Saturday, August 21, 2021

Pokok Atas dan Pokok Bawah

 

Pernahkah anda urus pokok? Pokok kecil dan pokok besar? Jika anda pernah mengalaminya tentu banyak ibrah dari alam sekitar ini. Pokok kecil senang diurus. Tidak tinggi dan tidak semak. Apatah pula jika tangan mudah mencapai apa sahaja yang hendak dibuat. Memotong ranting atau dahan kecil, menggembur tanah, membubuh baja, membersihkan daun kering, menukar tanah, membiak benih dan menyiram air. Pokok itu boleh diurus dengan mudah dari berbagai sudut. Tidak pula perlu sehingga memanjat tangga untuk memotong bahagian atas pokok itu. Berbeza benar dengan mengurus pokok besar. Lebih besar lebih berbeza cara mengurusnya.

 

Dari pangkal pokok kita berkira apa yang hendak dilakukan. Memotong dahan dari sisi yang berbeza. Memotong ranting panjang dan pendek ikut perkiraan minda kita yang melihat dari bawah. Kita juga melihat dedaun kering dan daun yang menguning. Ada daun kering yang tersangkut di celah ranting dan dahan. Dari bawah sangat jelas apa yang tidak kena, yang tidak cantik yang perlu diurus. Namun begitu apabila kita berada di atas pokok sesuatu yang berbeza berlaku. Bukan cerita gayat. Bukan cerita banyak kerja yang hendak dibuat. Rupanya apabila berada di atas kita terpesona melihat kecantikan sekeliling. Pandangan kita meluas dan menjauh. Kita alpa dengan pesona kita. Lupa kepada matlamat asal memanjat pokok.

 

Di atas dan di bawah sangat jauh bezanya. Dari bawah kita nampak yang di atas. Apabila berada di atas kita hanya melihat yang di atas dan yang di sekeliling kita di atas sana. Kita melihat dedaun pokok yang kita panjat tetapi kita tidak dapat melihat dahan dan ranting. Tidakk dapat melihat bunga yang kuntum dan mekar. Tidak dapat melihat batang pokok. Tidak dapat melihat perdu pokok. Malah tidak dapat melihat dedaun menguning dan kering. Tidak dapat melihat daun kering yang tersangkut di celah dedaun hijau dan ranting yang berada terlindung di bawah dedaun hijau. Orang di bawah mudah menuding jari sana dan sini untuk membuang dedaun menguning, daun kering dan reranting kecil yang kering.

 

Saya jadikan pokok itu sebagai analogi bagaimana bezanya rakyat dan pemimpin. Khususnya Perdana Menteri yang di atas dan rakyat yang di bawah. Rakyat di bawah melihat segala keburukan pemimpin di atas atau Semua keburukan yang berada di sekeliling pemimpin yang teratas. Apatah lagi jika keburukan itu memang terjadi sama ada sengaja atau tidak sengaja. Secara langsung atau secara tidak langsung. Rakyat di bawah melihat kesemuanya. Pandang sahaja ke atas, pasti terlihat segala yang tidak cantik. Segala yang tidak baik. Soalnya mengapa? Begitulah sukarnya mengurus rakyat dan “mengurus” pemimpin. Pemimpin seorang sahaja. Rakyat pula terlalu ramai. Berbagai maslahnya. Terlalu banyak.

 

Rakyat di bawah melihat keburukan di atas tetapi tidak dapat berbuat apa-apa.

1                     Yang di atas terlalu tinggi dan tidak tergarap tangan.

2                     Banyak halangan dan cabaran untuk mengurus yang di atas.

3                     Banyak red-tape dan protokol yang perlu dilalui.

4                     Yang di atas mungkin tidak mendengar apa yang disebut dari bawah.

5                     Yang di atas mungkin tidka faham apa yang disebut.

6                     Atau mungkin yang di atas sudah mabuk di atas kayangan.

 

Bagaimanakah hendak mengharmonikan dua ekstrim atas-bawah ini?

1                     Jika yang di atas itu pemimpin maka eloklah buat catatan awal terlebih dahulu sebelum naik ke atas. Alami perasaan sewaktu di bawah.

