Banjir selalu berlaku. Ia datang lagi. Memang selalu
dijangka bila tiba musim tengkujuh. Ramai orang yang dengan mudah mengatakan
ianya bencana alam. Pernyataan yang selalu keliru. Bila kita kata bencana alam
seolah-olah alam yang mendatangkan bencana. Pada hakikatnya alam adalah
makhluk. Antara makhluk-makhluk Allah seperti kita. Alam tiada kuasa apa-apa.
Yang Maha Berkuasa ialah Allah SWT. Memiliki
kuasa mutlak. Terjadi sesuatu hanya dengan
﴿ﻛﻦﻓﻴﻜﻮﻦ﴾
Maka apabila banjir datang, ia didatangkan oleh
Allah. Terus-terusan mengatakan banjir ialah bencana alam sudah menyentuh Qada’
dan Qadar Allah. Kita menafikan kuasa Allah. Cuba ingat banjir besar Nabi Nuh
as. Banjir yang menenggelamkan gunung-gunung yang tinggi. Masih ada manusia
ketika itu yang menafikan kuasa Allah. Mereka masih menyangka yang gunung boleh
menyelamatkan mereka. Mereka lupa bahawa yang menyelamatkan mereka hanya Allah.
Tiada yang lain melainkan Allah.
Banjir adalah suatu ketentuan Allah. Ia pasti datang
kerana kita selalu dirahmati dengan air yang melimpah ruah. Tetapi kita selalu
tidak pasti bila ianya akan datang. Setakat mana besarnya. Setakat mana
kemusnahan yang mungkin berlaku. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Ada dua perkara yang boleh kita maklumi. Banjir Allah
yang datangkan. Tidak ada dalam kekuasaan manusia untuk menolak kehadirannya. Buatlah
apa sahaja. Banjir itu pasti datang kerana ianya dari Allah. Tembok besar dan
tinggi dibina di Fukushima di Jepun. Andaian kejuruteraan yang menafikan kuasa
Allah. Tsunami tidak akan menghempas pantai dan memusnahkan sebuah tamadun.
Kuasa milik Allah. Tembok tidak dapat menghalang tsunami. Saya teringat terowong
SMART di Kuala Lumpur. Diwar-warkan di National Geography sebagai penamat banjir. Sekali lagi kuasa Allah
berlaku. Banjir tetap berlaku. Jangan lupa kuasa Allah.
Banjir di Malaysia berlaku di tempat-tempat yang memang
lazimnya cenderung untuk banjir. Tempat-tempat yang landai. Di tepian sungai. Di
kaki bukit. Di kawasan paya. Budaya kita pula memilih kawasan penempatan yang
cenderung untuk berlaku banjir. Mungkin ada pilihan lain yang boleh mengelakkan
musibah banjir. Kawasan yang sedia tinggi seperti di bukit dan gunung. Atau kawasan
yang ditambak tinggi. Ini pilihan yang ada. Mungkin kita berpeluang membuat
pilihan itu dengan izin Allah. Selain daripada itu ada aspek lain yang perlu
diurus. Ada tempat-tempat yang salirannya tidak terurus. Walaupun saban tahun
terjadi banjir, saliran itu kekal dirancang untuk diurus. Bila banjir berlaku
maka ada cakap-cakap ianya dirancang lagi. Bertahun-tahun yang berulang-ulang
salirannya kekal dirancang. Mungkin secara ekstrimnya paksa orang yang
merancang tinggal di kawasan yang selalu banjir. Biar dia rasakan setiap tahun
menghadapi musibah banjir. Pengalaman peribadi boleh mengejutkan urat sarafnya
yang selalu kendur.
Banjir adalah kejadian yang berulang-ulang. Di mana
sahaja yang Allah kehendaki, berlakulah banjir itu. Ia tiada kena mengena
dengan politik. Tiada kena mengena dengan mana-mana parti. Tiada kena mengena
dengan negara-negara terpilih. Tidak mengira status sosial penduduknya. Pengalaman
yang lama seharusnya digunapakai. Tempat banjir sudah dimaklumi. Kekerapannya sudah
dimaklumi. Tempat pemindahan sudah dimaklumi. Cara memindahkan penduduk
terbabit sudah dimaklumi. Keperluan di tempat penempatan mangsa banjir sudah
dimaklumi. Apa lagi yang belum dimaklumi. Mungkin ulasan selanjutnya mencakup
aspek ini. Maknanya apabila banjir berlaku buang semua bentuk perbezaan. Yang menjadi
mangsa perlukan bantuan. Cuba empati. Bukan simpati memanjang tanpa berbuat
sesuatu. Mereka semua cemas. Takut. Hendak menyelamatkan keluarga. Bukan harta
benda. Nyawapun tidak dipandang lagi sekarang ini. Seolah-olahnya masing-masing
menunggu ilham. Ilham itu pula ditepis supaya tidak datang. Malang sungguh
menjadi rakyat marhaen. Jadi timun memanjang. Hatinya luka. Perasaannya lara. Jiwanya
derita. Psikologinya tercalar. Tangan sendiri tiada upaya dan kuasa.
Menangani banjir bukan semestinya hingga sempurna
(perfect). Namun usaha mestilah dijalankan
dalam bentuk mencegah dan merawat.
