Dari kecil kita
dididik untuk berpuasa. Ibu bapa yang perihatin mempastikan anak-anak dilatih
berpuasa sejak dari kecil lagi. Masih ingatkah kita, kita bermula dari
perlahan-lahan. Mula-mula berpuasa setengah hari. Hari kedua ¾ hari. Hari ketiga
alhamdulillah sempurna sehari suntuk. Senang sahaja ibu bapa mengajar. Sesiapa
yang tidak berpuasa dilarang turut campur semasa ahli keluarga yang lain sedang
berbuka. Aduh pedihnya. Orang lain kesemuanya sedang berhari raya Maghrib itu. Berhari
raya kerana sehari suntuk berpuasa. Menahan lapar dan dahaga. Maka yang
tidak berpuasa dihukum. Berat sungguh dirasakan hukuman itu. Orang lain makan
dengan lazatnya. Kita hanya kecur air liur dari jauh. Ayah pula buat-buat tak
pandang. Hendak menangis salah sendiri
kerana tidak berpuasa. Hendak minta simpati terasa berat. Kelu lidah. Esoknya kita
berpuasa semula. Cukupkan sehari, dua hari hingga tamat Ramadhan. Ada beberapa
perkara yang harus kita perhatikan:
1
Anak-anak
dahulu lebih patuh kepada ibu bapa. Hendak tahu sebabnya? Antaranya kerana
mereka bergantung sepenuhnya kepada susu ibu. Naluri dekat kepada ibu dan bapa
sangat kuat. Apa kata ibu dan bapa dipatuhi.
2
Makanan
yang disediakan adalah halal 100%. Jadi darah dan daging yang halal. Minda mereka
menjadi bersih.
3
Ibu
bapa dahulu adalah good practicing
Muslims. Menjadi contoh kepada anak-anak. Tiada
bantahan kerana tiada pilihan lain.
Sekarang cuba lihat
di sekeliling kita. Ramai anak-anak yang tidak berpuasa. Mereka sudah baligh. Sudah
berakal. Mukallaf. Islam. Sudah besar panjang. Tidak berpuasa sudah tidak lagi
bersembunyi-sembunyi. Tidak lagi menyorok di belakang semak atau tembok. Makan dan
minum seperti tiada apa-apa kepada mereka. Merokok berkepul-kepul di udara. Ramai
yang nampak.
1
Mereka
tidak lagi rasa bersalah.
2
Tidak
ada autoriti yang mereka takuti.
3
Ibu
bapa sudah hilang kawalan.
4
Institusi
keluarga makin parah punahnya.
5
Institusi
agama semakin jauh dari harapannya.
Kerosakan akhlak
Muslim ini bukan berlaku di mana-mana negara slam. Ia berlaku di banyak negara
Islam. Tiga hari berturut-turut saya melihat pemuda Mesir Islam yang tidak
berpuasa. Pada hari Sabtu saya melihat seorang pemuda minum air di tengah
bandar. Usianya sekitar 16 tahun. Semalam seorang kanak-kanak yang berusia
sekitar 12 tahun makan buahdi tengah jalan. Pagi ini saya melihat seorang
pemuda yang berusia 20an merokok di beranda sebuah kedai yang belum dibuka. Dalam
pada usaha meningkatkan kesedaran Islam, ramai pula yang lupakan Islam. Amalan agama
menjadi sangat terasing dalam kejelasan yang tiada kelamnya. Ramadhan hanya
sebulan. Sebulan dalam setahun. Padanya diturunkan al-Quran. Mu’jizat paling
agung kepada Rasul terakhir yang menjadi penghulu kepada semua Rasul-Rasul. Hebatnya
menjadi Muslim sehingga Nabi Musa memohon untuk menjadi umat Nabi Muhammad. Nabi
Musa sendiri adalah nabi ‘ululazmi. Antara lima nabi yang dilabelkan sebagai
mengatasi nabi yang lain-lain.
Pada suatu malam
bulan Ramadhan turun pula lailatulqadar. Hanya pada satu malam dalam setahun. Hanya
pada bulan Ramadhan sahaja. Pahalanya sangat besar. Walaupun boleh dikira sebagai nisbah, pahala
sebenarnya adalah hak Allah. Maknanya bulan Ramadhan adalah bulan barakah. Banyak
pahala yang boleh diperolehi walaupun dari perbuatan baik yang sedikit. Maka pada
bulan ini diwajibkan semua yang berkalayakan berpuasa. Di samping itu
perbanyakkan berbuat apa sahaja yang dinamakan baik. Malangnya Muslim hari ini
bukan Muslim yang penuh sopan dan beradab dalam bulan Ramadhan. Jika orang yang
layak untuk tidak berpuasa dilarang makan di hadapan orang yang berpuasa,
apatah lagi mereka yang tiada apa-apa uzur syarie. Dilarang meninggalkan puasa.
