Buah aprikot muda
Gugusan anggur segar dari ladang
Montok-montok dan manis
Yang hijau buah zaitun segar. Lazat. Yang kemerah-merahan sejenis aprikot leper. Lebih lazat lagi.
Wow! Isi buah zaitun.
Pokok aprikot di tepi rumah. Kami tinggalkan sebelum masak.
Bergayutan
Aprikot leper
Kecur air liur bila teringat
Yang ini aprikot masam. Adui terus terliur. Makan dengan garam.
Isinya gebu.
Aprikot lain. Manis. Ramai orang beli yang dikeringkan di Madinah dan Makkah.
Memandang sahaja sudah berkenan di hati
Belum merasa belum tahu nikmatnya
Buah zaitun bergayutan. Mungkin dua bulan lagi dituai. Dijeruk dan dijadikan minyak.
Buah anggur yang besar gugusnya. Jika ini menjadi tanaman biasa di Malaysia, alangkah indah dan nikmatnya.
Buah tin. Antara buah yang selalu disebut dalam al-Quran. Wattini wa zaituun. Masih muda.
Ladang buah tin
Ambil kenangan
Keindahan empat
musim tidak dapat digambarkan dengan cerita. Perkataan dan ayat tidak dapat
memperhalusi keindahannya. Malah gambar pegun atau video sekalipun sukar
memberikan gambaran yang sebenarnya. Musim sejuk memang sejuk. Sesejuk berada
di dalam peti ais. Bukan sekejap tetapi berlarutan dari akhir bulan November
hingga bulan April. Secara rasminya musim sejuk hanya tiga bulan. Disember
hingga Februari. Tetapi di Jordan sejuknya berlarutan hingga sepanjang bulan
April. Mungkin kedudukan Jordan yang bergunung-ganang mempengaruhi iklimnya.
Umpamanya pada akhir bulan Mac suhu di Kaherah sudah melebihi 20°C tetapi
di Amman, Jordan suhunya di bawah paras itu. Hingga hampir akhir bulan April suhunya
masih rendah. Masih perlu memakai baju tebal. Tidur malam
berselimut tebal. Namun bunga-bungaan sudah mula mengembang. Menyerlahkan warna
dan ronanya. Bentuknya tentulah berbagai. Tidak ada di Malaysia. Walau
bagaimanapun jika pembaca rajin ke kedai-kedai yang menjual bunga-bunga tiruan
atau plastik kebanyakan bunga-bunga tersebuat adalah replika bunga-bunga yang
ada di negara beriklim sederhana. Hatta rerumputnya ditiru untuk digilai oleh
orang-orang yang gilakan keindahan dalaman.
Seperti saya katakan
tadi keindahan berada di negara yang beriklim empat musim tidak dapat
diceritakan secara pasti. Mengalaminya sendiri memang tiada tolok bandingnya.
Kilibat burung yang pertama memberi isyarat bahawa musim sejuk sudah berakhir.
Kicauan beburung itu menunjukkan keriangan menanti musim yang semakin panas. Bebunga tentunya mengembang bersamanya
turun madu dari syurga. Santapan beburung dan lebah. Madu yang sedikit
fitrahnya dihimpun oleh jutaan kali lebah yang kecil untuk kebaikan manusia.
Menjadi minuman dan sumber kesihatan. Ada sejenis pokok atau buah yang
mendahului pokok-pokok yang lain. Pokok badam berbunga sebelum menumbuhkan
dedaun pada dahan dan rantingnya. Pokok-pokok yang lain menumbuhkan dedaun
sebelum mengeluarkan bunga. Bunga pokok badam berwarna putih. Mewah
menyelubungi dahan dan rantingnya. Kira-kira pada akhir bulan Mac buah badam
muda sudah mula dijual. Masam-masam manis rasanya. Dimakan dengan dicecahkan
garam. Seperti memakan mangga muda. Memecahkan selera. Megecurkan.
