Kembali cerita makam Baqi’ di Madinah al-Munawarah. Aarwah-arwah di situ sangat beruntung kerana mereka berjiran dengan Rasulullah. Alangkah bahagianya mereka kerana pada hari kiamat nanti mereka adalah yang keempat dibangkitkan selepas Rasulullah, Abu Bakar dan Umar. Begitulah dekatnya mereka dengan Rasulullah. Di alam barzah lagi mereka sudah berdamping. Di akhirat semoga mereka terus bersama. Orang Malaysia selalu mengimpikan supaya dapat meninggal di Makkah. Mungkin ada kekeliruan di situ. Sebenarnya meninggal di Madinah yang sepatutnya dicari. Yang kedua barangkali Makkah. Ikutlah rezeki masing-masing. Allah yang menentukan semuanya.
Pada pengamatan saya orang Madinah agak lebih damai. Lebih sopan. Lebih santun. Lebih tenang. Baik peniaganya. Baik penduduk setempat. Baik pekerja asing sekalipun. Inilah ajaran dan didikan Rasulullah. Mereka memiliki rasa hormat kepada Rasulullah yang amat tinggi. Kasih dan sayang yang sangat mendalam. Saya dapati beberapa hari di Madinah memberikan rasa damai yang menusuk qalbu. Tenang setenangnya. Jarang ada hiruk pikuk. Tidak ada manusia yang mengambil kesempatan untuk membuat hingar. Bagi jemaah haji atau umrah Madinah adalah suatu kedamaian abadi. Di situ, di Masjid Nabawi Rasulullah sentiasa menunggu. Pertemuan yang tidak secara fizikal itu memberi kesan mendalam. Kita diajar untuk mengasihinya secara spiritual. Itupun sudah cukup mendamaikan. Nantilah kedamaian dan kebahagian mutlak apabila kita bertemu dengan Baginda di syurga. Tidak kiralah sama ada di Janntun Naim atau di Janntul Firdaus. Allahu Akbar. Rindu sangat-sangat.
Bila haji dan umrah, lazimnya kurma tetap dibeli. Bertan-tan dihantar balik ke kampung, ke rumah, ke Malaysia. Waktu di sana makan juga. Tetapi saya hairan juga. Tidak banyak yang mampu dimakan. Kadang-kadang saya beli sekilo atau dua. Untuk dimakan dengan rakan sebilik. Jamah sebiji dua. Lepas itu terpaksa bungkus untuk dibawa balik. Tidak ramai yang berminat. Nasi juga yang dicari. Roti juga yang dimakan. Mulut, lidah dan tekak payah sungguh mengubah selera. Cuma waktu itu (1999) tidak banyak pengetahuan tentang kurma. Tidak membuat kajianpun. Yang saya tahu kurma boleh dibeli dan dimakan. Tidak terfikir hendak makan yang segar, yang lembut. Terlalu naif tentang kurma. Jika sekarang rasanya semua hendak dirasa, dibeli dan dibawa balik.
Peniaga-peniaga bukan kesemuanya orang Arab. Ada Cina. Ada India. Ada juga bangsa lain. Namun kesemuanya Islam. Yang itu memang pasti. Tiada seorangpun yang kafir kerana mereka telah dikeluarkan sejak Rasulullah wafat. Yang mendamaikan hati ialah mereka kesemunya baik-baik belaka. Saya tidak pasti sama ada mereka baik kepada semua orang atau kepada orang Malaysia sahaja. Selalunya kemesraan kepada orang Malaysia melebihi layanan kepada orang dari negara lain. Begitulah bila kita berbudi orang berbahasa. Bila kita berakhlak baik semua orang menunjukkan rasa suka. Polis dan petugas kerap memberikan sunyuman. Menunduk kepada. Memandang tenang. Kita benar-benar menjadi tetamu mereka dan tetamu Allah.