2                     Senaraikan perkara-perkara buruk yang perlu diperbetulkan. Yang perlu dikemaskini.

3                     Minta bantuan orang di bawah untuk menunjukkan kelemahan yang mereka lihat untuk diperbetulkan.

4                     Betulkan dari atas perlahan-lahan, setahap ke setahap.

5                     Turun ke bawah untuk betulkan ke bawah dan semakin ke bawah.

6                     Turun ke bawah sekerap mungkin untuk melihat sendiri apa yang telah diperbetulkan dan apa yang belum diperbetulkan.

7                     Naik ke atas semula untuk memperbetulkan lagi apa yang belum diperbetulkan.

8                     Betulkan apa yang belum disempurnakan.

9                     Ulang lagi turun dan naik.

10                 Pemimpin perlu selalu turun dari kayangan untuk melihat sendiri dengan pandangan realiti dan hakiki.

11                 Pemimpin tidak boleh berharap kepada pemimpin bawah dan kepada ahli di bawah. Berkomunikasi dan berinteraksi terus dengan rakyat di bawah.

12                 Jangan percaya sepenuhnya kepada laporan. Kebanyakannya di makeup. Verify dan validate kesahihannya.

13                 Turunlah ke bawah, lihat keliling, catatkan apa yang perlu diperbetulkan.

14                 Buat pembetulan, penambahbaikan, perancangan yang lebih lestari.

15                 Tinggalkan legasi kepimpinan yang berdaya saing, berdaya maju, cerdas agama, cerdas teknologi, cerdas sosial dan cerdas dalam segala hal.

16                 Tinggalkan negara ini untuk generasi kemudian dalam keadaan sejahtera.

 

Tepuk dada tanya apakah yang sewajarnya pemimpin lakukan untuk memenuhi aspirasi rakyat. Yang Allah redhai dan Rahmati. Rakyat pula tepuk dada untuk menyumbang kepada memudahkan pemimpin. 2 x 5 bukan 10. Biarlah jadi 20 atau 1001. In syaa Allah jika ada political will yang benar-benar ikhlas.

Thursday, August 19, 2021

Menanti Seorang PM

 Beberapa hari ini kita tidak mempunyai kerajaan dan tidak mempunyai kabinet yang menentukan dasar-dasar negara, menentukan bajet tahunan dan hubungan antarabangsa. Secara realitinya, pentadbiran kerajaan tetap kekal beroperasi. Rakyat tetap menjalani kehidupan seperti biasa mengikut keadaannya dan mengikut ketentuan Allah. Kita masih setia menunggu bakal PM baru yang diharap galas di bahunya menyelesaikan berbagai kemelut semasa dalam negara. Masalah kesihatan, masalah ekonomi, masalah pelaburan antarabangsa, masalah kewangan, masalah good governance, masalah sosial dan berbagai masalah lain. Semoga Allah menghadirkan seseorang yang membawa kita ke arah kebahagiaan , kesejahteraan dan ketenangan.

