiada wangi dan keindahan. Bersama
tetapi jauh terpisah dalam sunyi bersama teknologi. Pesalah terbesar sekarang ini
ialah telefon bimbit. Peranannya terlalu dicanggihkan hingga manusia hilang
kemanusiaannya. Di rumah mereka terpisah bilik. Di pejabat terpisah meja. Di
luar rumah mereka terpisah dengan ruang dan hijab yang dibina tanpa dilihat
mata. Masing-masing gila bercakap sendiri. Senyum sendiri. Berbual tanpa bicara
dengan orang yang tiada rupa. Amalan memainkan telefon bimbit tanpa had dan batas
adalah suatu malapetaka kepada ummah. Pergaulan mesra semakin hilang. Berbual
semakin jarang. Berinteraksi dengan manusia secara bersemuka semakin seperti
tidak ada.
Makan semeja tanpa bual. Duduk serumah
tanpa bicara. Dalam kenderaan yang sama tetapi tanpa ada interaksi. Dunia
semakin sunyi kepada individu. Mungkin bising di luar tetapi sunyi tanpa ada
tanya dan jawab. Tanpa ada gurau dan senda. Tanpa ada sapa dan tawa. Individualistik
yang bertimpa-timpa. Manusia hidup sendiri-sendiri melayani kegilaan teknologi.
Kesemuanya ini adalah antara yang mengguris perasaan orang-orang terdekat.
Hilang manja dan cerita. Tanya dan khabar berita. Bayangkan ibu bapa datang
dari jauh. Termangu-mangu menunggu bicara. Anak-anak kurang sapanya. Cucu
kurang manjanya. Hilang ceritanya. Tetamu yang ramai tercegat tanpa tanya dan
khabar. Teman-teman menjadi bersendirian kerana masing-masing tidak perlukan
manusia. Mereka lebih perlukan gajet yang berbicara tanpa suara.
Ibu bapa berperanan sebagai guru pertama.
Rumah adalah tempat terbaik segala-galanya bermula. Tempat yang paling kondusif
kepada anak-anak. Di rumah ibu dan bapa menentukan set acuan tentang masa
hadapan anak-anak mereka. Hal ini agak merumitkan kerana kita tidak ada set
sistem yang sistemik. Permasalahan keibubapaan perlu dilihat semula. Ibu bapa
perlu dididik dahulu sebelum adanya proses mendidik anak-anak. Sekolah bukan institusi
yang boleh diabaikan. Menyesal hanya setelah terlambat sepatutnya tidak ada
lagi. Masa tidak boleh diundur semula. Menangisi nasib yang tidak lagi dapat
dibela. Tidak mengapa. Masa hadapan masih ada harapannya. Masih ada peluang
untuk mengubah keadaan. Masa untuk membina ruang baru. Cita-cita baru. Dinamika
baru.
No comments:
Post a Comment