Kali pertama berada di Madinah tentulah banyak peristiwa yang dialami. Saya sebenarnya banyak berjalan di sekeliling kawasan yang berhampiran. Berbelanja mudah di Madinah kerana perancangan bandarnya agak teratur. Mudah berjalan dari satu jalan ke satu jalan yang lain. Matapun menjadi rambang di kiri dan kanan jalan. Ada sahaja yang menarik perhatian. Biasalah pada musim haji semua harga barang melam bung sekali ganda sekurang-kurangnya. Jika waktu umrah sehelai jubah berharga Rial 30, pada musim haji harganya mungkin Rial70. Thalathun jadi sab’un. Kadang-kadang jadi samanun. Saya tertarik kepada jubah yang bersulam di lehernya. Tetapi tidak terbeli juga hingga sekarang. Harganya ketika itu sehingga Rial 150 sedangkan jubah biasa jauh lebih murah. Cuma cantiknya masih saya ingat hingga sekarang. Nantilah jika ada rezeki.
Membeli barang di Madinah atau di makkah sekalipun tidak sama dengan di Malaysia. Setiap sebutan harga mesti dituruti dengan halal. Jika minta kurang akan dikatakannya haram. Tawar menawar mungkin berjaya menurunkan harga sehinggalah ia mengatakan halal. Saya pula suka menawar secara lembut. Jika pekedai itu tidak menunjukkan minat saya tinggalkan kedai itu. Sehinggallah saya berjumpa kedai yang layanannya sedikit lembut. Tetapi itulah. Saya perasan juga akhirnya. Semua yang saya lakukan ada balasannya secara kontan. Begitulah janji Allah. Jika hari itu saya banyak sedekah, saya dapati mudah tawar menawar denga pekedai. Jika tidak memang haram semata-mata. Sukar hehdak dipujuk. Beginilah jika kita ikhlas memberi maka Allah akan kembalikan keikhlasan itu. Hanya selangkah dua dari tempat kita memberi ikhlas itu. Subhanallah.
Tidak lupa saya, ada hal-hal lucu yang diamali. Suatu pagi saya dan anak saudara saya memesan sup dan roti. Dalam minda saya sarapan pagi itu mesti meliurkan. Sudah lama tidak makan sup. Di Madinah pastinya sup kambing. Terbayang harumnya. Terasa sedapnya. Buila sup itu dihidangkan, terbeliak mata saya. Terkedu sebentar. Terdapat dua batang kaki kambing. Masih memakai kasut. Tapak kakinya tidak dibuang. Jika di Malaysia memang saya tolak sebab kaki itu selalu memijak tahinya sendiri. Tentu serta merta geli geleman.
Tetapi tidk di situ. di padang pasir kita tidak melihat jijiknya tahi kambing. Malah di Muzdalifah ada jemaah yang terkutip tahi kembing kering yang keras seperti batu. Sebab itu batu yang sudah dikutip hendaklah dibasuh untuk mengesan jika ada tahi kambing yang terkutip sama. Sekarang kaki kambing itu ada di depan mata. Saya pandang anak saudara saya. Sopntan dia pandang saya juga. Sesaat dua kami terdiam. Terhenti segalam pergerakan anggota badan. Kemudian secara serentak kami capai roti dan cecahkan sup itu. Sekali lagi terasa haru. Sup itu hanya rasa masin sahaja. Mana bawang gorengnya. Mana kayu manisnya. Mana bunga lawangnya. Mana cengkihnya. Mana buah pelaganya. Mana, mana. Mata mencari-cari. Sah, memang tidka ada. Dalam hati berkata, rezeki. Kami cecah dn cecah. Aneh. Habis dan terasa lazat pula sup kosong itu. Kaki yang dua batang kami kikis dengan jari dan gigi. Betul-betul tinggal tulang kurus.
Rupanya kejutan kami tidak berakhir di situ. Waktu kami hendak membayar disebut harganya Rial 25. Amboi! Mahalnya kata hati kecil saya. Berkali-kali kami minta kepastian. Malangnya pekedai itu tidak berapa fasih berbahasa Melayu. Saya waktu beku lagi belajar Bahasa Arab. Untuk memudahkan keadaan saya keluarkan beberapa keping wang yang saya bawa. Perlahan-lahan pekedai itu mengambil dua keping wang kertas Rial 5. Tersenyum saya dibuatnya. Rupanya dua keping wang Rial 5. Saya ingatkan Rial 25. Bila keluar kedai kami ketawa kerana teras lucu berkomunikasi yang tidak sempurna antara sesama Islam tetapi berlainan bahasa.
No comments:
Post a Comment