1 PM yang memandang ke hadapan. Pandang ke belakang untuk membetulkan arah. Ambil pengajaran sejarah lama. Bergerak ke hadapan untuk mencipta sejarah. Untuk meninggalkan legasi.
2 Tidak bermain dengan blame game. Jangan sekali-kali menyebut kesilapan orang terdahulu yang telah berlaku kepada rakyat. Yang kami nanti ialah apakah yang baik yang akan dilakukannya pada masa hadapan. PM hendaklah mendengar nasihat, mendengar cadangan dan mendengar kritikan.
3 Walk the talk. Kurangkan bercakap tetapi banyak bekerja. Cakap pula hendaklah serupa bikin.
4 Berdamai dengan lawan politiknya. Kurangkan berpolitik. Selalu berbaik sangka. Tawarkan jawatan tertentu kepada lawan untuk sama-sama Membina masa hadapan.negara.
5. Jawatan PM hanya sementara. Cukup masa gugur atau mengundur diri. Buat yang
terbaik
sementara jawatan disandang.
6. Engage mereka yang pakar untuk membantu memulihkan kerosakan negara, untuk melonjakkan kemajuan negara.
7. Negara tercinta ini sudah mula ketinggalan dari kejayaan berbanding rakan negera-negara ASEAN. Kalah dengan Singapura, Vietnam, Thailand dan Indonesia. Terlalu banyak yang perlu dilakukan untuk memulihkan imej negara dari berbagai aspek.
8. PM hendaklah turun ke lembah dan ke lurah. Jangan kekal di kayangan sahaja. Jangan bercakap dari jauh. Parlimen terlalu tinggi dan terlalu jauh kepada rakyat marhaen. Temui khalayak, bercakap sendiri secara berdepan. Bantu rakyat setelah melihat sendiri, sahih faktanya.
9. PM perlu asingkan sesungguhnya Legislatif, Eksekutif dan Judisiari. Biar kesemuanya berperanan dan diliihat adil dan saksama.
10. Revamp dan rejuvenate sistem pendidikan kita. Kelihatan benar anak-anak kita jauh ketinggalalan dari banyak aspek pendidikan berbanding dengan anak-anak di negara lain yang jauh melonjak ke hadapan.
11. Cari dan latihlah tokoh-tokoh muda yang bakal menerajui negara. Jangan taksub dengan parti sendiri sahaja. Bakal-bakal pemimpin masa hadapan itu perlu datang dari bawah tanpa mengira politik anutan mereka. Buang sifat politik ketam. Tiada siapa yang akan berjaya. Jangan bunuh Hang Nadim yang ada pada anak-anak muda kita.
12. Benarlah pertukaran PM dan kerajaan itu proses demokrasi, keluhuran perlembagaan tetapi jangan kompromikan kesejahteraan rakyat, kepentingan rakyat dan hak rakyat.
13. Letakkan balik di tempatnya yang wajar bahawa rakyat adalah sumber kekuatn dan bukan sumber kekuasaan semata-mata.
14. Pacu negara ini ke hadapan. Belajar dari negara yang berjaya mencipta teknologi, menyelesaikan hutang lalu berupaya memberi hutang, mereformasi ekonomi, pendidikan dan sosial.
15. PM perlukan orang yang berjiwa besar, berwawasan jauh melangkaui zaman, berani membawa rakyat berlari membina lonjakan kejayaan demi kejayaan.
16. PM perlukan jaguh kampung sebagai asas membina kekuatan tetapi perlu menjadi jaguh antarabangsa. Gelanggang besar itu bukan untuk calang-calang orang. Ia mesti memiliki aura untuk membawa negara ini di pentas dunia yang penuh cabaran dan volatile bentuknya.
17. PM perlukan orang yang boleh membuka kepompong kekampungan rakyat supaya menjadi masyarakat madani yang menjuarai dunia.
18. Ramai rakyat kita yang bijak dan berbakat untuk menjadi figura dunia. Ketengahkan lebih ramai lagi. Jangan terus lemah dan layu. Bina ketahanan rakyat yang banyak menyumbang dan bukan banyak meminta.
19. Bina kekuatan dalaman rakyat khususnya orang Melayu agar mereka disegerakkan memacu diri ke hadapan, membina rangkaian-rangkaian strategik membina bangsa.
20. Paling penting, jangan abaikan peranan agama. Dekatlah dengan Allah kerana segala-galanya di bawahNya Yang Maha Kuasa. Kita semua bergantung kepadaNya. Perlukan rahmat dan redhoNya.
Selamat datang PM baru. Siapapun dia Allah yang tentukan. Saya harap pandanglah selalu rakyat di bawah yang melata dan jangan lama sangat memandang diri anda sendiri dan rakan-rakan anda. Mudah-mudahan kami mendapat tokoh bayangan Umar Abdul Aziz. Aamiin.

Monday, August 2, 2021

Merentas Alaf Membelah Kurun

 

10 hari selepas tarikh lahir yang ke-25, penulis menerima nikahnya isteri kesayangan Maznah binti Abas. Gadis sekampung yang hanya beberapa buah rumah jaraknya.  10 hari lalu genap usia penulis 75 tahun. Allah izinkan menyambut usia jubli intan. Hari ini, 2 Ogos 2021 genap pula ulang tahun ‘aku terima nakahnya’ yang ke-50. Jubli emas. Penulis tidak mendapat pingat emas di Olimpik 2020 di Tokyo sekarang. Cukuplah emas dalam usia perkahwinan. Hajat hati ingin bersana anak-anak, menantu dan cucu. Pandemik Covid 19 sekarang tidak menizinkan hajat itu. Cukuplah makan berdua di rumah sambil merakam detik-detik sejarah dalam perkahwinan ini. Detik penuh makna selama-lamanya.