Mulalah episod melihat
berbagai buah mula berbunga. Mengeluarkan putik dan membesar buah-buah itu di
hadapan mata. Indahnya putik-putik buah tin, zaitun, anggur, iskadania,
berbagai jenias aprikot, pear, ceri dan yang lain-lain. Satu persatu buah-buah
itu mencecah bibir, dikunyah dan dinikmati kelazatannya. Ada yang sedikit masam
tetapi pada kebiasaannya manis-manis belaka. Beberapa jenis buah hanya
manis-manis buah sahaja. Tembikai hami yang datang dari negara Cina yang
terdapat di negara kita manis-manis belaka. Yang ada di Jordan manis-manis buah
sahaja. Apabila melalui kedai-kedai buah-buahan maka dibariskan berbagai jenis
buah dengan warna, saiz dan rupa bentuknya yang tersendiri masing-masing. Lupa
durian, manggis, rambutan, pulasan, duku, langsat, dukong dan berbagai lagi
buah hutan seperti buah keranji, buah sentul dan sebagainya. Pada bulan Jun
banyak buah yang sudah boleh dimakan. Menikmati buah tin dan anggur segar
sangat mengujakan. Sayangnya buah zaitun hanya boleh dinikmati pada bulan ogos
barangkali. Masih terlalu kecil sewaktu saya tinggalkan.
Di tepi rumah saya
terdapat sepohon anggur. Sepanjang saya duduk dari bulan Januari hingga bulan
Mac, pokok itu memang mati. Kulitnya pada batangnya terkopak-kopak. Kering dan
dilihat mata kasar memang seperti pokok mati. Rantingnya mudah dipatahkan
seperti ranting kering. Rapuh sungguh. Apabila berakhir musim sejuk,
rerantingnya mula tumbuh tunas-tunas daun. Rupanya pokok itu tidur sepanjang
musim sejuk. Mengeramkan dirinya untuk tumbuh semula apabila suhu meningkat. Setelah
dedaunnya melebat tumbuhlah bebunga dan kemudiannya putik-putik anggur yang
kecil lonjong bertangkai-tangkai. Saya sempat melihat anggur hijau yang
masaknya kekuning-kuningan. Merasanya yang masih segar pada tangkainya. Manis,
enak dan apa lagi jika tidak lazat. Pertama kali merasa buah tin segar
mengkhayalkan perasaan. Di Malaysia hanya sempat merasa yang kering sahaja.
Tidak mungkin merasa yang segar. Buah tin tidak tahan lama. Paling enak selepas
dipertik terus dimakan. Selepas berjam-jam ia menjadi lembut dan hilang
enaknya.
Tidak pula lupa,
pada masa yang sama sayur-sayuran juga mula datang melambak-lambak. Kesemuanya
segar dari ladang. Kobis masih dengan dedaun hijaunya. Bunga kobis juga begitu.
Dengan dedaunnya sekali. Dedaun itu boleh pula dibuat sayur. Seperti dedaun
lain. Buah jagung antara yang banyak di Jordan. Jagung manis. Besar-besar
belaka. Boleh dibeli di mana-mana sahaja. Beberapa buah atau sayur yang lain
nampaknya hilang dari pasaran. Umpamanya pada musim sejuk banyak dijual
keledek. Pada musim bunga keledek itu tidak dijual lagi. Mungkin bukan ditanam
di Jordan. Saya tidak pula menyiasat. Yang menyeronokkan ialah pada musim panas
sangat banyak kesegaran hasil buah-bahan dan sayur-sayuran. Enak dan lazat.
Sewaktu ke Umu Quais, kami sempat singgah di ladang gandum. Sedang masak
menguning. Kali pertama melihat tangkai gandum mengujakan juga. Teringat
istilah sumbulah seperti selalu
disebut dalam al-Quran. Pastinya saya akan selalu rindu musim bunga di Amman
Jordan. Mudah-mudahan Mesir memberi saya kelapangan. Keindahan berkelana di
negara orang.
No comments:
Post a Comment