1. Kita
ada Jabatan Kaji Cuaca. Banyak data yang boleh membantu jangkaan cuaca. Bukan tiba-tiba.
Perubahan cuaca diramalkan dalam beberapa minggu. Beberapa hari. Bukan serta
merta. Maknanya hujan lebat yang mengundang banjir dapat dijangka setakat
teknologi yang diizinkan Allah. Soalnya kenapa tiada makluman. Tiada persediaan.
Tiada aktiviti menyelamat. Pemindahan mangsa banjir boleh dibuat lebih awal. In advance.
Mengapa?
2. Kita
dimaklumkan bahawa semua jenis alat amaran sudah tersedia. Alat amaran tsunami.
Alat amaran banjir. Di mana semua alat ini. Wujud atau tidak. Jika ada,
disenggara atau tidak. Adakah ujian dibuat sebagai langkah berjaga-jaga.
3. Kita
ada media elektronik. Ada milik kerajaan. Ada milik swasta. Ada media sosial. Sekali
lagi mengapa tidak dijadikan alam amaran. Alat penyelamat.
Prasarana elektronik sudah lama tersedia untuk
digunakan untuk berbagai keperluan. Sungai dan taliair masih ditakuk lama. Selepas
banjir pastinya semua orang akan sibuk untuk membersihkan sungai. Membersihkan taliair.
Membersihkan longkang. Membersihkan parit. Kita selalu lupa membersihkan
tindakan. Kesemuanya itu perlukan penyenggaraan berkala. Bukan setelah banjir
berlaku. Bukan pula semasa banjir berlaku. Bukan setahun sekali. Bukan dua kali
setahun. Bajet khusus perlu untuk penyenggaraan empat kali setahun. Sekadar perbandingan
mana lebih penting antara BRIM dengan keselamatan harta benda. Kemusnahan yang
melampaui mungkin 20 kali ganda nilai BRIM. Kemusnahan untuk sebuah keluarga.
Dalam pengurusan kebajikan rakyat sikap politik
perlu positif. Usah selalu fikirkan political mileage. Tidak ke mana perginya. Ramai
rakyat yang berkeupayaan menilai politik di Malaysia. Mereka celik politik. Sebagai
rakyat mereka perlukan perlindungan. Perlukan jaminan kebajikan dari banyak
perkara. Pilihanraya sekali setiap lima tahun sedangkan banjir mungkin melebihi
lima kali selama lima tahun. Maksudnya politik adalah suatu perjuangan lain. Kemanusiaan
adalah perjuangan lain. Itu belum sebut agama. Belum keperluan beragama. Kita memiliki
political
will. Will
power yang tiada. Menjaga kepentingan yang tidak selari dengan
keperluan manusia pada umumnya. Sikap masyarakat juga mungkin menyumbang. Tidak
mengendahkan amaran yang diberi. Bayang-bayang bahaya sudah diberi. Apabila
hujan berterusan dalam kadar yang lebat dan berpanjangan, maka banjir tentu
dijangka. Tinggalkan segera segala kecintaan yang ada di rumah. Selamatkan keluarga.
Menunggu bermakna mengundang bahaya. Banjir datang sengan segera tanpa amaran
panjang. Limpahan air pasti membuak-buak apabila di bahagian hulu sungai sudah
tidak dapat menampung air yang turun dan mendesah lalu. Air tidak ada
jalanraya. Apabila sungai penuh, setiap tebing sungai menjadi laluanya.
Bagaimana mengangkat martabat rakyat semasa banjir. Satu
cerita yang kadang-kadang derita panjang. Dewan sekolah yang terbuka lapang. Tiada
langsung privacy
antara keluarga yang ditimpa malang. Memang mereka tidur lena tetapi terdedah
kepada pemandangan semua orang. Langsung tiada yang menjadi rahsia. Fikirkanlah
suami isteri yang berada di situ. Masih muda kebanyakannya. Setiap masa menjadi
tontonan dan tatapan mereka yang bukan mahram. Darurat? Mungkin tetapi masih
boleh diurus. Boleh ambil iktibar seperti di Thailand atau Jepun. Sediakan khemah
plastik muatan dua atau empat orang. Keadaan menjadi kemas. Tidak bersepah. Setiap
keluarga ada ruang peribadi. Yang lebih penting ialah penyakit berjangkit boleh
dielakkan. Khemah sementara ini boleh digunakan lagi apabila diperlukan pada waktu
lain. Untuk keperluan lain. Untuk aktiviti lain. Apabila diperlukan ianya tersedia.
Jadikan banjir sebagai peristiwa semua orang
menginsafi diri. Musibah yang dikongsi oleh semua rakyat yang diketuai oleh
semua pemimpin yang telah diangkat rakyat. Berhenti sejenak untuk berfikir. Untuk
memberikan yang terbaik kepada rakyat. Rakyat perlukan sedikit dari banyak. Sekejap
dari lama. Kadang-kadang bukan selalu. Jangan palingkan perhatian. Pendanglah yang
hak. Hulurkan hak mereka yang menunggu penuh harap. Jika yang sedikit itupun
tidak dapat menyejukkan hati, apa lagi yang dapat diharap. Berdoalah supaya
musibah banjir ini menjadi pengajaran seumur hidup yang panjang. Mengambil iktibar.
Cubaan dan peringatan dari Allah. Mengingatkan yang terlupa.
No comments:
Post a Comment