 

50 tahun yang sangat lama. Merentasi dua alaf. 50 tahun yang dikira setengah kurun. 29 orang cucu, besar dan kecil. Menanti seorang lagi cucu yang akan menggenapkan angka cucu ke-30. Tentulah banyak istimewanya angka 50. Anak sulong sudah berusia 49 tahun. Setahun lagi setengah kurun usianya. Dari kampung di pedalaman yang hanya boleh diakses dengan motorboat dan basikal, Allah izinkan penulis mengembara melihat kebesaranNya di luar negara. Alhamdulillah telah dijejak USA, Canada, Britain, bumi Jerman, Palestin, Jordan, Arab Saudi, Oman, Kuwait, Bahrain, Jepun, Hong Kong, Taiwan, Indonesia, Singapura, Thailand, Brunei, Emeiriah Arab Bersatu dan Mesir. Kesemua itu melengkapkan kitara 50 tahun ualang tahun kami. Benar-benar emas yang berkilauan.

 

Dengan izin Alah penulis telah berada di Laut Mati yang kedudukannya 400 meter di bawah aras laut. Telah juga mendaki Bukit Tursina untuk menjejak laluan Nabi Musa a.s. ketika menerima kitab Taurahnya. Berada di Palestin khususnya Masjid al-Aqsa sangat mengujakan. Di situlah diramalkan akan berlakunya perang besar akhir zaman (malhamah kubro). Menjejak realiti Bait al-Maqdis tentunya mengharukan. Itu belum tinggalan sejarah di ‘Ijlun, Irbid, Karak dan Amman yang merentas zaman. Belum lagi Petra, sebuah kota di celah gunung yang luarbiasa sebinanya. Sebuah negara di celah gunung yang gah berzaman.

 

Tinggal di Mesir selama hampir dua tahun, memahat indahnya agama Islam menyebar ke serata dunia. Bandaraya Kaherah sahaja sudah terlalu besar untuk dijelajah. Sempat ke Universiti al-Azhar. Anak lelaki kedua (anak ke-8) menikah di Masjid al-Azhar. Perjalanan ke Iskandariah nostalgik. Cerita tentang Laut Mediterranean telah lama dibaca sejak kecil lagi. Selalu disebut sebagai Laut Tengah. Juga disebut Laut Qalzum. Di sekolah menengah baru mengenal namanya yang sebenar dalam Bahasa Inggeris. Lintasan ke Siswa di sempadan Libya menjejak kisah silam Cleopetra, wanita Greek yang digilai Julius Ceasar dan Mark Antony.

 

Begitulah perjalanan ke timur Iskandariah. Perjalanan yang menemukan pertanian jberbagai iklim. Beras dari iklim tropika, gandum dari iklimk sederhana, kurma dari iklim padang pasir. Menjenak Dumyat yang banyak kerangnya. Besar-besar saiznya seperti sekepal tangan manusia. Orang Malaysia sahaja yang memakannya. Orang Mesir tidak menjamahnya kerana mazhab mereka tidak mengizinkan. Sempat juga berada di Muara  Pelabuhan Suez. Menyeberang ke Pelabuhan Fuad. Kedudukannya di seberang muara Terusan Suez. Sempat juga ke Fayoum. Kincir ciptaan Nabi Yusuf a.s. masih utuh dipelihara. Fayoum adalah pusat pertanian. Di situlah terdapat anggur, delima, mangga, bawang, kentang, oren, kantelop, dan segala bagai tanaman yang lain sama ada buah-buahan atau sayur-sayuran.

 

Berada di negara Arab sebenarnya mencipta kelainan yang tersendiri. Ia mengharmonikan kefahaman tentang agama yang berlatarkan negara Arab, Bahasa Arab, budaya Arab dan kaitannya dengan apa sahaja yang dikaitkan dengan Arab. Berada di Arab Saudi untuk menunaikan umrah dan haji adalah kemuncak erti kehidupan yang hakiki. Menyempurnakan rukun Islam yang ke-5 itu menyedarkan bahawa di dalamnya terhimpun rukun Islam yang lain. Di situlah syahadah, solat, zakat dan puasa. Kerana itu sesiapa yang pernah ke sana pasti rindu lagi dan rindu lagi. Tetap rindu walaupun beberapa kali ke sana.