Dilarang makan di hadapan orang yang berpuasa. Yang terang-terangan tidak
berpuasa:
1
Mereka
menghina agama mereka sendiri.
2
Merendahkan
martabat orang Islam di mata orang bukan Islam.
3
Mereka
akan merosakkan keturunan mereka apabila berkahwin nanti. Jika ibu dan bapa tidak
berpuasa bagaimana nanti mereka dapat mendidik anak-anak mereka.
4
Pada
hakikatnya mereka menzalimi diri mereka sendiri. Yang menerima seksa dan
azabnya nanti ialah diri mereka sendiri. Tidak mungkin orang lain. Jika ibu dan
bapa tidak mendidik mereka maka ibu bapa akan dipersoalkan di hadapan Allah
nanti.
5
Antara
lain orang bukan Islam sukar didakwah kerana contoh dari orang Islam sangat
meragukan.
Apabila kita berada
dalam kemewahan, kita selalu lupa kepada diri kita. Kita mengandaikan bahawa
kemewahan itu suatu hak mutlak. Keistimewaan kerana kita manusia. Setiap perintah
Allah ada rasionalnya. Di dunia ini memang kita mewah. Tetapi jangan lupa di
bahagian dunia yang lain ramai manusia
yang kelaparan. Rakyat Palestin ramai yang makannya hanya sedikit. Suasana yang
tidak damai di negara mereka bukan sahaja menghimpit perasaan bahkan juga menghimpit
perut mereka. Bayangkan saudara kita di Syria. Entah makan entahkan tidak. Yang
menjadi pelarian mungkin disediakan makanan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. Yang kekal
di Syria tentu panjang deritanya. Bagaimana pula puak Rohingya di Myanmar. Panjang
juga deritanya. Itu belum di negara-negara di Afrika yang mengalami kemarau
bertahun-tahun lamanya. Bergantung kepada bantuan kemanusiaan dari negara lain.
Manusia lain. Manusia yang sebenarnya saudara mereka. Anak-anak Nabi Adam dalam
bentuk rupa yang berbeza.
Allah mewajibkan kita
berpuasa supaya kita dapat merasakan penderitaan orang lain. Belajar untuk
berhadapan dengan situasi yang mengakibatkan kita berlapar. Bagaimana orang
yang berpenyakit. Mereka dalam kemewahan tetapi terpaksa berlapar kerana tubuh
badan mereka tidak boleh menerima makanan. Bagaimana apabila dunia terbalik. Orang kaya
yang jatuh miskin. Dari puncak kemewahan mereka melarat tidak tentu makan dan
minum. Maknanya puasa adalah latihan supaya kita boleh berhadapan dengan
situasi yang berbagai dalam kehidupan kita. Ramai orang yang sesat di hutan
berhari-hari lamanya. Kapalterbang terhempas.
Ada penumpang yang hidup. Makan? Mana ada. Berlapar. Terapung di laut
berhari-hari. Lapar. Situasi puasa bukan berlaku dalam bulan Ramadhan sahaja. Cuma
kita dididik supaya selalu berpuasa kerana lapar boleh datang dalam
berbagai-bagai rupa dan bentuknya.
Jika kita merujuk
kepada perubatan, rasanya terlalu banyak kebaikan berpuasa. Berbagai penyakit
berkurangan deritanya jika berpuasa. Kerehatan kepada tubuh badan. Kepada perasaan.
Kepada jantung. Kepada buah pinggang. Kepada perut. Sistem penghadaman berehat
seketika. Bukan selama-lamanya. Di Malaysia puasa tetap masanya. Dari sebelum
Syubuh hingga pukul 7.00 petang. Hanya selama 14 jam. Orang di Kaherah berpuasa
selama 16 jam. Di bahagian lain dunia ada yang berpuasa dari pukul 2.00 pagi
dan berbuka pada pukul 9.00 malam. Lebih lama lagi. Mungkin ada sedikit
kelainannya berbanding di Malaysia. Di sini tidak terasa lapar. Atau dahaga. Bila
berbuka cukup dengan sedikit makanan. Pasar Ramadhan memang tidak ada. Tidak ada
yang menggoda selera. Mungkin dua senduk nasi sudah memadai. Berbuka semalam
saya makan bertambah kerana ada gulai lemak udang. Selepas makan pening kepala
kerana kekenyangan. Maksudnya sesudah
berpuasa berhari-hari, perut kita semakin kecil. Nafsu makan semakin
berkurangan. Tubuh badan tidak pula terasa terlalu lesu hingga terpaksa
merengkak atau mengesot. Masih boleh membasuh baju. Mengemop lantai. Memasak. Pergi
belajar. Membneli barang di kedai.
Berpuasa menjadikan
kita manusia normal. Hati dan jiwanya mungkin semakin kental. Belum tentu
mereka yang tidak berpuasa memiliki stamina seperti orang berpuasa.
No comments:
Post a Comment