Hari raya sudah
semakin rancak. Minggu pertama biasanya minggu yang paling kemelut. Hari Isnin
mungkin ramai yang sudah mula bekerja. Anak-anak mula bersekolah. Namun rumah
terbuka diadakan siang dan malam. Di setengah tempat terutamanya di Negeri
Johor marhaban belum bermula. Seminggu sesudah hari raya baru hendak dimulakan.
Seminggu yang pertama ramai ahli yang pulang ke kampung. Beraya bersama ibu bapa atau keluarga.
Sesudah mereka kembali ke rumah barulah program marhaban diadakan. Setiap malam
untuk kira-kira 10 hingga 15 malam. Jenuh juga dari selepas solat Maghrib
hingga pukul 9.30 malam. Kadang-kadang lebih lewat apabila ada yang berhajat
menyediakan juadah luar biasa banyak dan beratnya. Jemaah tersangkut lama di
rumahnya. Makanan tidak habis-habis dikunyah. Siap dibungkus untuk dibawa
balik.
Mari kita undur
sedikit ke belakang. Amalan kita di Malaysia ialah solat hari raya
kebanyakannya untuk orang lelaki. Sekarang ini sudah ramai juga orang perempuan
yang solat hari raya. Saya ingin kongsikan pengalaman solat hari raya di
Kaherah. Khusuanya di Hayyu Sabiq. Seven District. Bandar Nasr. Nasr City. Solat hari raya
menjadi family
event. Mungkin juga social event yang besarnya sangat besar. Mega.
Keluarga di sini membawa seluruh ahli keluarga mereka untuk bersama-sama solat
di masjid. Tidak kira anak-anak yang kecil. Semuanya dibawa ke masjid.
Barangkali perbezaan mazhab membawa kepada perbezaan. Kita bermazhab Syafiee.
Ketat dengan kehadiran kanak-kanak. Kita pula menterjemahkannya hingga masjid
dikira tidak mesra kanak-kanak. Mereka dihalau ke bahagian belakang. Menjadi
tidak signifikan sebagai jemaah yang bakal menguasai masjid itu pada masa
hadapan. Tidak dilatih untuk bertanggungjawab. Menjadi makmum yang dalam arus
perdana.
Orang perempuan
tidak diwajibkan solat Jumaat. Tetapi di negara Arab ramai wanita warga emas yang
solat jumaat di masjid. Mendengar khutbah. Mengambil pangajaran mingguan.
Kebetulan imam-imam mereka bukan sekadar mengimamkan solat. Yang dilantik
menjadi imam mendalam ilmunya. Khutbahnya santai. Tanpa teks. Namun ayat
al-Quran dan hadith lancar keluarnya. Begitu juga solat hari raya. Khutbahnya
lancar menyentuh hal-hal yang menjadi minat imam. Lazimnya hal-hal yang
berkaitan dengan keperluan semasa masyarakat. Atau peristiwa yang berkaitan.
Solat lima waktu kita jemaahkan di masjid. Dalam istilah Arab semuanya masjid.
Solat Jumaat dilakukan di masjid. Tetapi solat hari raya agak istimewa. Ianya diadakan
di masjid yang besar. Semua orang berhimpun di masjid itu. Dari dalam hingga ke
luar masjid melimpah dengan jemaah. Yang di dalam masjid biasanya lelaki sama
ada dewasa, muda atau kanak-kanak. Yang membawa keluarga solat di luar masjid.
Solat berjemaah
adalah himpunan harian. Solat Jumaat himpunan mingguan. Solat kedua hari raya
adalah himpunan tahunan. Ada setengah tempat solat hari raya diadakan di padang
yang luas. Seberapa ramai jemaah ditampung di situ. Pada pagi yang hening.
Sinaran cahaya matahari pagi yang penuh tenaga. Seluruh keluarga berhimpun di
situ. Menikmati hari kemenangan untuk seluruh umat manusia. Kita kongsikan
dengan mereka yang bukan Islam. Mereka melihat dengan jelas besarnya himpunan
orang Islam yang satu. Segala-galanya untuk yang Esa. Kita bersatu dalam solat
sebagai lambang kesatuan itu. Selepas solat kita berpelukan antara saudara dan
sahabat handai. Bersalam-salaman. Nampak kemeriahan yang terpancar kerana
merayakan hari kemenagan. Kemenangan mengekang nafsu. Mengekang perasaan.
Mendidik fizikal dan jiwa supaya biasa dengan yang sedikit. Yang ala kadar.
Yang perlu sahaja.
Pendidikan itu
sebenarnya berjaya kerana ramai yang berjaya walaupun mungkin bukan fizikalnya.
Namun apabila kita semak diri kita ramai yang longgar pakaiannya selepas
sebulan berpuasa. Selepas menahan lapar dan dahaga. Maknanya kita kawal fizikal
kita melalui kawalan minda dan perasaan. Iman, niat, latihan dan kebiasaan
menjadikan kita alah bisa tegal biasa. Mereka yang tidak berpuasa tidak dapat
membayangkan lapar yang ditanggung. Dahaga yang dirasa. Orang bukan Islam
mungkin bertanya, dont’t you feel hungry and thirsty. Tidak lapar dan
dagahakah? Jawablah dengan tenang. Memanglah lapar dan dahaga. Tetapi iman dan
minda kita menjadikan kita boleh bertahan setiap hari selama sebulan. Pada
hakikatnya mereka yang berpuasa tidakpun memikirkan sangat hal lapar dan
dahaga. Ada masanya tidak lapar dan tidak dahaga. Bila berbuka, cecah sahaja
kurma di bibir hilang lapar. Seteguk air cukup menghilangkan dahaga.
Sesungguhnya Allah membahagiakan orang yang berpuasa. Kepuasan pada perasaan
dan hati.
Pada hari raya ini
marilah kita didik anak-anak kita supaya:
1
Cintakan
agama
2
Cintakan
masjid
3
Cintakan
solat
4
Cintakan
umat Islam
5
Cintakan
masyarakat Islam
6
Cintakan
waktu yang bermanfaat
7
Cintakan
kelurga
8
Cintakan
kebaikan
Alangkah indahnya
umat Islam merayakan hari rayanya. Penuh adab dan kemeriahan. Anak-anak dan
seluruh keluarga bersama tanpa kecuali. Hari raya dengan solatnya. Bukan wajib
tetapi suatu tuntutan tahunan. Setahun hanya dua kali. Makan dan minum jadikan
nombor di belakang. Agama didahulukan. Kuih muih lagilah di belakang. Hiasan
juga di belakang. Solat dahulu. Solat yang dihukumkan sunat tetapi jika kita terlepas
tahun ini maka kita perlu menunggu tahun hadapan untuk dapat melakukannya. Tentulah
banyak ruginya. Dalam 354 hari hanya sehari sahaja. Hari yang hanya Allah
menentukannya. Hadiah kepada mereka yang beriman. Yang Islam. Yang berpuasa.
Tanyalah diri kita, besar atau tidak nikmat itu.
No comments:
Post a Comment