 

Berada bersama anak-anak di Pittsburgh, USA  melengkpkan kembara keluarga. Merasa ertinya summer, fall, winter dan spring. Ianya pergantian musim dari sejuk ke panas dan sebaliknya. Ramai rakan-rakan dari negara yang tidak mengetahui Malaysia, berasa hairan kerana di negara kita tiada winter dan musim-musim yang lain. Alhamdulillah kerana kita mempelajari Geografi maka kita mengetahui negara mana yang ada summer dan winter. Mereka di Kargystan,Uzbekistan dan Kazaktan  umpamanya memang tidak mengetahui di mana Malaysia. Mereka menganggap semua negara sama sahaja iklimnya. Ada summer dan ada winter.

 

50 tahun yang penuh kembara. Kembara fizikal, kembara emosi dan kembara psikologi. Bahtera ini kami layari bersama untuk bersemadi di pantai bahagia. Allah mengurniakan kami segala yang indah. Ombak dan alun adalah biasa. Itulah mainan laut dan bahtera. Andainya kapal itu cukup besar dan kuat dan laluannya selalu terarah maka pelabuhan destinasi itu akan Allah izinkan untuk dilabuhi. Kembara rumahtangga, kembara zaman, kembara ilmu, kembara agama dan kembara menyaksikan kebesaran Allah tergabung dalam 50 tahun yang kami rentasi.

 

Alhamdulillah baki usia yang tinggal kami manfaatkan untuk keluarga, masyarakat dan agama. Tiada apa lagi yang lebih besar dari mengabdikan diri kepada Allah. Berbuat amal soleh untuk mencari redhanya. Kami kongsikan semua yang telah berlalu. Segala kebaikannya kami turunkan. Mudah-mudahan ada kebaikannya kepada yang menerimanya. KepadaMu aku berserah ya Allah.     

Tuesday, April 27, 2021

Huru Hara Apakah Ini?

 

 

Suatu Subuh imam membaca surah ‘Abasa. Apabila tiba pada ayat ayat 34 hingga ayat 37 Allah menggambarkan huru hara hari kiamat. Hari kehancuran dan kemusnahan pada hakikatnya.

“Pada hari itu manusia lari daripada saudaranya. Dan daripada ibu dan bapanya. Dan daripada isteri/suami dan anak-anaknya. Setiap orang daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang tidak berhenti.”

Itu gambaran menjelang kiamat. Manusia memikirkan urusan dirinya nafsi-nafsi. Masing-masing memikirkan nasib diri kerana pasti akan mati. Setiap yang hidup akan pasti mati. Pasti akan mengadap Allah. Pasti diadili dengan seadil-adilnya. Pasti akan menerima pembalasan sesuai dengan amalan yang dilakukannya semasa hidup. 

Dalam keadaan sekarang ini kita sedang menghadapi raptai huru hara itu. Covid 19 memisahkan ibu dan ayah. Ada yang terpisah dengan isteri dan suami. Terpisah dengan anak cucu. Terpisah dengan adik beradik. Terpisah dengan saudara mara. Terpisah dengan sahabat handai. Sebelum berlakunya pandemic Covid 19, tiada siapa terfikir ketentuan Allah akan datangnya. Berapa ramai antara kita yang menyibukkan diri dengan dunia masing-masing. Ramai yang sibuk hingga lupa menjengah ibu dan bapa. Menziarahi adik beradik dan saudara mara.

Sekarang baru terasa betapa jarak benar-benar terpisah jauh. Masa tersangat mahal herganya. Peluang tidak datang berkali-kali. Kesempatan perlu ditunggu dengan hiba hati. Kita terlalu ambil mudah dengan keadaan. Qada’ dan Qadar’ Allah terlalu mudah kita fikirkan. Kita tenggelam dalam dunia kita sendiri. Dunia yang kita bina sendiri. Terasing jauh. Terasing lama. Melengahkan peluang. Tidak merancang mendekatkan diri kepada ibu dan bapa. Tidak rapat dengan keluarga.

Sekarang kita merasa banyak kehilangan. Sukar bertemu. Merentas negeri tidak diizinkan. Yang kita rasa kezaliman pemerintah. Kesemuanya kita salahkan manusia di sekeliling kita. Mari kita renung dalam-dalam.  Bukankah ini ketentuan Allah? Peringatan demi peringatan telah diberikan. Panduan demi panduan telah digariskan. Nasihat berulang kali Allah berikan dalam al-Quran. Didikan Allah dan RasulNya terlalulah banyak. Kita ambil mudah dan pada kebanyakan masa kita abaikan.

Kini sampai masanya Allah menurunkan ujian huru-hara demi huru-hara.  Jika sakit tiada lagi peluang diziarahi. Tiada peluang menziarahi. Yang meninggal di hospital tidak dapat dilihat lagi wajah dan jasadnya. Tidak dapat menghampiri kuburnya. Tidak dapat memandikan. Tidak dapat mengkapankan. Tidak dapat mensolatkan. Tidak dapat menguburkannya. Tidak cucupkah ini menjadi sesuatu yang menginsafkan?

 

Selama ini kerap mana kita menatap wajah ibu dan bapa.

Berapa kerapa bercerita dan bersembang.

Berapa kerapa makan sedulang atau semeja.

Berapa lama berhimpun bersama.

Apabila pandemik ini berlaku kesemuanya tidak mudah lagi. Bukan hal keluarga sahaja yang menghadapi ujian. Ramai yang hilang pekerjaan. Yang hilang pendapatan. Yang jadi gelandangan. Yang jadi muflis. Yang hilang perniagaan. Yang hilang rumah, kenderaan dan tanah lading. Hilang peluang menyuap makanan enak di meja dan di restoran. Hilang nikmat melancong yang banyak tersekat kerana sekatan pergerakan atau sekatan ekonomi keluarga atau sekatan kerana rasa takutkan pandemik ini. Hanya dengan makhluk  yang amat seni, Allah uji kita semua dengan amat seru.

Bila kali terakhir kira ziarahi  ibu dan bapa kita. Bila kali terakhir kita berkumpul dengan adik-beradik. Dengan anak-cucu. Dengan sahabat-handai. Tentu terasa kehilangan semua itu. Masing-masing terpisah jauh apabila duduk berlainan negeri.  Malah yang berlainan daerah mungkin juga tidak dapat bertemu. Mungkin hanya sekejap sahaja. Tidak boleh berlama-lama. Itu pun menjaga SOP yang tidak boleh dipandang sepi. Dipatuhi sebagai cegahan dan kawalan. Yang difikirkan lebih baik dari merawat yang tentunya meyukarkan.

Mari kita menginsafi diri bahawa ujian Allah pasti datang pada bila-bila masa.

Ujian keimanan kita ini sangat berat. Kita perlu semak diri kita setiap masa.

Banyak berdoa untuk mendapat keampunan dan keringan daripada Allah.

Banyak berdoa supaya ujian Allah ini tidak lebih berat lagi.

Tambahkan amal kebajikan dan tinggalkan maksiat dalam bentuk apa sekalipun.

Allahumma aamin. Ya Allah kami serahkan diri kami, hidup kami dan mati kami kepadaMu ya Allah. 

Tuesday, March 2, 2021

Di Mana Bebasnya Manusia?

 


 

Lazimnya manusia perlukan kebebasan. Ramai yang inginkan kebebasan mutlak. Tetapi tentunya tidak mungkin kerana manusia buklan makhluk bebas. Penciptaan manusia ada batas dan garis sempadan yang perlu dipatuhi.

 

Garis dan sempadan yang Allah tentukan sejak azali.

Garis dan sempdan yang Rasulullah tentukan dengan bimbingannya.

Garis sempadan protokol antarabangsa.

Garis sempadan pemerintah dan negara.

Garis sempadan  negeri dan raja.

Garis sempadan daerah.

Garis sempadan mukim, kampung dan taman.

Garis sempadan keluarga.

Garis sempadan agama.

Garis sempadan sosial.

Garis sempadan adat resam dan kebiasaan.

Dan berbagai garis yang lain.

 

Di mana bebasnya manusia? Tiada? Jika adapun dalam lingkungan yang sangat terbatas. Ambillah maklum bahawa kita sebagai manusia sangat terbatas dalam serba serbi.

 

Terbatas saiz dan ukuran.

Terbatas tenaga dan kekuatan.

Terbatas cara berfikir.

Terbatas tindakan.

Terbatas impak sebagai manusia (kecuali Rasul-Rasul).

 

Hanya mereka yang beriman, wajib mengikut panduan Allah yang tercatat melalui firmanNya di dalam al-Quran. Bimbingan Rasulullah melalui hadithnya. Begitu juga panduan para ulama’ yang menjadi pewaris anbia’. Maka yang beriman, memperbanyak amal soleh, selalu ingatkan hari akhirat, menginfaqkan sebahagaian dari rezekinya dan menunggu pertemuan pasti dengan Allah. Manusia menjalani kehidupan yang berbagai sebagai ujian. Akan dikira pada akhirnya siapa yang berjaya menjalani garis yang Allah tentukan. Kita ingin berjaya. Ingin mendapat rahmat Allah. Ingin kembali ke syurgaNya.

 

“Bagaimana  kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah pada hal kamu dahulunya mati, kemudian Ia menghidupkan kamu, setelah itu Ia mematikan kamu, kemudian Ia menghidupkan kamu pula; akhirnya kamu dikembalikan kepadaNya.” Al-Baqarah 2:28.

 

Kita bebas sebagai manusia asalkan berada dalam  garis yang Allah tentukan. Hidup kita dan mati kita dalam garis itu. Dari beriman kepada Allah, malaikat, kitab, rasul, kiamat dan qada’ dan qadar. Dari syahadah, solat, puasa, zakat dan haji. Banyak lagi yang wajib diperbuat. Banyak yang dilarang daripada melakukannya. Namun apa yang diizinkan Allah kepada kita sangat banyak.  Sangat-sangat banyak. Dari kita lahir hingga akhir ajal kita terlalu banyak nikmat. Dari kita celik mata di subuh hari hingga kita melelapkan mata, banyak lagi nikmtnya. Ketika tidurpun banyak nikmat juga. Mimpi yang mengulit lena. Kita mengembara dalam mimpi. Menikmati apa yang Allah hidang dan gambarkan dalam mimpi.

 

Kebebasan apa yang kita cari di dunia? Kebebasan hakiki hanyalah di syurga. Kekalkan berada di garisan yang Allah tentukan. Batas-batas itu akan terbuka di syurga nanti. Kita belajar ikhlas. Kita belajar sabar. Kita belajar tabah. Kita belajar qanaah. Kita belajar taat. Kita belajar menjadi hamba yang sedar kekerdilan diri. Lemah serba-serbi. Akan kembali ke dalam bumi akhirnya. Kembali menjadi tanah semula sebelum dibangkitkan nanti bila tiba masanya. Sifat asal kita hina. Menjadi mulia dan tinggi darjatnya andai mengikut perintah Allah dan menjauhi laranganNya.

 

Batasilah cara berfikir. Batasilah kehendak hati yang tiada tepinya. Batasilah tindakan yang kita ambil supaya berada dalam redho Allah. Jika itu dapat kita lalui maka kita merasa bebas untuk dekat dengan Allah. Untuk berada di bawah naunganNya. Untuk sentiasa di bawah lindunganNya. RahmatNya sangat kita dambakan. Nikmat apa lagi yang kita dustakan. 31 kali Allah ulang dalam surah Al-Rahman. 31 kali. Kita ulang dan ulang dan ulang. 31 kali yang sewajarnya terpasak dalam minda kita. Tiada yang lebih nikmat selain berada di bawah lindungan Allah. Allahuakbar.     

Sunday, February 28, 2021

Menunggu Syurga

 


 

Alhamdulillah, hari ini Allah anugerahkan lagi seorang cucu.

Yang ke-28. Seorang perempuan yang ke-10. Menunggu dua lagi. In sya Allah hingga hujung tahun 2021 ini akan genap 30.  

11 orang daripadanya sudah melepasi 12 tahun. 16 orang lagi di bawah 12 tahun.

4 orang melepasi ijazah pertama mereka. Seorang masih di IPT. 3 orang lagi hafiz. 2 lelaki dan seorang perempuan.

Esok bermula satu episode lagi. Seorang cucu lelaki akan memulakan sekolah kebangsaan. 10 orang lagi belum bersekolah.

 

Riang juga memikirkan ramai cucu. Alhamdulillah masih ingat turutannya dan nama masing-masing.

 

Apakah tandanya sudah tua apabila ramai cucu? Mungkin juga begitu kerana usia susut ditelan masa. Kita melangkah semakin jauh. Masa berlalu sangat pantas. Telah melalui beberapa zaman yang tidak semua orang melaluinya.

 

Asalnya berjalan kaki.

Melalui zaman berbasikal.

Zaman menggnakan motorboat dan sampan.

Zaman keretapi dan bas henti-henti.

Zaman bas ekspres.

Bermotorsikal.

Berkereta.

Terbang merentas benua dan dunia.

Zaman gadget dan teknologi.

 

Ke mana lagi hendak dituju? Masa semakin hampir sudahnya. Tidak juga berada jauh. Setia di sini sahaja. Pi mai pi mai tang tu juga. Kita tidak menampilkan apa-apa yang istimewa. Sekadar mampu melaksanakan mengikut kudrat yang ada. Pada diri tidak terasa apa-apa. Dari dulu hingga sekarang dirasa serupa sahaja. Tetapi bak kata almarhum guru saya, tulang-temulang di dalam  terasa reputnya. Tenaga sangat surut. Semangat tinggal di hujung usia.

 

Langkah tetap diteruskan selagi belum sampai noktahnya. Banyak agenda diri dan keluarga. Namun banyak juga menyorot ke belakang. Mengingat lagi di mana perhentian yang terakhir. Ke mana perhentian yang akan menjadi destinasi baru. Pusing keliling, ramai sahabat yang telah pergi dahulu. Paling memberi kesan ialah perginya ramai ulamak, waris para anbia’. Tanda-tanda ilmu  Allah angkat. Yang tinggal sisa-sisanya. Baki bekal untuk generasi terkemudian. Melestarikan generasi ketiga banyak juga ruang lingkupnya. Cucu-cucu masih kenal datuk dan neneknya. Mudah-mudahan dapat melihat generasi keempat.

 

Zaman covid 19 ini mengingatkan surah ‘Abasa ayat ke-34-37 (80:34-37). Ketika pandemik covid 19 diisytiharkan masing-masing mencari perlindungan diri.

Terpisah dari ibu dan ayah.

Terpisah dari suami dan isteri.

Terpisah dari adik-beradik.

Terpisah dari sahabat taulan.

 

Beberapa ketika kita lupa mereka semua. Sekarang kita mula merindui orang-orang yang dekat di hati. Tetapi PKP menghalang pergerakan. Darurat melarang banyak rentasan. Tiada rentasan daerah. Tiada rentasan negeri. Jauh sekali rentasan negara. Namun kita tetap merentas masa melalui media. Masih dapat melihat wajah-wajah tersayang. Melihat tawa dan senyum mereka. Melihat bangun tubuh mereka. Sudah berbulan-bulan tidak menyentuh wajah-wajah itu. Tidak dapat memeluk dan mendakap mereka. Tidak dapat mencium mereka. Tidak dapat mendokong mereka. Rindu dan rindu sahaja yang ada.

 

Semuanya seperti raptai hari kiamat. Huru hara yang haru biru. Tiada siapa yang kita ingat kecuali sibuk dengan urusan diri yang tidak menentu. Ia akan berpanjangan dari sangkakala pertama , sangkakala kedua, padang mahsyar, hisab, titian sirat dan in sya Allah ke syurga dengan rahmat Allah. Kesemuanya masa yang sangat lama ini, kita lalui bersendirian. Hanya di syurga nanti baru kita mencari orang-orang yang kita sayang. Setelah kita tenang, aman dan tenteram. Setelah merasa damai, baru kita teringat kembali semua yang kita sayangi dahulu di dunia.

 

Pandemik ini peringatan. Covid ini amaran. Ujian ini ingatan dari Allah. Bahawa kita akan melalui lebih banyak ujian pada masa hadapan. Lebih banyak dan lebih berat. Pastinya berskala besar dan dahsyat. Oleh itu bersegeralah kita melakukan yang terbaik untuk meraih redha Allah. Usia hidup kita semakin singkat dan akan terus singkat. Hanya tinggal esok atau lusa. Belum tentu kita sampai tulat atau langkat. Pekan terasa sangat lama dari saat ini. Oleh itu:

 

Berbuatlah amal yang paling banyak dan paling baik.

Selalu menginsafi diri bahawa kita akan pasti kembali kepada pencipta kita, Allah SWT.

Masa semakin suntuk dan semkin dekat penamatnya.

Banyakkan belajar kerana kita banyak tidak tahu.

Banyak memberi kerana itulah yang akan menunggu kita di sana. Kirimkan dahulu ke akhirat. Banyakkan infaq.

 

Antara datuk dan cucu hanya berbeza usia. Bertemu sebentar mengenal dan bersapa. Kita akan berpisah jua bila sampai masanya yang Allah tentukan. Dunia ini fana dan tidak ada yang kekalnya. Di sana nanti kita akan berkampung dan kekal abadi bersama . In sya Allah dengan izin Allah dan dengan rahmatNya. Kita Kembali ke kampung asal kita yang bernama syurga.